Hanya empat Ahli Warisan Lahad Datu Sertai Mohamaddin Keluar Parti – Azhar

TERUS SETIA ...Ag Ahmad Shah Ashari hadir di majlis itu.

LAHAD DATU: Parti Warisan Sabah (Warisan) mengesahkan hanya empat orang ahlinya menyertai Ahli Parlimen Lahad Datu Datuk Mohamaddin Ketapi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Segama mengumumkan keluar malam tadi.

Ahli Majlis tertinggi (AMT), Azhar Matussin berkata, ini sekali gus memperlihatkan Warisan Bahagian Lahad Datu tetap kukuh berada pada landasan terbaik mengambil semula kedua-dua kerusi tersebut dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Katanya, penyokong Warisan Lahad Datu sudah terbiasa dengan ketiadaan Mohamaddin Ketapi berikutan beliau jarang berada di kawasan untuk berjumpa rakyat.

“Pemergiannya sangat tidak akan dirasai oleh setiap lapisan penyokong Warisan di Lahad Datu…malah tadi dalam dewan ketika sidang media dijalankan suasana dewan penuh dengan sorakkan kehadiran daripada penyokong tegar Warisan.

“Dalam taklimat dijalankan oleh Bahagian dihadiri Ahli Jawatankuasa bahagian terdiri daripada Wanita, Wira serta Wirawati sambutan sangat di luar jangka…dewan penuh manakala sebahagian penyokong terpaksa menunggu di luar dewan, untuk mematuhi Prosuder Standard Operasi (SOP) yang ditetapkan,” katanya.

Hadir sama dalam sidang media, Ketua Penerangan Warisan Sabah, Datuk Ag Ahmad Shah Ashari serta Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Parti Warisan Sabah (Warisan).

AZHAR

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.

Azhar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Darau berkata, keyakinan yang ditunjukkan dengan kehadiran ramai penyokong tadi memperlihatkan sokongan padu serta kekal bersama-sama kepimpinan parti, Datuk Seri Mohd Shafie Afdal.

“Ketika ini semua kepimpinan akan bersatu padu mengatur strategi untuk menggerakkan jentera persiapan Pilihan Raya Umum (PRU) yang bakal diadakan pada bila-bila masa,” katanya.

Dalam perkembangan sama ketiga-tiga Adun dalam Parlimen Lahad Datu menunjukkan kesetiaan tidak berbelah bagi kepada pucuk pimpinan parti.

“Mereka ialah Assaffal Alian merangkap Adun Tungku selaku Timbalan Ketua Bahagian manakala Adun Kunak Norazlina Arif serta Dumi Pg Masdal Lahad Datu, kekal dengan pendirian untuk bersama Warisan Sabah serta fokus membantu rakyat selaras dengan mandat yang diberikan rakyat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu,” katanya.

scroll to top