17 Pembentang Jayakan MAHAKARYA2021 SK Lubok Temiang

MODERATOR program MAHAKARYA2021.

LABUAN: Seramai 17 pembentang telah menjayakan MAHAKARYA2021 – Kolokium Mini Kajian Tindakan Sekolah Kebangsaan Lubok Temiang (SKLT) peringkat Wilayah Persekutuan Labuan, baru-baru ini.

Mereka termasuk 9 pembentang dari SK Lubok Temiang dan 8 pembentang jemputan dari seluruh negara.

YUSUP HAJ MOHAMAD … Pengarah Pendidikan Labuan.

Program dua hari itu bertemakan ‘Evolusi Infiniti Melalui Kajian Tindakan’.

Majlis penutupan disempurnakan oleh Pengarah Pendidikan Labuan, Yusup Haji Mohamad.

Dalam ucapannya, Yusup merakamkan ucapan tahniah dan penghargaan kepada Guru Besar, SK Lubok Temiang Haji Adam Abd Rahim dan warga kerja pelaksana terutama kepada penyelaras MAHAKARYA2021, Cikgu Hasnan Md Saad kerana telah berusaha melaksanakan MAHAKARYA2021 – Kolokium Mini Kajian Tindakan SK Lubok Temiang pada 26 dan 27 Ogos 2021.

Katanya, perkongsian seluruh negara ini secara langsung menggunakan youtube merupakan satu usaha SK Lubok Temiang yang wajar dipuji.

Beliau berkata penggunaan aspek digital dalam pengurusan pendidikan telah diungkayahkan dengan sebaik mungkin.

“Ini merupakan manifestasi kebersamaan warga pendidikan seluruh negara bagi mengangkat martabat pendidikan ke suatu tempat yang lebih tinggi dan agung,”katanya.

Yusup berkata, ia telah membuka peluang baharu kepada guru-guru meneroka aspek-aspek pendidikan digital secara lebih meluas.

HAJI ADAM ABD RAHIM …Guru Besar SK Lubok Temiang.

“Guru perlu menguasai amalan-amalan baharu pendidikan terutamanya pendidikan digital,”katanya.

Ujar Yusup, peluang seperti ini merupakan keberuntungan kepada guru-guru kerana dapat meneroka dan mempelajari sesuatu perihal alam sosial yang bersangkutan dengan proses mendidik secara alami dan nyata.

Sementara itu, Guru Besar SK Lubok Temiang, Haji Adam Abd Rahim berkata kajian ini lebih menjurus kepada hala tuju SK Lubok Temiang di bawah dasar penjenamaan semula.

Katanya, selari dengan Sekolah Tranformasi Sekolah 25 telah menetapkan sasaran dalam tempoh lima tahun dengan merangkumi aspek akademik, hal ehwal murid dan kokurikukum.

“Penerapan kepada visi dan misi sekolah serta maksud dan ketetapannya perlu dikuasai secara menyeluruh oleh warga sekolah.

“Kekuatan pelbagai platform sokongan menyakini bahawa hala tuju sebenar berupaya dicapai dalam jangka waktu yang telah ditetapkan,”ujar beliau lagi.

KONGSI … Guru-guru berkongsi kajian tindakan.

Haji Adam mengucapkan terima kasih atas pembabitan dan kerjasama semua pihak yang menjayakan MAHAKARYA2021 – Kolokium Mini Kajian Tindakan Sekolah Kebangsaan Lubok Temiang (SKLT).

“Tahniah kepada warga kerja pelaksana terutama penyelaras MAHAKARYA2021, Cikgu Hasnan Md Saad kerana telah berusaha melaksanakan tugas yang diamanahkan,”katanya.-Dari AZRI ONN.

scroll to top