KOTA KINABALU: Yayasan Sabah memeterai perjanjian usaha sama dengan G Capital Berhad untuk menghasilkan tenaga boleh diperbaharui melalui loji janakuasa hidroelektrik mini di seluruh Sabah bagi melengkapkan penjanaan bekalan elektrik negeri.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor berkata, dengan memanfaatkan iklim dan sungai di Sabah, loji janakuasa hidroelektrik mini adalah antara penyelesaian holistik kepada kekurangan bekalan kuasa di negeri itu.
“Saya yakin perjanjian usaha sama ini akan menyumbang kepada bekalan kuasa yang stabil kepada Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) dan menarik pelaburan berkualiti,” katanya.
Ketua Menteri menyaksikan majlis menandatangani perjanjian usaha sama dan pemegang saham di Menara Kinabalu di sini.
Hajiji berkata, meningkatkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui adalah selaras dengan dasar Kerajaan Persekutuan dan Matlamat Pembangunan Mampan serta salah satu daripada tiga teras utama Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) iaitu infrastruktur hijau dan rangkaian kemampanan.
“Penjanaan tenaga hijau seperti loji janakuasa hidroelektrik kecil akan menarik lebih ramai pelabur, terutamanya mereka yang mengutamakan tenaga hijau dan alam sekitar, sosial dan tadbir urus,” katanya.
Ia akan menyokong pertumbuhan dan pembangunan ekonomi Sabah selain memberi manfaat kepada industri dan komuniti tempatan, membuka lebih banyak peluang pekerjaan, dan mewujudkan laluan untuk kerjaya profesional, katanya.
“Malah, Parlimen baru-baru ini telah meluluskan Rang Undang-undang Tenaga Boleh Diperbaharui (Pindaan) 2022 dan Rang Undang-undang Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (Pindaan) 2022 yang membuka jalan kepada penubuhan Suruhanjaya Tenaga Sabah sendiri untuk menguruskan sepenuhnya bekalan kuasa negeri.
“Pencapaian bersejarah ini akan membolehkan Sabah mendapat kawalan penuh ke atas pengurusan bekalan kuasa termasuk perancangan pengagihan kepada lebih banyak isi rumah serta kawasan komersial. Ini adalah langkah besar ke arah mencapai objektif rancangan pembangunan Sabah Maju Jaya,” katanya.
Infrastruktur bekalan kuasa yang lebih baik adalah bertepatan dengan inisiatif pelaburan SMJ Kerajaan Negeri untuk menarik lebih ramai pelabur ke Sabah.
Beberapa pelabur utama yang datang ke Sabah ialah firma kerajang tembaga Korea, SK Nexilis, yang telah membuka kilang seluas 100 ekar dengan nilai pelaburan RM4.2 bilion serta SBH Kibing, sebuah syarikat China yang juga telah mendirikan kilang dengan pelaburan besar di Sabah, kedua-duanya di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP).
Justeru, Ketua Menteri berkata, Kerajaan Negeri mengalu-alukan inisiatif usaha sama antara Yayasan Sabah dan syarikat tenaga boleh diperbaharui terkemuka, G Capital Berhad.
Di bawah perjanjian itu, beberapa loji janakuasa hidroelektrik mini antaranya di sungai-sungai di Kota Belud akan dibina dengan jumlah kapasiti kuasa 65 Mega Watt.
“Kabinet Negeri akan terus menyokong cadangan projek yang memberi manfaat kepada negeri dan rakyatnya,” katanya.
Menandatangani perjanjian itu bagi pihak Yayasan Sabah ialah Pengerusi anak syarikatnya Innoprise Synergy Sdn Bhd, Tan Sri Pandikar Amin Mulia manakala G Capital Berhad diwakili Pengerusi syarikat milik penuhnya CM Creative Itinerary Sdn Bhd, Zulkepli Mishat.
Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Sr Safar Untong, Peguam Besar Negeri, Datuk Nor Asiah Mohd. Yusof, Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Gulamhaidar Khan Bahadar, Pengerusi Kluster Industri Minyak Sawit (POIC), Datuk Seri Yong Teck Lee, Pengerusi Qhazanah Sabah Berhad, Datuk Seri Salleh Tun Said, Presiden Persekutuan Persatuan Cina Malaysia (Huazong), Tan Sri Goh Tian Chuan dan Pengarah Eksekutif G Capital Berhad, Datuk Yap Yee Ping.