TANJUNG MALIM: Universiti pendidikan ulung negara, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menubuhkan Pusat Penyelidikan Pedagogi dan Inovasi (CPRI) bagi mengukuhkan pedagogi dalam pengajaran dalam kalangan pelajar serta orang awam negara yang berteraskan pedagogi UPSI.
Naib Canselor, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata UPSI tersohor dalam dunia pendidikan dalam melahirkan guru yang berbakti di seluruh negara.
“UPSI adalah kesinambungan zaman Sultan Idris Training College (SITC), Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI) dan Institut Perguruan Sultan Idris (IPSI) berjaya melahirkan tokoh-tokoh pendidik, pemimpin, sasterawan, dan sukarelawan yang hebat dan dikagumi,” katanya.

PROF DR MARZITA PUTEH
Justeru, katanya, UPSI perlu kehadapan dalam membantu negara membentuk hala tuju pembangunan pendidikan serta menjadi juara dalam bidang pedagogi.
Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof Dr Marzita Puteh pula berkata UPSI memiliki ramai pakar dalam bidang pedagogi yang akan digemblengkan menerusi CPRI.
“UPSI komited merealisasikan teras utama universiti iaitu meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran (PdP) di semua peringkat pendidikan dalam pelbagai disiplin ilmu,” katanya.
CPRI, katanya, akan menekankan kepada pedagogi dan teknologi dalam semua bidang pendidikann iaitu STEM (Science, Technologi, Engineering and Mathematics), Sains Kemanusiaan, Bahasa dan Khas.
Pedagogi UPSI,katanya, memenuhi hasrat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani.
Sementara itu Pengarah CPRI, Prof Dr Abdul Rasid Jamian berkata modul latihan berdasarkan disiplin ilmu yang ditetapkan akan dibangunkan secepat mungkin.
“Kami juga akan membangunkan modul berdasarkan subjek yang ditawarkan di sekolah-sekolah bawah KPM supaya graduan yang dilahirkan UPSI mengkhusus kepada subjek yang terdapat di sekolah sekali gus dapat mengatasi isu pengangangguran dalam kalangan graduan pendidikan,” katanya.
Modul berkenaan juga, katanya, akan melibatkan subjek minor di universiti tetapi ditawarkan di sekolah sama ada sebagai subjek teras, wajib atau elektif.

PROF DATUK DR MD AMIN MD TAFF
Beliau berkata bagi memantapkan gerak kerja CPRI, beberapa felo akan dilantik iaitu membabitkan akademia UPSI dan guru-guru pakar yang hebat dan cemerlang peringkat nasional dalam sesuatu subjek.
“Bahagian Pembanggunan Kokurikulum KPM dan pensyarah Institut Pendidikan Guru (IPG) juga akan dilibatkan supaya modul yang dibangunkan nanti bertepatan dengan kehendak sasaran, “ katanya.
Begitu juga dalam konteks kluster bidang khas, katanya, ia akan membabitkan sekolah gelendangan, sekolah khas, sekolah hospital, sekolah orang asli serta Sekolah Henry Gurney.
CPRI akan mengeluarkan sijil profesional pendidikan, yang setaraf dengan lesen untuk mengajar.
“UPSI memiliki pelbagai kemudahan prasarana yang kondusif, rujukan, pusat penyelidikan serta tenaga pakar yang hebat dalam dunia pendidikan untuk masyarakat manfaatkan dengan mengikuti Diploma Pendidikan,” katanya.
CPRI juga, katanya, akan menjadi pusat pengumpulan data berkaitan pendidikan termasuk isu PdPR yang sedang diharungi kehidupan masyarakat.
“Kami juga merancang mengadakan Webinar Malim Sarjana bersama-sama akademia UPSI dan luar Negara yang cemerlang dalam aspek pedagogi untuk berbicara tentang kecemerlangan pendidikan,” katanya.
Program Malim Sarjana 1, katanya, akan diadakan pada 19 Ogos depan bersama Dr Kama Shaffeei dari Fakulti Pembangunan Manusia (FPM), akademia yang memenangi pelbagai anugerah peringkat nasional dan antarabangsa.