PAPAR: Parti Warisan Sabah (WARISAN) setakat ini masih belum memberi sebarang pengesahan berhubung penyertaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandau, Datuk Wetrom Bahanda masuk parti itu secara rasmi selepas dilaporkan keluar dari BERSATU.
Presiden WARISAN, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata beliau belum membuat sebarang pertemuan dengan Wetrom bagi membincangkan perkara itu.
“Kita tunggu bila sampai waktunya. Dia (Wetrom) pun belum jumpa dengan saya,” katanya dalam laporan BH Online kelmarin.
Semalam, media melaporkan Timbalan Ketua Badan Pimpinan BERSATU Sabah, Datuk Masidi Manjun mengesahkan Wetrom keluar dari parti terbabit.
Masidi yang juga Setiausaha Agung GRS menjawab ‘ya’ melalui aplikasi WhatsApp ketika diminta mengesahkan sama ada berita yang tular mengenai Wetrom keluar BERSATU semalam benar atau sebaliknya.
Ia selepas Wetrom dilihat menghadiri program Parti Warisan (WARISAN) bersama pemimpin dan penyokong parti pembangkang itu di Matunggong, Kudat, pagi semalam.
Difahamkan, Wetrom yang juga Pembantu Menteri di Jabatan Ketua Menteri Sabah, berbuat demikian kerana mahu bertanding di kerusi Parlimen Kota Marudu yang diperuntukkan kepada Parti Bersatu Sabah (PBS).
Wetrom yang memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandau pada PRN-16 Sabah, dikatakan mahu merebut kerusi Parlimen Kota Marudu selepas penyandang yang juga Presiden PBS, Datuk Seri Maximus Ongkili, berundur dan menyerahkan kerusi itu kepada BERSATU.