Parti STAR Paling Cepat Berkembang Di Malaysia – Dr Jeffrey

PISTOL: Dr Jeffrey menerima cenderamata dari Naib Presiden Kapitan Stephen Teo.

HENRY BATING

KOTA KINABALU: Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Sabah adalah parti yang paling cepat berkembang di Malaysia meskipun pada awal pendaftarannya pada 2016 masih ramai melihat perjuangan parti kurang realistik.

Presiden STAR Sabah Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan berkata pendaftaran STAR Sabah merupakan kesinambungan dari kewujudan STAR Sarawak di Sabah yang telah bermula dengan kemenangan satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Nampaknya dalam tempoh yang singkat, penerimaan rakyat ke atas dasar dan matlamat perjuangan STAR meningkat terus-menerus,” katanya.

Dr Jeffrey yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah menegaskan, penerimaan rakyat terhadap perjuangan STAR semakin nyata apabila parti itu menjadi gabungan Perikatan Nasional (PN) di peringkat Persekutuan dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di peringkat negeri.

Jelas Dr Jeffrey yang juga Ahli Parlimen Keningau serta ADUN Tambunan, rakyat telah memberi STAR kedudukan penting melalui kemenangan enam dari lapan calon bertanding pada pilihan raya umum negeri lalu.

Dr Jeffrey berkata demikian ketika berucap di Malam Solidariti Mesyuarat Agung Perwakilan Tri-Tahunan STAR Ke-2 yang bersempena dengan Majlis Harijadi Ke-74 beliau di Sokid Villa pada Rabu.

Mengimbas tentang majlis dua dalam satu itu, Dr Jeffrey menyatakan perjalanan hidup pemimpin dan perjuangan parti adalah dua elemen kehidupan yang berjalan seiringan.

“Pemimpin merintis perjuangan dengan menempuh pelbagai rintangan dan halangan, namun sampai masanya harus ada pejuang parti yang mengangkat dan meneruskan perjuangan yang telah kita pelopori,” jelas Dr Jeffrey.

Mesyuarat Agung Perwakilan Tri-Tahunan STAR Ke-2 berlanjut hari ini dengan pengumuman pemilihan kepimpinan baharu parti.

scroll to top