Partisipasi parti tempatan pasak penting kestabilan politik negeri

ISKANDAR ZULKARNAIN HAJI RAMLI

KOTA KINABALU: Partisipasi parti tempatan dalam wadah besar Kerajaan Negeri hari ini adalah salah satu pasak penting kepada kestabilan politik negeri Sabah, sebarang anasir yang menidakkan kepentingan parti tempatan adalah satu bentuk keangkuhan, kata Ketua Pemuda Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Iskandar Zulkarnain Haji Ramli.

“Perlu diingatkan bahawa kebanyakan advokasi untuk mengangkat persoalan rakyat teramai juga datang daripada parti-parti tempatan,” katanya ketika diminta mengulas kenyataan Ketua Pemuda UMNO Sabah, Ir Abdul Aziz Julkarnain seperti yang tersiar di media tempatan baru-baru ini.

Jika ada yang menyatakan, pentadbiran kerajaan yang diterajui parti tempatan sekitar tahun 1970-an dan 1990-an sebagai gagal dan menjadi punca banyak hak negeri ini terhakis, maka kita juga boleh menyalahkan parti nasional yang mentadbir di peringkat Persekutuan pada ketika itu, katanya.

“Bahkan, dalam tempoh 31 tahun parti nasional tertua bertapak di Sabah dan mempunyai rekod ahli terbanyak di antara negeri – kita masih tidak melihat sebarang perubahan besar dalam perolehan semula hak-hak yang kononnya terhakis dahulu, dari segi ekonomi dan pembangunan pun kita masih tercorot,” kata Iskandar.

Beberapa hari lepas, kita menyaksikan bagaimana jalinan persepakatan GRS digoncang oleh ucapan seorang presiden parti nasional yang begitu sinikal terhadap pimpinan negeri yang pastinya disebabkan perbezaan idealogi parti di peringkat nasional.

Jika keadaan seperti inipun pimpinan parti nasional di peringkat negeri tidak boleh kawal, bagaimana kita boleh meletakkan harapan tinggi kepada mereka?, kata Iskandar.

Didalam ketegangan yang terlihat kendur ini, pastinya peranan parti-parti tempatan adalah sangat signifikan untuk mengimbangi keadaan.

Tidak dinafikan ada parti tempatan yang bersikap terlalu agresif hingga menyalahkan parti-parti nasional yang mendominasi persekutuan, tetapi banyak juga parti tempatan yang mensasarkan strategi matang dan toleran, hatta sanggup membantu menjayakan agenda Sabah Maju Jaya hari ini.

Iskandar menyifatkan tindakan sesetengah pemimpin memukul rata sebegini adalah satu kepincangan yang perlu dihentikan.

Rakyat Sabah sudah lama menantikan perubahan khususnya dalam isu mendapatkan semula hak-hak negeri ini, meransang pertumbuhan ekonomi dan mengangkat isu-isu berkait kepentingan rakyat. Pertikaian dan perkelahian siasah tidak akan menguntungkan sesiapa.

Sebelum ini, Ir Abdul Aziz menyatakan formula bergantung sepenuhnya kepada parti tempatan untuk memperjuangkan hak-hak negeri ini tidak akan berjaya kerama peranan parti nasional amat penting.

Mengulas perkara ini, Iskandar berkata “ baik parti tempatan mahupun nasional – kita harus berganding bahu dengan ikhlas untuk membangunkan Sabah dan rakyatnya, ketepikan sentimen federalisasi atau kenegerian, politik adalah alat untuk berkhidmat, ibarat medan yang luas, jangan disempitkan dengan mengundang perbalahan politikal.”

scroll to top