KPM Perlu Tangguh Persekolahan September Ini

NURULHUDA

LABUAN: Ramai ibu bapa tidak bersetuju cadangan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk membuka kembali sesi persekolahan pada September depan.

Salah seorang ibu, Nurulhuda Mohd Derus, 35, berharap KPM dapat mempertimbangkan semula tarikh pembukaan sekolah memandangkan kes COVID-19 melebihi 20,000 ketika ini.

“Jika kes semakin meningkat akan merisaukan ibu bapa untuk menghantar anak ke sekolah.

“Lagipun sukar untuk anak-anak yang masih kecil ini untuk mematuhi SOP,”katanya ketika dihubungi kelmarin.

Nurulhuda yang berasal dari Pekan, Pahang mempunyai dua orang anak yang berumur 5 dan 8 tahun yang mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR).

ZUNIKA AMBOH TURUH

Sementara itu, Zunika Amboh Turuh, 51, berkata tarikh persekolahan itu perlu ditangguhkan disebabkan anak-anak di bawah umur 18 tahun belum divaksin seperti mana orang dewasa.

Selain itu, katanya, kedudukan murid dalam kelas dalam bilangan yang ramai yang berbahaya bukan sahaja kepada mereka tetapi juga guru yang mengajar.

“Ketika ini keadaan belum terjamin lagi kerana kes jangkitan COVID-19 belum sifar.

“Malah muncul pula virus delta terbaharu yang lebih ganas lagi,”katanya yang juga seorang kakitangan kerajaan di Wilayah Persekutuan Labuan.

NORHAFIZAH

Zunika mempunyai seorang anak yang akan menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 yang sedang mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR).

Pendapat sama juga disuarakan seorang lagi ibu, Norafizah Sulaiman, 35, yang mengatakan mereka belum bersedia untuk membenarkan anaknya kembali ke sekolah berikutan keadaan sangat berbahaya ketika kes COVID-19 masih tinggi.

“Kami meminta KPM tangguhkan dahulu pembukaan sekolah sehingga Malaysia mencapai imuniti kelompok,”katanya yang mempunyai dua orang anak yang masing-masing berumur 7 dan 10 tahun.

Norhafizah juga bimbang anak-anak akan terdedah dengan risiko jangkitan sama ada sebelum, semasa dan selepas waktu persekolahan.

scroll to top