Guru Pendidikan Islam SK Patau-Patau dedahkan murid-murid terhadap asas fardhu ain

PESERTA ... Sebahagian peserta yang menjayakan Program Kem Bestari Solat SKPP 2021.

LABUAN : Sekolah Kebangsaan Patau-Patau (SKPP) telah mengadakan program Kem Bestari Solat (KBS) 2021 secara atas talian melalui medium google meet pada 14 Ogos lalu.

ROSLI MOHD ALI … Guru Besar SK Patau-Patau.

Kem Bestari Solat itu dirasmikan oleh Ketua Penolong Pengarah, Sektor Pendidikan Islam, Jabatan Pendidikan Negeri Wilayah Persekutuan Labuan, Ustazah Kamariah Salim yang mewakili Pengarah Pendidikan Labuan, Yusup Haji Mohamad.

Dalam ucapan perasmian tersebut, Kamariah mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada warga SK Patau-Patau khususnya Panitia Pendidikan Islam kerana berjaya menganjurkan program ini walaupun secara atas talian disebabkan wabak COVID-19 yang telah melanda seluruh dunia.

Beliau turut berterima kasih kepada 55 murid yang memberi komitmen tinggi dalam menghadiri program tersebut.

“Tahniah kepada Panitia Pendidikan Islam yang melaksanakan program KBS,”katanya.

Sementara itu, Guru Besar SK Patau-Patau, Rosli Mohd Ali berkata objektif program ini diadakan ialah mendedahkan murid-murid kepada asas fardhu ain dan membimbing murid-murid dalam pelaksanaan solat 5 waktu.

PENYELARAS ….Penyelaras program, Ustazah Siti Haryani.

Selain itu, katanya, program ini juga bertujuan untuk meningkatkan dan mengukuhkan kefahaman murid-murid terhadap solat.

Beliau berkata melalui program ini juga, guru-guru dapat memastikan murid-murid menguasai dan menghayati amalan fardhu ain ini secara berterusan melalui intervensi Rekod Transit Maya yang dihasilkan secara kreatif oleh Ustazah Dalilah Desa.

“Rekod ini akan dikongsi bersama ibu bapa supaya mereka juga mengetahui tahap pencapaian semasa anak-anak mereka,”katanya.

Rosli turut mengucapkan terima kasih kepada urusetia program, ibu bapa murid, murid-murid SK Patau-Patau atas komitmen yang diberikan bagi memastikan kejayaan program ini.

Sementara itu, penyelaras program KBS, Ustazah Siti Haryani Sisut berkata program tersebut dilaksanakan dalam tiga sesi iaitu sesi pertama (rukun wuduk dan doa wuduk) yang disampaikan oleh Ustazah Dalilah Desa.

RASMI … Ketua Penolong Pengarah, Sektor Pendidikan Islam, Ustazah Kamariah Salim merasmikan Program Kem Bestari Solat SK Patau-Patau 2021.

Katanya, sesi kedua (Rukun Solat) dibimbing oleh Ustaz Bustamam Maning, manakala Ustaz Azmee Osman membimbing sesi ketiga berkaitan perlakuan dan perbezaan solat lelaki dan perempuan.

Turut membantu memastikan kelancaran program tersebut ialah Ustaz Nuqman Hakem Yusup dan Ustazah Nurhuda Amir.

BIMBING … Sesi ketiga dibimbing Ustaz Azmee Osman.

Hadir sama Penolong Pengarah Sektor Pendidikan Islam, Ustazah Rahimah Yusuppu, Penolong Kanan Pentadbiran, Ustazah Dalilah Desa serta guru-guru Pendidikan Islam dan Bahasa Arab.

Program tersebut diadiri dengan sesi bergambar pada pukul 11 pagi.-Sumbangan AZRI ONN.

scroll to top