Warga SMK Taman Perumahan Bedaun Sambut Bulan Kemerdekaan 2021

HIAS .. Pekarangan sekolah dihiasi dengan Jalur Gemilang dan bendera Wilayah Persekutuan.

LABUAN: Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Perumahan Bedaun (SMKTPB) telah mengadakan Majlis Pelancaran Sambutan Bulan Kemerdekaan 2021 peringkat sekolah secara dalam talian pada 19 Ogos lalu.

PELANCARAN … Ag Rozlan Manan menyampaikan ucapan sempena pelancaran Sambutan Bulan Kemerdeaan 2021.

Pengetuanya, Ag Rozlan Manan menyempurnakan majlis tersebut yang diadakan secara maya itu.

Objektif utama program itu diadakan adalah untuk menyemai semangat sayangi Malaysia serta menanam sikap sayang dan cinta kepada sekolah dan seterusnya kepada negara.

Pada majlis itu, Ag Rozlan mengibarkan Jalur Gemilang dan menyerahkannya kepada Penolong Kanan sebagai simbolik pelancaran.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada Jawatankuasa Sambutan Bulan Kemerdekaan Sekolah yang diketuai oleh penyelaras program, Cikgu Mahani Sapar yang telah berjaya membuat persediaan untuk program sambutan bulan kemerdekaan pada tahun ini.

LANCAR … Ag Rozlan (tengah) bersama Penolong-penolong Kanan melancarkan Sambutan Bulan Kemerdeaan 2021.

Katanya, AJK Sambutan telah menghidupkan suasana sambutan bulan kemerdekaan dengan memasang Jalur Gemilang dan bendera Wilayah Persekutuan di pekarangan sekolah serta menghias sudut Negaraku Merdeka.

“Tema sambutan hari kebangsaan tahun ini ‘Malaysia Prihatin’ adalah untuk menghargai keprihatinan, kesungguhan dan ketabahan warga Malaysia khususnya barisan hadapan mengharungi cabaran dan dugaan pandemik COVID-19, “katanya.

Namun begitu katanya, masih terdapat segolongan generasi muda yang kurang arif peranan dan erti kemerdekaan yang telah negara kecapi.

“Erti kemerdekaan bukan sekadar bebas daripada penjajahan secara fizikal semata-mata, malah kita seharusnya peka dan menyedari penjajahan yang lebih berbahaya ialah penjajahan mental melalui pengaruh-pengaruh budaya negatif serta amalan yang tidak sihat,”katanya.

Ag Rozlan berharap perkara ini tidak berlaku khususnya dalam kalangan murid-murid.

PASANG … Staf sekolah memasang bendera di kawasan sekolah.

“Mereka perlu terus menanam semangat kemerdekaan melalui cara pemikiran kelas pertama sekaligus mempertahan kemerdekaan yang telah diperjuangkan oleh para pemimpin negara selama ini,”jelasnya.

Ag Rozlan berharap murid-murid akan terus menanam semangat kecintaan kepada negara dan memberi sambutan kepada program-program yang telah disediakan oleh guru-guru seperti menghasilkan video pendek bertemakan Hari Kemerdekaan dan mencipta lagu bertemakan hari kebangsaan dalam bulan kemerdekaan ini demi menyemai semangat cintakan negara.

Turut hadir Penolong Kanan Pentadbiran, Chai Yee San, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Awang Adi Tuah dan Penolong Kanan Kokurikulum, Lau Chin Ying.

Hadir sama guru-guru dan murid-murid seramai 204 orang. – Subangan AZRI ONN.

scroll to top