Sekolah Kebangsaan Bebuloh Anjur Sambutan Maal Hijrah 1443H

SAMBUTAN Maal Hijrah 1423H ‘Manhaj Rabbani Ummah Berkualiti’ jalinan kerjasama SK Bebuloh dengan JPWPL.

LABUAN: Kira-kira 250 warga guru telah menjayakan Sambutan Maal Hijrah 1443H peringkat Wilayah Persekutuan Labuan, baru-baru ini.

Majlis yang dianjurkan oleh Sekolah Kebangsaan Bebuloh (SKB) dengan kerjasama Sektor Pendidikan Islam (SPI), JPWPL itu diadakan secara dalam talian dimeriahkan dengan kehadiran dua selebriti terkenal Hafiz Hamidun dan Hazamin Inteam.

RASMI … Yusup merasmikan Sambutan Maal Hijrah 1443H Warga Pendidikan WP Labuan.

Tema Sambutan Maal Hijrah tahun ini “Manhaj Rabbani, Ummah Berkualiti” amat bertepatan dengan realiti rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum, bangsa dan agama.

Sikap saling hormat menghormati, bertoleransi, saling memaafkan dan bersifat belas kasihan yang dianjurkan oleh Islam dapat dilihat melalui konsep Rahmatan Lil ‘Alamin yang dibawa junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Selaras dengan tema sambutan Maal Hijrah ini, negara memerlukan kesatuan fikrah dan hala tuju dalam menghadapi kekalutan dunia yang sedang bergelut dengan pendemik COVID-19 serta isu yang menghimpit masyarakat.

GURU BESAR SK BEBULOH …Abdul Rahman merakamkan ucapan terima kasih atas kelancaran program Maal Hijrah.

Majlis tersebut dimulakan dengan bacaan doa akhir tahun yang dipimpin oleh Penolong Pengarah Sektor Pendidikan Islam, Ustaz Haji Sahrum Samlan bermula pukul 6 petang.

Ia diikuti dengan bacaan doa awal tahun pimpinan Hafiz Hamidun manakala Hazamin Inteam mengetuai bacaan surah Yaasin.

Pengarah Pendidikan JPWPL, Yusop Haji Mohamad dalam ucapannya mengajak warga pendidikan agar bangkit bersama-sama mengukuhkan perpaduan, menjaga kesihatan dan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) di samping sentiasa berjiwa besar dalam mendepani apa jua cabaran.

Selain itu, mempunyai keyakinan dan emosi yang kukuh ketika berdepan pandemik COVID-19.

“Saya menyeru kepada diri saya dan warga pendidik untuk bersama-sama menjiwai peristiwa hijrah.

“Kita memasang azam untuk berusaha lebih kuat di tahun baru hijrah ini agar kejayaan yang lebih tinggi dan impian yang mahu direalisasikan dapat dizahirkan dengan sempurna.

“Mencapai kejayaan yang lebih tinggi dalam kehidupan masing-masing serta meningkatkan lagi keimanan dan ketaqwaan kepada Allah s.w.t.

“Kesukaran hidup kesan wabak telah dirasai dan memerlukan motivasi dan semangat juang yang tinggi,”katanya.

PESERTA SAMBUTAN …Peserta program merakamkan gambar kenangan bersama penceramah.

Paling penting adalah bagaimana semangat persaudaraan Muhajirin dan Ansar wajar dipraktikkan oleh kita semua dalam usaha membantu mereka yang hilang mata pencarian akibat COVID-19.

Sementara itu, Guru Besar SK Bebuloh, Abdul Rahman Salim turut mengucapkan terima kasih kepada ibu bapa murid-murid SK Bebuloh atas komitmen yang diberikan dan pengorbanan dalam memastikan anak-anak mengikuti pembelajaran di rumah.

Majlis yang disertai warga pendidik di seluruh negara itu turut disiarkan melalui facebook live SK Bebuloh.

scroll to top