Pemimpin Warisan Tuaran Keluar Parti

Oleh Vitalis G Bingkasan

KOTA KINABALU: Parti Warisan terus kehilangan pempimpin-pemimpin dan kawasan Kadazan Dusun Murut (KDM) sejak mantan naib presidennya, Datuk Peter Anthony mengumumkan keluar dari parti itu untuk menubuhkan parti baharu, penghujung tahun lalu.

Pada Sabtu (22 Januari), pemimpin-pemimpin Warisan bahagian Tuaran diketuai Timbalan Ketua Bahagian, Michael Angkui dan Ketua Wanita Bahagian Tuaran yang juga AJK Exco Wanita Negeri, Kiniah @ Mary Galanson mengumumkan keluar Warisan.

Majlis pengumuman yang dibuat di Tuaran itu turut disertai bekas Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Warisan negeri yang juga bendahari Warisan bahagian, Henry Saimpon; Timbalan Ketua Wira Bahagian, John Saimpon; Timbalan Ketua Wirawati Bahagian, Erwina Nuar dan beberapa ketua, AJK Bahagian dan AJK cawangan, ketua Pusat Daerah mengundi (PDM) dan mantan pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK).

Michael berkata, mereka menghormati Presiden Parti Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Peter sebagai antara pejuang hak-hak rakyat negeri ini.

“Tetapi apabila kedua-dua pemimpin ini sudah bebeza haluan, kami perlu buat pendirian dan kami memilih untuk menyokong penuh matlamat perjuangan DPA (Datuk Peter Anthony) demi memperjuangkan rakyat Sabah melalui parti tempatan yang ada.

“Kami juga berharap agar parti-parti tempatan ini akan berkerjasama demi kepentingan hak-hak orang sabah pada masa akan datang,” katanya.

Peter yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap bersama ADUN Limbahau, Datuk Juil Nuatim mengumumkan keluar dari Warisan pada penghujung tahun lalu.

Susulan itu, beberapa pemimpin Warisan di beberapa kawasan turut mengumumkan keluar seperti Tenom, Keningau, Sepanggar, Matunggong, Kota Marudu dan Limbahau.

Peter baru-baru ini memberitahu bahawa parti baharunya itu telah diluluskan tetapi hanya akan didedahkan dalam majlis pengenalan di Tenom pada 28 Januari ini.

Peter juga ialah Presiden Pertubuhan Kadazan Dusun Murut (KDM) Malaysia manakala Juil ialah timbalannya.

scroll to top