Yusup Lancar Buku Bicara Ilmu, Inovasi, Dan Kreativiti

TERIMA ...Yusup (kiri) menerima buku Bicara Ilmu, Inovasi, dan Kreativiti’ daripnda Dr. Hyginus Lester di pejabatnya, Isnin lalu.

LABUAN: Persatuan Penyelidikan, Inovasi dan Kreativiti Labuan atau LaRIS (Labuan Research, Innovation and Creativity Society) melancarkan buku berjudul ‘Bicara Ilmu, Inovasi, dan Kreativiti’ secara dalam talian pada 16 Ogos lalu melalui Youtube.

Buku yang julung kali diterbitkan oleh persatuan itu mengandungi tiga bahagian iaitu kajian, inovasi dan kreativiti.

Tiga kajian tindakan dan satu kajian tinjauan dimuatkan dalam bahagian pertama manakala lima inovasi dikongsikan dalam bahagian kedua.

Bahagian kreativiti pula adalah penulisan dua teknik penulisan kajian tindakan dan penghasilan inovasi dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP).

LANCAR …Pengarah Pendidikan WP Labuan, Yusup Haji Mohamad melancarkan buku tulisan Dr. Hyginus Lester di pejabatnya, Isnin lalu.

Menurut penulis utama buku tersebut, Dr. Hyginus Lester Junior Lee, buku tersebut merealisasikan matlamat persatuan iaitu mempromosi, menjalankan, mengedar dan menerbitkan kajian dan bahan ilmiah.

Beliau berharap buku ini menjadi rujukan tambahan guru-guru dalam menambah baik kualiti pedagogi dan pembelajaran murid.

Pengarah Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Yusup Haji Mohamad ketika melancarkan buku tersebut menyeru agar guru-guru mengambil masa menambah ilmu melalui pembacaan yang luas dan merebut ruang dan peluang meningkatkan kualiti pengajaran melalui kajian tindakan dan inovasi.

Tambahnya lagi, penerbitan buku mampu memberi inspirasi dan semangat kepada guru untuk berkecimpung dalam kajian kerana ia dapat membantu mengenal pasti kekuatan dan kelemahan dalam amalan pengajaran dan pembelajaran.

“Inovasi pula boleh menambah baik kualiti pedagogi guru dan pembelajaran murid dengan pengenalan produk, pendekatan dan strategi baharu dan menyumbang kepada kemenjadian murid,”katanya.

Yusup juga mengucapkan tahniah kepada Dr. Hyginus Lester yang kini bertugas di Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan dan Cikgu Goh Kok Ming (SJKC Chi Sheng 2, Perak) kerana telah mengambil inisiatif menulis dan membukukan kajian dan inovasi mereka untuk dikongsikan kepada warga pendidik.

Dr. Hyginus yang juga Pengerusi LaRIS menyumbang 10 penulisan manakala Goh menyumbang satu pelaporan inovasi.

BICARA ILMU …Buku terbitan LaRIS dilancarkan Yusup Haji Mohamad.

Sementara itu, Dr. Hyginus merakamkan penghargaan kepada Yusup kerana melancarkan buku ‘Bicara Ilmu, Inovasi, dan Kreativiti’.

“Saya ucapkan terima kasih kepada ahli persatuan LaRIS atas sokongan dan kerjasama yang diberikan bagi menjayakan majlis pelancaran tersebut,”katanya.

Majlis pelancaran buku boleh diikuti melalui https://youtu.be/Awj7DgAvBL4.-Sumbangan AZRI ONN.

scroll to top