Apa Perlunya Lantik TPM, Menteri Kanan Di Saat PKP Berkuat Kuasa?

SIMSUDIN SIDEK

RAKYAT Malaysia dikejutkan dengan lantikan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kanan baharu ketika situasi negara masih terjejas akibat pandemik Covid-19 yang agak membimbangkan.

Apakah keperluan pelantikan yang tergesa-gesa ini di saat arahan Perintah Kawalan Pergerakan di seluruh negara?

Ianya sangat tidak relevan kerana Kabinet yang ada sekarang sudah mempunyai 31 menteri termasuk 4 menteri kanan dan 38 timbalan menteri.

Menteri Kanan merupakan Jawatan Politik yang diperkenalkan bagi menggantikan jawatan Timbalan Perdana Menteri.

Apakah fungsi jawatan Menteri Kanan jika jawatan Timbalan Perdana Menteri telah dilantik?

Hal ini menggambarkan pelantikan jawatan baharu ini hanya bertujuan untuk menyelamatkan kedudukan Perikatan Nasional menjelang Sidang Parlimen yang hampir tiba untuk terus menerajui negara meskipun kerajaan pentadbiran Muhyidin Yassin ini telah terbukti gagal.

Pengumuman demi pengumuman dibuat, namun ia tidak dapat dicanai dan dibahaskan sebaiknya mengikut kehendak keperluan rakyat.

Parlimen yang akan bersidang 26 Julai ini diharap ada perubahan boleh terhadap langkah-langkah yang ingin diambil oleh kerajaan agar ia boleh betul betul membantu rakyat.

Ketika negara luar memecat menteri yang gagal mentadbir kementerian mereka, Kerajaan Malaysia pula masih menyimpan menteri dan timbalan menteri yang tidak berfungsi.

Terdapat beberapa Kementerian di Malaysia yang mempunyai 2 orang timbalan menteri, tetapi ianya untuk jawatan dan kepentingan politik.

Kabinet Malaysia sekarang adalah kabinet yang terbesar dalam sejarah Kerajaan Malaysia.

Hakikatnya, lebih ramai menteri, lebih tinggi kos ditanggung kerajaan.

Fakta tersebut menimbulkan kebimbangan dalam kalangan rakyat apatah lagi selepas mengambil kira keadaan ekonomi negara yang tidak begitu memberangsangkan.

Jika keadaan sebegini berterusan, maka nasib rakyat akan dipertaruhkan dan bukan lagi menjadi keutamaan tetapi kedudukan dan jawatan yang ingin dikejar dan dicapai. – Sumbangan SIMSUDIN SIDEK.

 *** Penulis adalah Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Labuan. 

NOTA: Pandangan penulis tidak semestinya menggambarkan pendirian media ini.

scroll to top