LABUAN : Seramai 38 orang guru SMK Taman Perumahan Bedaun telah menghadiri Program Pembangunan Profesional Berterusan (CPD) Pemantapan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) bersama Pegawai SISC+ Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan dan Mentor PBD Unit TVET Sektor Pembelajaran pada Selasa lalu.
Bengkel Pemantapan PBD disampaikan oleh Pegawai SISC+, Juraidah Aman dan dua orang guru SMK Lajau, Rafizi Haji Yusuf yang juga penyelaras mata pelajaran Perniagaan SMK Lajau dan Ebby Haryani Rahmat selaku Ketua Panitia RBT SMK Lajau.

JURAIDAH AMAN …. Ketika menyampaikan taklimatnya.
Penolong Kanan Pentadbiran, Chai Yee San yang juga penyelaras program berkata tujuan program itu adalah untuk memantapkan dan memperkasakan pengurusan dan pelaksanaan pentaksiran bilik darjah yang merupakan salah satu komponen utama dalam dasar pendidikan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang menjurus kepada kemenjadian murid.
Turut mengikuti bengkel yang diadakan secara dalam talian melalui aplikasi ‘Google Meet’ itu ialah Pengetua, Awang Rozlan Manan, Penolong Kanan Pentadbiran, Chai Yee San, Penolong Kanan Kokurikulum, Lau Chin Ying dan Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Awang Adi Tuah.
Perkongsian Juraidah dapat membentuk kesediaan guru dalam pelakasanaan PBD kepada murid dan sejauh mana Ketua Panitia menguruskan pelaksanaan PBD di sekolah.

CHAI YEE SAN
Beliau berkata pelaksanaan PBD ini mestilah berlandaskan Buku Panduan Pelaksanaan Pentaksiran Bilik Darjah.
“Buku ini sangat penting dan wajib ada pada setiap guru sebagai sumber rujukan panduan untuk melaksanakan PBD tersebut,”katanya.
Antara intipati yang terdapat dalam buku panduan tersebut ialah pengurusan PBD di sekolah supaya pelaksanaan PBD itu lebih berkesan dan berkualiti.
Selain itu katanya, asas PBD adalah menggunakan pelbagai kaedah strategi, pelbagai aras, pengetahuan, kemahiran dan mestilah berasaskan standard kurikulum iaitu DSKP.
DSKP ini sangat ditekankan kepada guru agar dapat menguasainya dan mahir dalam memberikan PBD yang berkesan kepada murid-murid.

RAFIZI HAJI YUSUF
Juraidah berkata, dalam merancang pelaksanaan PBD ini tangunggjawab pengetua, penolong kanan pentadbiran, setiausaha PBD dan ketua panitia mestilah memahami konsep, kepentingan dan pelaksanaan PBD itu.
Manakala Cikgu Rafizi berkongsi pengurusan panitia berkenaan dengan pelaksanaan PBD terutama sekali dalam matapelajaran Perniagaan.
Katanya, penggunaan DSKP adalah sangat penting terutama sekali guru-guru perlu mendapatkan DSKP yang terbaru.
Ini kerana di dalam DSKP tersebut sangat lengkap untuk menjadi panduan dan memudahkan guru-guru untuk melaksanakan PBD kepada murid.
Cikgu Ebby pula menyatakan bagaimana pengurusan fail PBD itu dilaksanakan oleh Ketua Panitia terutama sekali dalam matapelajaran yang diajar oleh beliau iaitu matapelajaran RBT.

EBBY HARYANI RAHMAT
Ebby berkata beliau mewujudkan pengurusan fail PBD itu dengan cara perekodan di dalam Google Drive agar lebih memudahkan kepada semua guru terutama guru-guru yang ada di bawah bidang TVET.
Beliau berkata, pihak pentadbir dan ketua bidang serta ketua panitia dapat melihat apa yang dilaksanakan oleh guru-guru terutama sekali dalam perekodan laporan PBD yang telah dilaksanakan.
Ag Rozlan mengucapkan terima kasih kepada Pegawai SISC+, Juraidah Aman, Cikgu Rafizi dan Cikgu Ebby yang memberi bimbingan, tunjuk ajar dan ilmu kepada guru-guru SMKTPB untuk memperkasa dan memantapkan lagi Pentaksiran Bilik Darjah bagi merealisasikan visi pelestarian TS25 di SMK Taman Perumahan Bedaun. -Kiriman AZRI ONN.