Daripada Tubuh Parti Baharu, Lebih Baik Tumpukan Pembangunan Melalap

STANIS BUANDI

TENOM: Keputusan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap Datuk Peter Anthony meninggalkan parti pembangkang Warisan bagi menubuhkan parti baharu berasaskan KDMR yang dikatakan mesra kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) diterima baik oleh rakan sekutu di sini.

Namun, Timbalan Ketua Bahagian Parti Bersatu Sabah (PBS) Melalap Stanis Buandi mengingatkan Peter agar ikhlas dalam perjuangan baru beliau sebagai ADUN mesra GRS.

“Beliau harus fokus membangunkan Melalap, seperti yang diharapkan oleh pengundi serta masyarakat di sini kerana ini merupakan janji beliau pada masa pilihanraya lalu.

“Antara janji-janji beliau semasa Pilihanraya Negeri 2018 termasuk membina kilang tayar, jalan by-pass ke pekan untuk mengelak kesesakan jalanraya ke pekan Tenom, mengiktiraf Melalap sebagai daerah penuh dan mewujudkan pekan baru Melalap,” ujar Stanis.

Stanis turut mengingatkan Peter bahawa masyarakat Melalap telah memilih beliau sebagai wakil rakyat mereka, dan mengharapkan apabila beliau memegang portfolio sebagai Menteri Pembangunan Infrastruktur, beliau menunaikan tanggungjawab sebagai ADUN dan menteri.

“Peter juga telah menjanjikan projek pembangunan landasan keretapi Tenom – Melalap, namun selepas 26 bulan sebagai Menteri, ia kekal hanya sebagai janji manis. Malahan, banyak kemudahan awam dan infrastruktur terbiar dan tidak diselenggarakan.

Walaupun gagal menepati janji PRN 2018, rakyat Melalap masih menyimpan kepercayaan terhadap Peter dan sekali lagi beliau menang pada pilihanraya tahun lalu.

“Kini, Peter perlu menumpukan perhatian terhadap melangsaikan ‘hutang-hutang’ beliau kepada pengundi beliau di kawasan ini.

“Saya merasakan beliau perlu terlebih dahulu memberi  tumpuan kepada konteks kemajuan dan pembangunan di Melalap, dan bukanya sibuk menubuhkan parti baru untuk mencari kelangsungan karier politik beliau,” ujar Stanis.

Stanis menambah alasan Peter meninggalkan Parti Warisan kononnya parti itu telah tersasar jauh dari perjuangannya dengan melebarkan sayap ke Semenanjung Malaysia, adalah tidak konsisten dengan pendirian beliau sebelum ini kerana sebagai Naib Presiden Warisan ketika itu, beliau menyokong penuh keputusan tersebut seperti yang dicoretkan melalui Facebook beliau semasa kongress parti tersebut baru-baru ini.

“Alasan Peter keluar parti kerana tidak bersetuju dengan Warisan melebarkan sayap ke Semenanjung adalah tidak bernas, seperti yang dikatakan oleh Presiden Parti Datuk Seri Shafie Apdal dalam kenyataan akhbar beliau baru-baru ini,” ujar Stanis.

Beliau, yang juga Ahli Majlis Tertinggi PBS, berkata Presiden Warisan juga telah membuka pekung di dada apabila menyatakan Peter meninggalkan parti kerana bimbang terhadap kes mahkamah yang mengarahkan beliau membela diri pada 3 Jan 2022 setelah pihak pendakwa membuktikan kes prima facie terhadapnya.

“Jika Peter ikhlas sebagai wakil rakyat, beliau perlu memperjuangkan kemajuan Melalap, serta menumpukan perhatian kepada tugasan beliau sebagai ADUN, dan bukannya sibuk bermain politik dengan menubuhkan parti baharu berasaskan Kadazan Dusun Murut (KDM).

“Biarlah parti yang telah lama bertapak di Sabah seperti PBS, Parti Star dan PBRS (Parti Bersatu Rakyat Sabah) meneruskan perjuangan tersebut kerana kita khuatir ia akan menambah perpecahan di kalangan pelbagai kaum dan seterusnya memburukkan lagi situasi politik di negara ini,” kata Stanis.

scroll to top