155 Murid SK Pekan II Didedahkan Cara Solat Yang Betul

RASMI ... Ketua Penolong Pengarah, Sektor Pendidikan Islam, Ustazah Kamariah Salim merasmikan Program Kem Bestari Solat SK Pekan II 2021.

LABUAN : Sekolah Kebangsaan Pekan II (SKPII) telah mengadakan program Kem Bestari Solat (KBS) 2021 secara atas talian melalui medium google meet pada 21 Ogos yang lalu.

HAJAH DAYANG

Seramai 155 orang murid menjayakan program tersebut yang dirasmikan oleh Ketua Penolong Pengarah Sektor Pendidikan Islam, Jabatan Pendidikan Negeri Wilayah Persekutuan Labuan, Ustazah Kamariah Salim yang mewakili Pengarah Pendidikan Labuan, Yusup Haji Mohamad.

Dalam ucapan perasmiannya, Ustazah Kamariah mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada warga SK Pekan II khususnya Panitia Pendidikan Islam kerana berjaya menganjurkan program ini walaupun secara atas talian disebabkan pandemik COVID-19 yang telah melanda seluruh dunia.

Beliau turut berterima kasih kepada semua murid dan ibu bapa yang memberi komitmen tinggi dalam menghadiri program bermanfaat itu.

Sementara itu, Guru Besar SK Pekan II, Hajah Dayang Damit@Saidah Haji Mohd Yassin turut mengucapkan terima kasih kepada urusetia program, ibu bapa dan murid-murid SK Pekan II atas komitmen yang diberikan bagi memastikan kejayaan program ini.

SESI KETIGA …Sesi ketiga disampaikan oleh Ustazah Nurul Atikah Idris dalam slot bacaan dalam solat.

Katanya, matlamat program Kem Bestari Solat itu ialah memastikan murid Tahun 1 hingga 6 mendapat pendedahan serta mengaplikasikan ibadah solat dalam kehidupan seharian dengan sempurna dari segi bacaan, rukun dan penghayatan solat.

Jelas beliau, objektif program tersebut pula ialah memberi pendedahan kepada murid tentang cara solat yang betul berdasarkan rukun dan syarat-syarat yang telah ditetapkan.

PEMBIMBING … Fasilitator yang terdiri dari kalangan ustaz dan ustazah SK Pekan II.

Selain itu, kata Dayang, murid dapat melaksanakan semua perbuatan dan bacaan dalam solat dengan betul dan lancar.

“Pada masa sama, murid dapat menentukan imam dan makmum semasa solat berjemaah, menanam sikap tanggungjawab untuk melaksanakan solat fardhu sebagai ibadah yang wajib dalam kehidupan harian.

“KBS juga memberi pendedahan kepada murid tentang cara solat yang sempurna sama ada solat secara bersendirian ataupun berjemaah,”ujar Dayang lagi.

Turut hadir Penolong Pengarah Sektor Pendidikan Islam, Ustazah Rahimah Yusuppu, Penolong Kanan Pentadbiran, Ustaz Haji Zulkarnain Haji Ali, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Ustazah Farida Abdul Rahman dan Penolong Kanan Kokurikulum, Cikgu Fatimah Kassim.

Guru-guru Pendidikan Islam dan Bahasa Arab juga hadir.

Program ini dilaksanakan dalam tiga sesi iaitu sesi pertama (wudhu’ yang sempurna) disampaikan oleh Ustazah Nurulhuda Mohd Derus dan Ustaz Mohd Hafiz Hashim.

Sesi kedua (perlakuan solat) dibimbing oleh Ustazah Norhafiza Muhammad Ripin dan Ustaz Muhammad Azhan AB Ghani.

Manakala Ustazah Nurul Atikah Idris dan Ustazah Noor Umi Masyitah Mohd Rasidi (guru ganti) membimbing sesi ketiga (Bacaan dalam solat).

PESERTA … Sebahagian peserta yang menjayakan Program Kem Bestari Solat SK Pekan II 2021.

Dalam program ini juga, Penyelaras Kem Bestari Solat, Ustazah Nazariah Abdul Halim dan Ustaz Tajuddin Abd Ghani selaku juruacara program turut membantu dan memastikan program ini dapat berjalan dengan lancar.

Ketua Panitia Pendidikan Islam, Ustazah Nurulhuda Mohd Derus merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada murid dan ibu bapa yang menjayakan program tersebut.

“Tahniah kepada semua guru Panitia Pendidikan Islam yang berusaha gigih melaksanakan program bermanfaat itu,”katanya.

Majlis ini selesai dengan sesi bergambar pada pukul 12:30 tengah hari.

scroll to top