Elemen Sastera Melayu Efektif Diterapkan Dalam PDP Sekolah Rendah

ROS ANITA KARTINI

PENGGUNAAN elemen sastera Melayu sebagai unsur seni bahasa dalam pelbagai mata pelajaran seperti dalam mata pelajaran Sains, Sejarah, Pendidikan Moral, Pendidikan Jasmani dan Kesihatan pada peringkat sekolah rendah mula diperkenalkan secara menyeluruh bermula pengenalan KSSR pada tahun 2011.

Keperluan elemen sastera Melayu ini kerana ia bersifat analitis yang menekankan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) dalam bilik darjah. Pendedahan elemen sastera Melayu sebagai seni bahasa sememangnya sebagai satu keperluan dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP) bagi mewujudkan suasana seronok belajar.

Penggunaan elemen sastera Melayu ini juga sejajar dengan objektif PdP yang digariskan dalam Pelan Pendidikan Kebangsaan 2021-2025, iaitu untuk melahirkan murid yang mempunyai Kemahiran Berfikir Aras Tinggi untuk bersaing pada peringkat global. Hal ini secara tidak langsung menggerakkan kognitif murid berfikir secara aktif. Hal ini sekaligus mengurangkan hilang daya tumpuan murid dalam bilik darjah.

Justeru, dalam menyusun maklumat awal PdP, bahan yang dirancang oleh guru seharusnya sesuai untuk membawa wacana yang tinggi dengan menggabungkan sumber teknologi seperti bahan audio visual misalnya untuk memaparkan pengkisahan pertarungan Hang Tuah dan Hang Jebat dalam PdP Sejarah Melayu.

Melalui penggunaan gambar audio visual dan flipped dalam menyampaikan fakta sejarah secara induktif merupakan satu keperluan yang jelas untuk mengetahui kandungan mata pelajaran dan mengaitkan peristiwa dahulu dengan objektif pengajaran sekarang.

Hal demikian berupaya membantu guru membuat penyusunan awal proses kognitif murid untuk memahami sesuatu konsep, perkaitan antara isi-isi pelajaran, serta pertalian antara pengalaman baru dan pengalaman lama.

Oleh itu, pengajaran berbantukan elemen sastera Melayu sebagai seni bahasa dalam mata pelajaran lain seperti Sejarah, Sains, Matematik, Pendidikan Jasamani dan Kesihatan serta Pendidikan Moral, sedikit-sebanyak merangsang keupayaan kognitif, afektif dan psikomotor murid pada peringkat sekolah rendah.

Pada masa yang sama, ia mengurangkan hilang daya tumpuan murid terutama dalam proses memahami fakta asas bagi mata pelajaran Sains dan Matematik. PdP konvensi hanya membosankan murid.

Elemen sastera seperti nyanyian, berpantun, lakonan dan sebagainya sangat efektif dalam melahirkan murid yang dapat melafaz dan memahami fakta sejarah dan konsep asas Sains Matematik yang ingin disampaikan oleh guru dengan lebih berkesan dan mampu mengingatinya untuk jangka masa yang panjang.

Sayugia penggunaan elemen sastera Melayu juga menemukan suatu persepsi terhadap keberkesanan dan manfaat atau faedah PdP pada peringkat sekolah rendah lagi kerana dalam bahan sastera terdapat unsur seni bahasa yang boleh memberi pembelajaran yang menyeronokkan kepada murid.

Dapatlah dikatakan bahawa elemen sastera Melayu dapat membantu murid memahami kandungan mata pelajaran lain dengan lebih berkesan dalam membentuk modal insan generasi muda yang tahu tentang budaya lokal.

Hal ini kerana sastera Melayu itu sendiri menawarkan wacana yang kaya dengan pelbagai isu dan persoalan yang boleh dieksploitasi oleh guru untuk mengajar murid ke arah lebih kritis berdasarkan aras pemikiran murid dalam Pentaksiran Bilik Darjah (PBD).

Kesimpulannya, pengajaran sewajarnya mengikut perubahan semasa. Perubahan akan memancing minat murid agak ianya tidak bersifat klise dan konvensional.

Pengajaran dengan idea segar mampu memancing motivasi murid untuk terus mengikuti PdP guru dengan berkesan dalam semua mata pelajaran. (Artikel sumbangan Ros Anita Kartini Pelajar Doktor Falsafah (Pendidikan Kesusasteraan Melayu) Universiti Pendidikan Sultan Idris.

scroll to top