Pemimpin UMNO Digesa Terap Lima Sifat

ABDUL HAMID HARUN

LAHAD DATU: Pemimpin UMNO baik di peringkat pimpinan tertinggi bahagian mahupun kepimpinan di peringkat cawangan dan akar umbi hendaklah menerapkan lima sifat yang utama, iaitu sifat memimpin, sifat membangunkan, sifat mencetus, memiliki sifat mengeratkan dan sifat mentadbir  kata Abdul Hamid Harun Perwakilan UMNO Cawangan Kampung Buang Sayang Kunak.

“Mencetus dan membangun sangat penting untuk diterapkan dalam kepimpinan kita,” katanya ketika membahaskan usul ekonomi dalam persidangan UMNO Bahagian Silam.

Menurutnya, pemimpin mestilah kritis dan pintar mencetuskan program-program pembangunan dengan menganjurkan program dan seminar keusahawanan, mengajar ahli-ahli ilmu keusahawanan seperti pengurusan perniagaan, mengurus konsep perniagaan dan perakaunan.

“Walaupun dalam skala yang kecil namun ia bermanfaat pada semua. Memberi kesedaran dan penerangan yang kerap berkaitan peranan Mara, Felcra, Tekun, AIM dan syarikat GLC kerajaan yang disediakan di mana-mana Jabatan dan Kementerian, menjemput dan memanggil tenaga pakar dalam bidang keusahawanan masing-masing ke kawasan kita, adakan kursus dan seminar untuk membimbing ahli dan akar umbi kita,” katanya.

Katanya, ahli-ahli UMNO perlu diperkasakan dari sudut ekonomi.

“UMNO lahir bukan saja untuk mempertahankan agama, meningkatkan mutu pendidikan dan menjaga kedaulatan undang-undang, parti keramat Melayu ini juga lahir untuk memperkasakan ekonomi, bumiputera,” katanya.

Menurutnya, ekonomi adalah pencetus dan kekuatan pada penubuhan parti keramat ini, apabila melihat orang Melayu semakin terpinggir dan dipinggirkan dalam arus ekonomi.

Katanya, pemimpin UMNO di peringkat akar umbi khususnya pimpinan UMNO Bahagian Lahad Datu hendaklah peka dan bersemangat dalam membantu ahli untuk menjadi ahli yang cekap, memiliki jiwa perniagaan dan menceburkan diri dalam perniagaan.

“Jika ahli tidak tahu, bantu mereka untuk tahu dengan cara menunjukkan jalan dan memberikan maklumat yang tepat berkaitan permohonan dana kerajaan yang ada untuk perniagaan mereka.

Hamid berkata,UMNO akan tetap utuh apabila ahlinya dan akar umbinya memiliki kewibawaan dalam segenap aspek.

Aspek sahsiah yang terpuji, silaturahim yang erat tambahan kemajuan dalam ekonomi dan kecemerlangan yang tinggi.

Bagi meneruskan agenda UMNO dan fokus kepada memupuk kesedaran dan ingin memajukan ahli dan kepimpinan, beliau mencadangkan agar UMNO Silam memiliki sumber dan ekonomi yang baik.

Antara cadangan yang diutarakan ialah Koperasi Anak Muda Silam (KOPUMS) ditubuhkan di bawah seliaan ketua bahagian dan biro ekonomi dan kita akan melantik seorang pengerusi anak muda yang memiliki kelayakan untuk mengetuai koperasi ini.

Koperasi ini bertindak dalam mengurus tadbir aktiviti perniagaan anak muda ahli umno dan anak muda yang berminat masuk ahli UMNO, pengerusi akan sentiasa berkerjasama dengan Jabatan Koperasi Kementerian yang ada di sekitar kawasan dan ibu pejabat koperasi Malaysia.

Beliau juga mencadangkan penubuhan satu kampung satu Industri.

“Kita akan mengenal pasti kampung yang bersesuaian untuk penubuhan Industri kecil dan sederhana bagi aktiviti ekonomi. Contoh kilang pemprosesan rumpai laut, ikan kering, belacan, keropok lekor, sambal dan pengilangan mee kuning serta yang berkaitan,“ katanya.

Beliau amat yakin dengan adanya aktiviti ekonomi seperti ini, ahli akan berlumba-lumba memasuki UMNO dan akan terus menyokong parti keramat ini ekonomi adalah agenda utama kita.

UMNO Lahad Datu juga mencadangkan bantuan skim rumah pertamaku bagi anak muda yang baharu berkahwin dan mendirikan rumahtangga.

“Kita sedia maklum akan keadaan ekonomi pada ketika ini maka kita sangat mengharapkan agar bantuan ini dapat diusahakan kepada pasangan yang baru mendirikan rumahtangga bagi meneruskan kehidupan mereka.

Bantuan ini di dirikan di tanah pemohon sendiri ataupun tanah sendiri, nilai bantuan RM100,000 sahaja.

Seterusnya UMNO Lahad Datu mencadangkan pengeluaran akuan daripada KWSP I-Citra RM10,000. Secara one off pada Pemegang akaun,“ katanya.

“Sesungguhnya, kita ingin melihat kaum bumiputera berjaya meletakkan diri sebaris dengan kaum lain di negara kita, bukan kita mencemburui kejayaan mereka tetapi sebagai bangsa yang bertamadun dan berjaya sudah pastinya kita ingin melakar sejarah dan ingin menjadi bangsa yang berjaya dan berekonomi.

scroll to top