LABUAN: Memanfaatkan pengalaman guru pakar dalam bidang masing-masing untuk berkongsi kaedah dan teknik menjawab soalan peperiksaan secara berkesan, antara pendekatan yang dilaksanakan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mutiara untuk membantu pelajarnya menghadapi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022.

UCAPAN ALU-ALUAN … Ucapan alu-aluan oleh Pengetua SMK Mutiara Yahya Ahmad Puteh.
Pengetua SMK Mutiara, Yahya Ahmad Puteh, berkata bermula dari awal tahun, setiap guru panitia mata pelajaran akan menjemput guru dan penceramah berpengalaman dari luar untuk mendedahkan kepada pelajar kaedah berkesan menjawab soalan SPM mengikut kehendak semasa peperiksaan.
Kelas Aliran Agama, SMK Mutiara diberikan tanggungjawab untuk mengendalikan satu program yang cukup bermanfaat kepada semua warga SMK Mutiara, Labuan.
Peluang ini telah dimanfaatkan sepenuhnya Penyelaras Kelas Aliran Agama SMK Mutiara, Ustaz Zainal Abdul Wahab dengan menjemput Guru Pendidikan Syariah Islamiah, Ustaz Muhamad Nordin Kasmon, yang berpengalaman luas dalam Pendidikan Syariah Islamiah SPM sebagai penceramah pada program tersebut.
Katanya, semua pelajar didedahkan cara menjawab soalan berdasarkan kehendak peperiksaan, selain membuat latih tubi soalan berteraskan kepada Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT).
“Kita mahu membiasakan pelajar dengan cara menjawab soalan yang tepat dan berkesan supaya mereka dapat skor markah diperuntukkan bagi setiap soalan sekali gus tidak tersasar serta membuang masa terlalu lama untuk menjawab soalan mudah.
“Dengan cara ini diharapkan pelajar dapat mempersiapkan diri untuk menghadapi peperiksaan sebenar bermula dari awal tahun hingga ke peperiksaan sebenar,” katanya ketika menyampaikan ucapan alu-aluan pada program tersebut.
Seramai 46 peserta yang terdiri daripada pelajar Kelas Aliran Agama Tingkatan 4 dan Tingkatan 5 SMK Mutiara dan pelajar Tingkatan 4 Kelas Aliran Agama SMK Rancha-Rancha serta pelajar dari SMK Agama Bera, Pahang telah mengikuti program tersebut.
Seawal pukul 9 pagi semua peserta program telah didedahkan dengan Program Kecemerlangan Pendidikan Syariah Islamiah SPM 2022 oleh Ustaz Muhamad Nordin Kasmon, seorang selebriti penyampai EDidik NTV7 yang amat berpengalaman dari MRSM Gemencheh, Negeri Sembilan.
Program ini mendapat tajaan sepenuhnya dari Sektor Pendidikan Islam, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan.
Yahya tidak lupa mengucapkan terima kasih kepada Pengetua SMK Rancha-Rancha, Ustaz Wan Azman Wan Awang kerana hadir bersama dalam program ini serta memberikan sokongan penuh dengan membenarkan guru dan pelajar Kelas Aliran Agama SMK Rancha-Rancha menyertai program tersebut.

KENANGAN … Gambar kenangan bersama peserta Program Kecemerlangan Pendidikan Syariah Islamiah SPM anjuran Kelas Aliran Agama SMK Mutiara.
Guru Kelas Kemahiran al-Quran SMK Mutiara, Ustaz Kamaruzzaman Razali bertindak sebagai moderator pada program yang menggunakan aplikasi Google Meet.
Sementara itu, peserta terbaik perempuan dinobatkan kepada Nurain Atiqah Ramblee dari kelas 5 Ibnu Sina, pelajar Kelas Aliran Agama SMK Mutiara dan Nur Nazhatul Adwa Mohd Maarof dari kelas 4 Alfarabi, pelajar Kelas Aliran Agama SMK Rancha-Rancha.
Majlis penutupan disempurnakan oleh Penolong Pengarah Sektor Pendidikan Islam, Jabatan Pendidikan Labuan, Ustaz Mohd Syahir Mohd Yusof.
Turut hadir dalam program ini ialah mantan Guru Pendidikan Syariah Islamiah SMK Mutiara, Ustazah Noraini Mat Junoh, yang kini bertugas di SMK Subang, Selangor. -Sumbangan AZRI ONN