700 Ahli Baharu Sertai PBS Tanjong Papat

TERIMA BORANG: Dr. Joachim (dua kiri) menerima borang keahlian daripada David Ong.

Oleh MARIAYATI MURSIDI

SANDAKAN: Parti Bersatu Sabah (PBS) terus meluaskan pengaruh ke pantai timur Sabah dengan menerima 700 keahlian baharu PBS Bahagian Tanjong Papat.

Borang keahlian diserahkan oleh Ketua Bahagian Penaja David Ong serta beberapa individu lain kepada Naib Presiden PBS Datuk Dr. Joachim Gunsalam.

Dr. Joachim yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata, beliau amat mengalu-alukan kemasukan ahli-ahli baharu dan yakin lebih ramai lagi akan menyusul jejak langkah mereka.

“Tahniah dan selamat datang ke dalam ‘keluarga PBS’,” katanya ketika ditemui dalam satu majlis ringkas yang diadakan di sini, kelmarin.

Dr. Joachim berkata, PBS merupakan parti yang tertua di Sabah dan masih aktif.

“Perjuangan PBS adalah satu perjuangan murni yang tidak mengira bangsa dan agama.

“Kita akan terus menyahut seruan Presiden PBS Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili untuk mempraktikkan semangat kekitaan, kecekalan, sabar dan setia serta bersatu,” katanya.

Dr. Joachim yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian berkata, PBS Bahagian Tanjong Papat akan bersiap sedia dan bekerja dengan gigih untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Turut hadir dalam majlis berkenaan ialah Ahli Majlis Tertinggi (AMT) John Chryso Masabal yang juga Penolong Bendahari Parti, Goon Thien Shang, Kong Nyuk Tau; Setiausaha Kerja PBS Marcilus Roman; Setiausaha Politik merangkap Timbalan Ketua Bahagian PBS Kundasang Yubidi Gumpoyo serta beberapa orang lagi ahli parti.

scroll to top