BEAUFORT: Datuk Hajah Johair Matlani, 57 tahun, anak jati Beaufort menetap di Kampung Kebatu dicalonkan untuk Parti Kesejahteraan Masyarakat (KDM) dan bertanding di kawasan Parlimen P. 177 Beaufort dalam Pilihan Raya Umum ke-15.
Ketika mengesahkan pencalonan berkenaan kepada media sejurus selepas penamaan calon di Pusat Penamaan Calon Pilihan Raya Umum Ke-15 P. 177 Beaufort, di sini, berkata, beliau akan mengundi di Sekolah Kebangsaan Takuli Beaufort.
Johair yang juga mantan Penolong Kanan Sekolah yang meletakkan jawatan kerana meneruskan kerjaya dalam bidang politik dan perniagaan, berpendidikan Sarjana Muda Sains daripada Universiti Putra Malaysia.
“Saya menawarkan diri untuk bertanding pada kali ini adalah bagi mewakili suara Sabah melalui Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), sebuah parti yang bukan parti Kadazan Dusun Murut, tetapi merupakan sebuah parti Multirasial yang baharu ditubuhkan pada awal tahun ini.” kata Johair.
Menurut Johair, KDM membawa suara Sabah sebagai parti tempatan yang hanya dianggotai oleh rakyat Sabah warganegara Malaysia. KDM juga merupakan sebuah parti `original’ Sabahan.
“Kita menawarkan agenda pembangunan ekonomi dan sosial kepada anak-anak muda lepasan sekolah, wanita dan ibu tunggal serta warga Beaufort yang mempunyai pelbagai kemahiran hidup,” katanya.
Menurut beliau lagi, rakyat Sabah akan terus berjuang mempertahankan hak-hak Sabah di tempatnya dengan keyakinan untuk meletakkan sebuah kerajaan yang stabil di Putrajaya.
” Ayuh! Warga Sabah, bangkit dan pilih KDM untuk suara Sabah yang terbaik dan lebih berkesan.”Tegas beliau yang merupakan calon ke-6 dalam pertandingan 6 penjuru bagi kawasan P. 177 Beaufort.
Kawasan perlimen P. 177 Beaufort ditandingi oleh Datuk Hajah Johair Matlani yang bertanding bagi tiket (KDM) , Dikin Musa (PKR-PH), Masri Adul (WARISAN), Datuk Hajah Siti Aminah Aching, (UMNO-BN), Johan O. T Ghani (BEBAS), Matlani Sabli (BEBAS ) .