Kemasukan dalam GRS mesti bebas rasuah

DR ALIAKBAR GULASAN

KOTA KINABALU: Parti politik baharu atau lama yang ingin menyertai Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mesti dalam kalangan yang bebas rasuah.

“ GRS mesti menetapkan syarat ketat supaya semua ahli dalam gabungan ini penuh integriti dan tidak terlibat dengan sebarang gejala rasuah dan salah guna kuasa,” kata Setiausaha PAS Sabah, Dr Aliakbar Gulasan.

“Saya melihat GRS mesti membuktikan keutamaan rakyat adalah lebih penting kerana rasuah  boleh menyebabkan seluruh sistem pentadbiran akan rosak dan rakyat yang akan menerima kesan negatif,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dilantik.

“Ditambah pula sekarang ini, anak muda lebih cakna dengan ketelusan dan integriti. Rakyat khususnya anak muda dilihat sudah bosan dengan budaya politik lama. Jika ada tanda-tanda bersalah mereka akan cuba merisik untuk menyertai parti pemerintah,” katanya lagi.

Menurutnya, budaya politik seumpama ini sudah lapuk. “Saya yakin semua kepimpinan GRS termasuklah kami dari Parti Islam Se-Malaysia (PAS) akan terus menjamin sistem negeri ini diurus dengan penuh integriti,” jelasnya.

Beliau mencadangkan supaya kepimpinan utama parti politik yang ingin menyertai GRS mesti melalui tapisan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

scroll to top