TUARAN: Mantan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Tuaran (2001-2004), Datuk Haji Noortaip Haji Suhaili mengambil keputusan dramatik untuk bertanding dalam Pilihanraya Umum ke-15 (PRU-15) di kawasan Parlimen P.170 Tuaran atas tiket bebas.
“Saya bertanding atas dasar prinsip,” katanya sambil memberitahu keputusan itu dibuat pada saat akhir selepas mempertimbangkan semua perkara.
Beliau berkata kawasan Parlimen P.170 adalah kerusi yang dimenangi oleh Barisan Nasional (BN) dalam PRU-14 dan sepatutnya diwakili oleh BN.
“Saya berjuang cuba mempertahankan kawasan Parlimen P.170 Tuaran ini ditandingi oleh BN tetapi BN tidak mendapat peluang bertanding di kawasan ini,” katanya kepada media.
Menurutnya, kerusi P.170 Tuaran sepatutnya diberikan kepada BN yang memenangi kawasan itu pada PRU-14 tetapi sekarang kerusi P.170 Tuaran diberikan kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang diwakili PBS.
Datuk Haji Noortaip yang dikenali sebagai seorang pemimpin yang ramah, banyak terlibat dalam NGO, berpengalaman luas dijangka memberi cabaran sengit kepada calon-calon yang bertanding dalam PRU-15 di kawasan P.170 Tuaran.
“Oleh itu, saya menawarkan diri untuk bertanding dalam PRU-15 ini. Saya ingin memberikan alternatif kepada pengundi…saya mewakili suara rakyat yang mahukan seorang calon yang dapat mewakili aspirasi mereka yang memerlukan pembelaan,” katanya.
Dalam PRU ke-14 lepas, Datuk Seri Panglima Madius Tangau, Presiden UPKO yang bertanding atas tiket BN memenangi kerusi Parlimen Tuaran dengan majoriti 7,624 setelah memperolehi sebanyak 22,494 undi mengalahkan calon PKR, Chrisnadia Sinam (14,870).
Tiga lagi calon, Datuk Kalakau Untol mewakili Parti Cinta Sabah (PCS) memperolehi 2,611 dan Syra Peter @ P Gom dari Parti Harapan Rakyat Sabah memperolehi 2,311 dan Paumin @ Mohd Aminuddin Aling dari Parti Islam Se Malaysia (PAS) memperolehi 1,357 undi.
GRS dibentuk atas gabungan parti PBS, STAR, SAPP, dan USNO + PPBM, BN dan PAS sementara Barisan Nasional menggabungkan UMNO, PBRS, MCA dan MIC + Friend of BN.
Semasa PRN Sabah 2020, DUN Sulaman dimenangi Hajiji Haji Noor (PPBM), DUN Dalit – Jasnih Haji Daya (UMNO) DUN Tamparuli – Jahid Jahim (PBS) dan DUN Kiulu – Jonistan Bangkuai (PBS).
Dalam PRU-15 kali ini, kerusi Parlimen P.170Tuaran dijangka menyaksikan pertembungan di antara penyandang, Datuk Seri Panglima Madius Tangau (PH-UPKO), Datuk Joniston Bangkuai (GRS-PBS), Jo-anna Sue Henley Rampas (Warisan), Muminin Kalingkong (GTA-Pejuang) dan Datuk Haji Noortaip Haji Suhaili (Bebas).