Wong Selar Pihak Sebar Berita Palsu Maklumat Pemberian Vaksin Bukan Warganegara

WONG FOO TIN

Oleh YUSOP TEPPO

SANDAKAN: Pengerusi Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Daerah Sandakan, Wong Foo Tin menyelar tindakan pihak tidak bertanggungjawab menyebarkan berita tidak benar yang tular di media sosial dan aplikasi whatsapp bagi penerima vaksin bukan warganegara di semua Dewan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Sandakan bakal ditangkap.

Beliau yang juga Presiden Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) ada mendengar tomahan dan melihat pelbagai berita yang  tidak benar di tular di whatsapp dan media sosial oleh pihak tertentu bahawa penerima vaksin bukan warganegara yang tidak berdokumen bakal atau telah mengambil  vaksin di semua Dewan PPV akan diwujudkan identiti khas untuk proses pendaftaran MySejahtera dengan mendakwa bertujuan untuk membuat penangkapan selepas proses berkenaan.

Wong menegaskan dakwaan yang ditularkan itu adalah berita palsu dan tuduhan liar yang tidak berasas serta berniat jahat untuk menganggu proses pemberian vaksin di daerah Sandakan.

Beliau memberitahu pembentukkan identiti khas kepada mereka yang tidak berdokumen adalah semata mata untuk memudahkan dan merekodkan dalam applikasi MySejahtera bagi tujuan mendapatkan sijil lengkap penerima 2 dos .

“Dengan adanya sijil ini akan memudahkan warga untuk mendapat manafaat yang telah diumumkan oleh kerajaan seperti untuk masuk ke premis, restoran atau mengikuti mana mana aktiviti yang dibenarkan. Dan tiada  tujuan lain, selain daripada itu,” tegasnya.

Oleh itu, Wong mengajak kepada semua bukan warganegara yang tidak berdokumen agar datang ke Dewan PPV untuk menerima vaksin bagi keselamatan dan kesihatan semua.

“Pemberian vaksin percuma kepada semua warga negara dan bukan warga negara sama ada berdokumen atau tidak berdokumen di semua PPV.

“Saya ingin menarik perhatian semua warga sandakan yang masih belum menerima vaksin Covid-19 dos 1, samada warga negara atau bukan warga negara , samada berdokumen atau tidak berdokumen supaya datang beramai ramai untuk mengambil vaksin secara percuma di semua pusat pemberian vaksin di Sandakan,” katanya dalam satu kenyataan.

Wong mengingatkan kepada semua dengan mengambil vaksin oleh semua warga di Sandakan mampu membawa daerah ini ke arah mencapai imuniti kelompok dan akan mampu  mencegah jangkitan Covid-19.

“Data telah menunjukan jumlah mereka yang belum mendapat vaksin jauh lebih banyak dijangkiti Covid-19 berbandingan dengan mereka yang telah lengkap 2 dos vaksin.

“Mengikut satu laporan yang di keluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)  antara 12 Ogos 2021 hingga 29 Ogos 2021 , sejumlah 385,542 kes  positif Covid-19 didaftarkan di Malaysia,” jelasnya.

Beliau berkata daripada jumlah ini sebanyak   68,629 ( 17.8%) kes positif adalah dari mereka yang lengkap 2 dos , manakala 316,913 (82.2%) kes positif adalah dari mereka yang sudah ambil dos 1 atau mereka yang belum mengambil vaksin.

“Ini jelas membuktikan vaksin mampu melindungi kita dari jangkitan Covid-19.

“Pada 13 Ogos lepas, Kerajaan Negeri telah mengumumkan  perlaksanaan  dalam masa sebulan , iaitu hanya mereka yang telah melengkapkan 2 dos boleh berkerja atau memasuki restoran dan pasaraya,” katanya.

Wong meminta semua agar sama-sama berganding bahu dan menyahut seruan kerajaan demi kebaikan bersama.

scroll to top