JPN Labuan Dan PPZ Bergabung Jayakan Motivasi

PROGRAM MOTIVASI ... Program motivasi diterajui oleh Sektor Pendidikan Islam dengan kerjasama PPZ MAIWP Labuan.

LABUAN: Isu kesihatan mental merupakan cabaran terkini warga Malaysia dalam era pandemik COVID-19 yang bukan sahaja dihadapi oleh negara kita malah turut dihadapi oleh negara-negara lain.

Impak psikologi yang negatif terhadap diri seperti takut, cemas, tertekan, bimbang dan murung memberikan kita hala tuju yang tidak sihat kepada kehidupan sehingga membawa kepada tekanan kerja dan kepuasan kerja yang rendah.

RASMI … Yusup menyampaikan ucapan perasmian motivasi warga pendidikan dengan penuh semangat.

Menyedari kepentingan status kesihatan mental semua warganya, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL) mengambil inisiatif mengadakan  program motivasi Ke Arah Pembangunan Modal Insan Guru bertajuk ‘Tajamkan Minda, Teguhkan Jiwa’ yang diterajui oleh Sektor Pendidikan Islam (SPI) bersama Sektor Psikologi dan Kaunseling, Sektor Pembelajaran, Sektor Pengurusan Maklumat dan Sektor Pendidikan Khas, baru-baru ini.

Program Jaringan Kerjasama JPWPL dengan Pusat Pungutan Zakat (PPZ) – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Cawangan Labuan itu amat bertepatan dengan pandemik yang sedang melanda iaitu untuk membugarkan prestasi kerja guru di samping melihat cabaran-cabaran yang dihadapi guru-guru sehingga mempengaruhi perkembangan profesional mereka.

KONGSI ILMU … Dr Huzili menyampaikan ceramah ‘Tajamkan Minda Teguhkan Jiwa’.

Pengarah Pendidikan Labuan, Yusup Haji Mohamad ketika berucap menzahirkan kebimbangan terhadap masalah kesihatan mental sebagai isu yang terpencil suatu ketika dahulu kini menjadi cabaran dan isu yang boleh menggugat kredibiliti dan prestasi kerja.

URUSETIA PROGRAM … Kamariah merakamkan rasa kesyukuran di atas kelancaran program dan terima kasih atas jaringan bersama PPZ.

“Jabatan Pendidikan Labuan tidak memandang sebelah mata kesukaran dan cabaran yang dihadapi oleh warga pendidik.

“Setiap masa kami sentiasa mencari pendekatan untuk memudahkan apa juga urusan di peringkat sekolah dan jabatan dengan mencari kaedah terbaik menangani cabaran tersebut secara bersama,”katanya.

Yusup berkata, Sektor Pendidikan Islam mengetengahkan Program Bacaan Yasin dan Doa Munajat setiap malam, Bacaan Zikir Al Mathurat setiap pagi sebagai langkah mengukuhkan iltizam kerohanian dalam menghadapi pendemik berpaksikan rahmat dan inayah ketuhanan.

Manakala Sektor Psikologi dan Kaunseling melaksanakan Program Minda Sejahtera melalui soal selidik Stress, Anxiety dan Depression (eDASS) secara dalam talian dan mengurusetiakan Program Warga Prihatin sebagai saluran menghulurkan bantuan dengan kadar termampu sebagai sokongan emosi dan psikologi kepada warga pendidikan yang terkesan akibat pandemik COVID-19.

Sektor Pembangunan Murid pula melancarkan Program Solidariti Hamparan Kasih dengan tumpuan khusus kepada murid-murid yang terkesan dan ditimpa musibah seperti kehilangan ibu bapa akibat COVID-19, kebakaran dan kemalangan.

PENGHARGAAN …Ustaz Ahmad Sharizal merakamkan ucapan terima kasih kepada guru-guru yang merupakan jumlah pembayar zakat tertinggi di WP Labuan.

“Sektor-sektor yang lain juga menjadi peneraju dan sokongan kepada pelaksanaan program pencegahan, pembangunan, pemulihan dan intervensi kepada inisiatif jabatan dalam mendepani kesukaran kemelut pandemik ini,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Sektor Pendidikan Islam, Ustazah Kamariah Salim berkata, dalam mendepani pandemik COVID-19, guru perlu ada ‘tambah nilai’ dalam penggunaan teknologi pengajaran dan pembelajaran terkini.

Katanya, guru bukan sahaja memerlukan kemahiran ICT, kreatif dan inovatif dalam menyampaikan pengajaran tetapi juga perlu berupaya mengawal emosi ketika berhadapan dengan pelbagai isu.

RAKAM KENANGAN: Peserta program merakamkan gambar kenangan bersama penceramah.

“Sebagai warga pendidik kita memerlukan kecekalan hati, bersabar, sentiasa tabah dan bersemangat dalam mendidik generasi kini melalui norma baharu di samping mengurus keluarga sendiri yang juga berdepan dengan pelbagai cabaran,”katanya.

Ceramah motivasi ‘Tajamkan Minda, Teguhkan Jiwa’ telah disampaikan oleh Ketua Pusat Kecemerlangan, Inovasi dan  Kelestarian Sosial (COESIS), Universiti Malaysia Perlis, Profesor Madya Dr. Huzili Hussin yang juga Pakar Motivasi Terapi Tingkah Laku Kognitif (CBT) Malaysia.

Antara yang dibincangkan ialah berkaitan hebatnya diri kita sebagai makhluk ciptaan Allah dalam mencari ketenangan dan kebahagiaan berdasarkan dua kuadron iaitu menjaga hubungan dengan Tuhan dan hubungan baik dengan manusia.

ILMU: Hebatnya diri kita antara perkongsian ilmu yang berjaya menarik perhatian peserta untuk sesi soal jawab.

“Untuk mencapai matlamat hidup, banyak halangan yang ditempuhi dan sukar untuk membuat pilihan.

‘Namun, jika seseorang itu ‘diracuni’ pemikiran atau kita sendiri yang terkena ‘racun’, amat sukar untuk mengetahui impak ‘racun’ tersebut kepada kita.

“Apa yang jelas, pemikiran dan jiwa yang diracuni akan memberi kesan besar kepada kemakmuran masyarakat serta amat sukar untuk dipulihkan,” katanya.

Menurutnya lagi, seseorang itu akan mudah diracuni sekiranya membiarkan diri mereka dimanipulasi atau dikuasai orang lain.

Tambahan pula dengan sikap malas berfikir, kurang berusaha mencari kebenaran dan ketagih sebagai penyebar cerita.

Sementara itu, Yusup mengajak warga guru dan hadirin untuk membayar zakat melalui potongan gaji yang diuruskan PPZ.

“Saya ucapkan terima kasih kepada PPZ yang menjalinkan kerjasama dalam menjayakan program tersebut,”katanya.

Seramai 150 warga pendidik menyertai program tersebut yang diadakan secara maya.

scroll to top