Bung Bersama Rombongan UMNO Sabah Lakukan Tinjauan Awal Ke Melaka

BINCANG: Bung berbincang dengan Setiausaha Eksekutif UMNO Sabah Datuk Awang Aslee Lakat dan Penolong Setiausaha UMNO Sabah Datuk Jumat Idris semasa tinjauan awal itu.

Oleh MARIAYATI MURSIDI

MELAKA: Sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang akan diadakan pada 20 November depan, Ahli Majlis Tertinggi UMNO yang juga Ketua UMNO Sabah Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin bersama rombongan UMNO Sabah turun padang bagi membuat tinjauan awal di beberapa buah tempat di negeri yang bersejarah itu.

Bung yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah bersama rombongan turut meninjau beberapa pusat daerah mengundi (PDM) selain beramah mesra dengan golongan peniaga di beberapa lokasi di Melaka.

Sebagaimana yang dimaklumkan awal, UMNO Sabah akan menghantar jenteranya bagi membantu calon-calon UMNO dan Barisan Nasional (BN) di beberapa buah PDM yang akan ditetapkan untuk UMNO Sabah menjaganya pada PRN Melaka kali ini.

“UMNO Sabah akan menghantar jenteranya semasa PRN Melaka kali ini dan akan berkampung di sini dari hari penamaan calon, masa berkempen dan hari pengundian,” katanya ketika ditemui selepas melakukan tinjauan awal ke Melaka baru-baru ini.

Turut serta dalam tinjauan awal itu, Setiausaha Eksekutif UMNO Sabah Datuk Awang Aslee Lakat, Penolong Setiausaha UMNO Sabah Datuk Jumat Idris, Ketua Puteri UMNO Sabah Datuk Dr.Fadilah Sabri dan beberapa Ketua UMNO bahagian dari Sabah.

scroll to top