UMS Perkasa Keusahawanan Pelajar Menerusi 1F1K

RASMI: Taufiq merasmikan pelancaran program 1 Fakulti 1 Keusahawanan secara dalam talian.

KOTA KINABALU: Pelaksanaan program 1 Fakulti 1 Keusahawanan (1F1K) merupakan salah satu inisiatif Universiti Malaysia Sabah (UMS) sebagai sokongan dan pemerkasaan aktiviti keusahawanan dalam kalangan pelajar.

Naib Canselor UMS Prof. Datuk ChM. Ts. Dr Taufiq Yap Yun Hin berkata, pelaksanaan program 1F1K merupakan usaha universiti di bawah Pusat Kerjaya dan Pembangunan Keusahawanan Pelajar (PKPKP) untuk memberikan pendedahan dan peluang kepada pelajar terlibat dalam keusahawanan khususnya perniagaan.

“Program ini juga akan menjadi platform kepada para pelajar untuk mengetengahkan idea perniagaan yang kreatif dan berpeluang untuk menjana pendapatan pelajar sepanjang tempoh pengajian di UMS.

“Melalui program ini juga pihak PKPKP akan melantik wakil keusahawanan untuk setiap fakulti yang berperanan dalam membantu pemantauan aktiviti keusahawanan di peringkat fakulti sebagaimana peranan penasihat kerjaya yang bertanggungjawab dalam memantau aktiviti berteraskan pemantapan kerjaya bakal graduan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan pelancaran program berkenaan secara dalam talian melalui platform Google Meet dan Laman Facebook rasmi PKPKP.

Taufiq berkata, bidang keusahawanan memainkan peranan sebagai pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi negara dan dapat memberikan peluang pekerjaan kepada bakal graduan.

“Mentaliti graduan yang memilih untuk bergantung kepada kerja makan gaji sahaja hendaklah diubah, dan saya percaya istilah ‘Pencipta Pekerjaan’ atau job creator bukanlah baru dalam era digital.

PESERTA: Antara peserta yang hadir dalam majlis pelancaran program 1 Fakulti 1 Keusahawanan secara dalam talian.

“Hikmah pandemik yang melanda dunia membuka mata kita mengenai betapa mustahak untuk memiliki asas kemahiran dan pengetahuan dalam bidang berkaitan digital.

“Perkara ini seiring dengan hasrat negara untuk melahirkan usahawan digital yang lebih ramai dalam kalangan generasi muda seperti yang digariskan dalam Dasar Keusahawanan Nasional 2030 ke arah menjadikan Malaysia sebagai sebuah Negara Keusahawanan Unggul menjelang tahun 2030,” katanya.

Terdahulu, Pengarah PKPKP Dr. Soon Singh A/L Bikar Singh memberitahu, pelaksanaan program-program berteraskan keusahawanan sememangnya telah rancak dan dibudayakan dalam kalangan pelajar.

“Ini sama ada melalui program dalam kuliah seperti program Asas Pembudayaan Keusahawanan mahupun luar kuliah seperti aktiviti Kelab Keusahawanan.

“Bagaimanapun, program 1F1K ini diformulasikan sesuai dengan trend generasi muda di mana konsep ‘learn and earn’, digitalisasi perniagaan dan mentor di fakulti diharapkan dapat memberi nafas baru kepada usaha murni ini,” katanya.

Soon Singh turut menyampaikan penghargaan kepada para wakil industri yang telah bersama pihak UMS dalam merealisasikan program Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) Kementerian Pengajian Tinggi – Program Peningkatan Kerjaya (KPT-CAP) sejak tahun 2020.

“Tanpa gerak kerja yang sinergi bersama pemain industri agaklah sukar untuk pihak universiti mencapai hasrat untuk memberi pendedahan alam usahawan dan kerjaya sebaiknya kepada bakal graduan dan alumni UMS,” katanya.

Pada majlis itu turut diumumkan pelantikan penyelaras keusahawanan bagi tempoh dua tahun, pelancaran Buku Ikon Keusahawanan dan penyampaian dana KPT-CAP kepada enam organisasi yang terlibat dalam projek PENJANA KPT-CAP UMS.

scroll to top