Calon pilihan rakyat diutamakan

KOTA KINABALU: Barisan Nasional (BN) Sabah akan mengutamakan calon pilihan rakyat bagi merampas semula kerusi Parlimen Kota Belud pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan datang.

Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, kepimpinan BN akan berusaha memastikan calon yang diletakkan termasuk di Kota Belud menang.

Katanya, apa yang penting semua jentera BN termasuk di setiap cawangan, pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri turun padang memastikan kemenangan calon BN.

“Kota Belud adalah kubu kuat BN dan kita akan kembalikan status berkenaan. Calon kita akan pilih yang boleh menang dan boleh diterima serta disukai rakyat Kota Belud.

“Apa yang penting jentera BN harus siap sedia untuk pastikan kemenangan calon BN,” katanya pada pelancaran Program Gelombang Biru BN Kota Belud dan Tuaran, di sini, semalam.

Sebelum ini, Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan memberi bayangan akan kembali bertanding di Kota Belud.

Katanya, ia bagi meneruskan agenda pembangunan yang dirancangnya ketika menjadi Ahli Parlimen Kota Belud selama dua penggal sejak 2008 dapat diteruskan.

Ketika ini, kerusi Parlimen Kota Belud disandang Isnaraissah Munirah Majilis dari Parti Warisan (WARISAN) selepas berjaya menewaskan calon BN, Datuk Seri Salleh Said Keruak.

Bung Moktar yang juga Ketua UMNO Sabah berkata, pemimpin dan ahli BN perlu bersatu hati pada PRU-15 bagi memastikan kemenangan calonnya.

Katanya, perlu diingatkan bahawa tiada lagi pecah belah, sabotaj atau cantas-mencantas dibenarkan berlaku seperti sebelum ini apabila tidak dicalonkan.

“Belajarlah daripada kesilapan lalu, BN sudah pernah kalah pada 2018, antara puncanya ialah sabotaj, potong memotong sebab tidak setuju dengan calon yang dipilih parti.

“Kalau ini berlaku lagi jangan harap Kota Belud ada pembangunan. Kita tengok WARISAN, selama ia memerintah sebelum ini apa yang dia buat di sini.

“Justeru itu percayalah jangan lagi kita berbalah, kita kena ada solidariti dalam kepemimpinan. Siapa yang terpilih menjadi calon, maka kita sokonglah beramai-ramai,” katanya.

 

scroll to top