KOTA BELUD: Guru-guru di negara ini digalakkan untuk menyertai Program Semarak STEM Kebangsaan 2021 yang akan diadakan pada Jumaat ini iaitu bermula jam 2 petang hingga 5.30 Petang dan Sabtu iaitu 28 Ogos ini bermula jam 8.00 pagi hingga 4.30 petang.
Pegawai Pendidikan Daerah Kota Belud, Mohd Fadzli Abdul Rozan berkata program ini merupakan sebuah wadah ilmu pendidikan STEM anjuran Pejabat Pendidikan Daerah Kota Belud dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Sabah, Pusat STEM Negara dan UNIRAZAK Kuala Lumpur.
“Bukan setakat guru-guru, tapi kita juga mengalu-alukan ibu bapa dan para pelajar sekolah menengah dan rendah untuk menyertai program ini secara maya,” katanya.
Beliau memaklumkan bahawa matlamat program yang bertemakan ‘Memperkasa STEM dalam pendidikan’ itu diadakan adalah sejajar dengan Pelan Pembangunan Pendidikan STEM dalam kurikulum dan kokurikulum.
“Selain itu juga adalah untuk menyokong hasrat dan seruan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam melahirkan masyarakat saintifik dan menyediakan sumber tenaga kerja mahir yang berteraskan STEM selaras dengan keperluan kerajaan ke arah Revolusi Industri 4.0 yang memacu kemajuan ekonomi negara.
Fadzli berkata para guru, ibu bapa dan pelajar boleh mengikut program ini melalui aplikasi Facebook di https://www.facebook.com/semarakSTEMkebangsaan2021 atau saluran alternatif lain di youtube https://www.youtube.com/c/SSTPOfficialChannel.
Sehubungan itu,beliau menggesa agar para guru,ibu bapa dapat mendaftar di pautan https://forms.gle/RabSotNNhBVobAUJA.