YADIM Sumbangkan Vitamin C Kepada Petugas Barisan Hadapan

HARGAI…Samin menyampaikan sumbangan untuk Jabatan Kesihatan Negeri Sabah yang diterima oleh Timbalan Pengarah (Perubatan) Jabatan Kesihatan Negeri Sabah Dr Abd Kahar Abd Asis di Rumah Persekutuan Sembulan.

KOTA KINABALU: Barisan hadapan terdiri dari kalangan doktor, kakitangan hospital, polis,tentera dan lain lain merupakan golongan yang berhadapan dengan cabaran ketika penularan pandemik COVID-19 dan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menyedari hakikat ini, Yayasan Dakwah Malaysia cawangan Sabah (YADIM) tidak henti henti tampil ke hadapan menyentuni golongan ini dengan pelbagai bentuk sumbangan bertujuan untuk memberikan suntikan semangat sekali gus menghargai jasa dan pengorbanan mereka.

Pengarah YADIM cawangan Sabah Haji Samin Ongki berkata , YADIM cawangan Sabah akan terus melaksanakan program tanggungjawab sosialnya bukan sahaja di kalangan kumpulan sasar melalui bantuan bakul makanan dan lain barisan hadapan juga tidak dipinggirkan dalam program yang mereka laksanakan.

“ Kita faham petugas barisan hadapan merupakan petugas yang begitu penting ketika ini mereka bukan sahaja terbeban dengan tugas namun berhadapan dengan risiko yang tinggi ketika menjalankan tugas,” katanya ketika ditemui selepas menyerahkan sumbangan berupa Vitamin C yang bernilai RM10,000.00 kepada petugas barisan hadapan di sini kelmarin.

Antara barisan hadapan yang menerima sumbangan tersebut, Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Tentera Darat, Jabatan Kesihatan, dan Jabatan Relawan Malaysia (RELA).

Sumbangan tersebut masing-masing diterima oleh Timbalan Pesuruh Jaya Polis Sabah Datuk Mazli Mazlan (PDRM) Panglima Divisyen Kelima Infantri Mejar Jeneral Dato Haji Mohd Halim Khalid (Tentera) Timbalan Pengarah (Perubatan) Jabatan Kesihatan Negeri Sabah Dr Abd Kahar Abd Asis (JKNS) dan Pengarah Rela Negeri Sabah Mohamad Pauzi Jhomat (RELA).

Menurut Haji Samin YADIM memilih untuk memberikan sumbangan Vitamin C kerana dalam setuasi sekarang anggota yang bertugas memerlukan Vitamin C yang berperanan sebagai antioksida menghalang radikal bebas daripada merosakkan sel badan dan berfungsi meningkatkan daya tahan badan daripada penyakit berjangkit.

Dalam pada itu Haji Samin berkata YADIM Sabah amat menghargai sokongan daripada sektor korporat dan orang perseorangan yang tampil menyalurkan bantuan yang diserahkan kepada YADIM untuk diselaraskan dan disampikan kepada golongan sasar.

“ Banyak sumbangan yang kami terima dan YADIM Sabah hanya menyelaras dan menyampaikan sumbangan tersebut kepada golongan sasar selari dengan tanggungjawab sosial YADIM kepada masyarakat,” katanya.

scroll to top