SEMPORNA: Mendepani cabaran penularan pandemik COVID-19 yang melanda negara, persatuan Guru Perpustakaan dan Media (GPM) Semporna dengan kerjasama Unit Sumber dan Teknologi Pendidikan, Sektor Pembelajaran Pejabat Pendidikan merangka strategi pelaksanaan program webinar yang menyajikan input perkongsian kepada masyarakat khususnya untuk kegunaan guru, ibu bapa, pelajar mahupun orang awam secara atas talian.
Memanfaatkan aplikasi media sosial Facebook sebagai medium penyampaian maklumat, kejayaan sebanyak lima siri webinar ini melabuhkan tirainya pada 2 September lalu bersiaran langsung dari Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan Semporna.

PAKAIAN TRADISI: Moderator (kiri) dan pengacara majlis (kanan) memakai pakaian tradisi suku kaum Bajau.
Bertemakan Bulan Kemerdekaan, barisan pengelola masing-masing memperagakan kostum tradisi dari pelbagai kaum di Malaysia meskipun hanya melaksanakan program webinar secara maya.
Siri webinar ini dilaksanakan untuk memberikan gambaran kepada umum mengenai idea rangka-rangka program berunsurkan media atas talian sesuai diaplikasikan dengan situasi semasa.
Antara pengisian yang disajikan sepanjang siri 1.0 sehingga 3.0 adalah perancangan dan harapan dalam pengurusan sekolah yang disampaikan oleh panel Dr. Abdul Hamid Abdul Rahim selaku pensyarah di Institut Pendidikan Guru kampus Tawau dilaksanakan pada 8 Julai lalu.

UCAPAN PERASMIAN: Sesi rakaman awal ucapan perasmian penutupan webinar oleh Pegawai Pendidikan Daerah Semporna Ibnu Haji Jaani.
Ikon GPM oleh panel Resmah Pailan, Sistemautomasi: Dunia Digital Pusat Sumber oleh panel Norsheila Abdul Rahman pada 16 Julai.
IQ Nilam Merentas Pandemik oleh panel Siti Razmah Jailani, ikon PIBG bersama panel Jumatia Samsuddin dan panel Prasad Ridwan mengupas isu pembangunan Pusat Sumber (PSS) bersama komuniti ibu bapa pula berlangsung pada 29 Julai.
Siri 4.0 pula menyaksikan panel Norafizah Abdul Razak iaitu ikon GPM Kebangsaan 2019 dengan perkongsian mengenai Nilam dalam PAJSK pada 12 Ogos manakala siri 5.0 pula menampilkan barisan GPM daerah Semporna mengupas isu pelaksanaan radio PSS sekolah oleh panel Indah Haji Bakkang, pengurusan PSS norma baharu oleh Siti Zuraidah Mukaddam dan pengawas PSS teraju pengurusan cemerlang oleh Sanria Cikita Ahyit pada 2 September.

AJK TEKNIKAL: Barisan AJK Teknikal yang memastikan kelancaran program webinar secara atas talian berlangsung.
Pegawai Pendidikan Daerah Semporna Ibnu Haji Jaani melalui ucapannya pada siri akhir webinar ini merakamkan sekalung penghargaan kepada barisan pengelola program dan sentiasa memberi dorongan terhadap pelaksanaan webinar.
Perkongsian berkaitan ilmu berlandaskan media sekaligus meningkatkan kesedaran kepada pelajar tentang kepentingan pembudayaan membaca walaupun sesi persekolahan bersemuka tidak dilaksanakan. – Artikel sumbangan MOHD AFIS ISMAIL