TANJUNG MALIM:Akademi Pondok Bitara, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bakal menawarkan Diploma Thurath Islami di Malaysia untuk pelajar lepasan pondok di negara ini.

PROF MADYA DR MOHD HAIRY IBRAHIM
Diploma ini akan membuka peluang kepada lepasan SPM pada awal tahun 2022 nanti . Akademi Pondok Bitara UPSI merupakan satu-satunya unit yang melaksanakan aktiviti melalui sistem pondok di universiti khususnya UPSI.
Ini menjadi keunikan akademi ini di Fakulti Sains Kemanusiaan, Universiti Pendidikan Sultan Idris.
Menurut Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Dr. Md Amin Md Taff, UPSI mampu menjadi pusat dan hub pendidikan Turath Islami yang signifikan dengan statusnya sebagai satu-satunya Universiti Pendidikan di Malaysia.
Beliau berkata UPSI bakal menjadi universiti awam pertama yang menyediakan peluang pengajian pondok kepada masyarakat yang telah mengikuti pengajian secara formal dan tidak formal.
Sementara itu Prof. Dr. Marzita Puteh, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Pengantarabangsaan) UPSI berpendapat pengajian itu berasaskan sistem arus perdana serta mendapatkan kelulusan formal yang diiktiraf.
Katanya, UPSI mampu menjadi pusat dan hab pendidikan Turath Islami yang signifikan dengan statusnya sebagai satu-satunya universiti pendidikan dalam negara.
Menurut Dekan Fakulti Sains Kemanusiaan, Prof. Madya Dr. Mohd Hairy Ibrahim, fakulti berhasrat untuk menawarkan program pengajian peringkat diploma agar lepasan pondok yang memenuhi syarat kelayakan yang ditetapkan mampu untuk menyambung pengajian bidang tumpuan Pengajian Islam secara lebih mendalam berasaskan kitab Turath.
Beliau berkata Akademi Pondok Bitara UPSI menjalinkan kerjasama dengan Jabatan Agama Islam Perak (JAIP), Yayasan Addin, Jabatan Mufti Perak dan agensi-agensi kerajaan lain dan beberapa pusat pondok secara tradisional di beberapa buah negeri.
“Bakal pelajar diploma ini mampu mengaplikasi kemahiran teknikal termasuk penggunaan teknologi terkini dan ICT yang digunakan dalam pengajian Turath Islami selain mampu mengurus maklumat dengan cekap dalam bidang Turath Islami.
Katanya, graduan mampu menjalankan tanggungjawab terhadap diri melalui pembelajaran sepanjang hayat. Graduan juga dilatih mampu mempraktikkan kemahiran pengurusan dan keusahawanan juga mempunyai kebolehan ,mempraktikkan profesionalisme, dan tingkah laku beretika dalam bidang Turath Islami.
Menurut Dr. Mohd Hairy, program itu bertujuan melahirkan graduan yang mempunyai pengetahuan akademik dalam disiplin Pengajian Turath Islami secara lebih khusus dan mendalam selain mempunyai kemahiran, berikutan mengikuti pengajian kitab-kitab Turath dalam tradisi Pengajian Turath Islami.
“Diploma ini juga mampu melahirkan graduan yang mampu memberi tindak balas positif terhadap isu kontemporari berkait dengan pengajian Turath Islami,” katanya.
Secara tidak langsung penawaran Diploma Thurath Islami mampu memberi peluang kepada pelajar lepasan pondok yang berdaftar dan tidak berdaftar bersama-sama pelajar lepasan sekolah arus perdana untuk mendapatkan kelulusan yang diiktiraf oleh sistem pendidikan rasmi yang sedia ada.
Diploma Thurath Islami mempunyai ciri-ciri transformatif berasaskan penyampaian abad ke-21 menerusi ruang pembelajaran yang futuristik serta penggunaan teknologi digital terkini bagi mewujudkan pembelajaran imersif berdasarkan pengalaman.
Pelajar juga didedahkan dengan gaya pembelajaran konvensional dan terkini melalui pendekatan pembelajaran secara masteri dan kendiri.
Akademi Pondok Bitara UPSI juga bakal menjalinkan kerjasama dengan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK), Jabatan Pendidikan Islam, Pejabat Pendidikan Negeri Terengganu, Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang dan Kedah serta beberapa Jabatan Agama Islam Negeri-negeri lain.
Akademi pondok Bitara UPSI bekerjasama dengan universiti awam lain termasuk Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia dan beberapa Institusi Pondok Swasta dalam mempertingkatkan pengajaran dan pembelajaran secara maya.
Selain itu Akademi Pondok Bitara turut menjalinkan kerjasama dengan tokoh-tokoh pondok di seluruh Malaysia dalam mengukuhkan aktiviti dan program yang dilaksanakan.
Dalam norma Covid-19 ini, program Akademi Pondok Bitara telah dilaksanakan secara Virtual atau Online dan akan mengundang tokoh-tokoh pondok di Malaysia untuk membantu Jawatankuasa Akademi Pondok Bitara UPSI.