GRS tidak harus tergesa-gesa terima rakan kongsi baharu

DATUK JONISTON BANGKUAI

KOTA KINABALU: Fokus utama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) seharusnya untuk mengukuhkan lagi hubungan erat antara ahli parti pengasas sedia ada sebelum mempertimbangkan menerima parti baharu.

Setiausaha Agung Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Joniston Bangkuai berkata GRS kini dalam proses pendaftaran secara rasmi berikutan kejayaan parti- parti pengasas memenangi pilihan raya negeri ke-16 tahun lalu, maka gabungan ini harus mengekalkan rakan kongsi asal yang telah membuktikan komitmen serta perjuangan mereka.

Parti tersebut ialah Perikatan Nasional (PN) Sabah, Barisan Nasional (BN) Sabah dan PBS.

“Walaupun kami mengalu-alukan sokongan daripada semua rakyat Sabah, tetapi kita tidak boleh tergesa-gesa untuk membentuk pakatan dengan parti-parti baharu dimana kesetiaan dan semangat rakan kongsi masih belum dibuktikan,” tambah Joniston, yang juga Ketua Penerangan GRS.

Bercakap bagi pihak Biro Politik PBS, yang baru sahaja berbincang mengenai pendirian parti itu mengenai hasrat permohonan ahli GRS baharu, Joniston mengulas pengumuman mantan naib presiden Parti Warisan Datuk Peter Anthony yang berhasrat parti baharu pimpinan beliau – Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) yang baru didaftarkan, memohon menyertai gabungan politik pemerintah di Sabah.

Peter, yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Melalap telah meletak jawatan daripada Parti Warisan pada Disember tahun lepas kerana parti itu telah tersasar daripada perjuangan terasnya apabila ia mengembangkan sayap ke Semenanjung Malaysia.

Joniston, yang juga Adun Kiulu, menegaskan parti baharu yang berhasrat untuk menyertai GRS mesti menunjukkan aspirasi dan motivasi politik mereka serta sumbangan jangka panjang yang tulus dan ikhlas kepada GRS.

“Sebarang keputusan untuk menerima parti baharu, termasuk yang telah mengisytiharkan mesra GRS, ke dalam gabungan itu mesti mendapat kata sepakat daripada semua rakan kongsi sedia ada.

“Lagipun, individu yang menerajui parti-parti ini (berhasrat untuk menyertai GRS) adalah lawan politik kita lebih setahun lalu. Oleh itu, adalah menjadi keutamaan kita untuk menjaga rakan kongsi asal di samping mengukuhkan lagi perpaduan dalaman kita.

“Apa yang kita mahu lihat ialah gabungan yang dibina berasaskan kepercayaan dengan memberi keutamaan kepada kepentingan rakyat dan masa depan negeri,” katanya.

Tegasnya, PBS percaya kepada kebijaksanaan pengerusi GRS dan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor dalam memastikan keharmonian di kalangan semua rakan pengasas GRS kekal pada tahap tertinggi.

Sebagai parti politik tempatan yang terbesar dan tertua di Sabah, Joniston menegaskan PBS telah dan akan terus bekerja tanpa henti untuk mengukuhkan GRS.

Ini dapat dilihat dalam lonjakan dalam permohonan keahlian PBS serta pembukaan cawangan – cawangan baharu,” katanya.

scroll to top