PN janji sokong kerajaan hingga habis penggal – Ronald

DR. RONALD KIANDEE

SERDANG: Perikatan Nasional (PN) akan terus menyokong kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sehingga habis penggal.

Naib Presiden Bersatu Datuk Seri Ronald Kiandee berkata, pendirian itu dibuat demi memastikan kestabilan politik terus dicapai di negara ini.

“Ada pun pilihan raya umum (PRU) akan dipanggil, tempohnya hampir tamat tahun depan.

“Sehingga kini, kita beri komitmen untuk sokong kerajaan untuk pastikan kestabilan politik negara kita akan berkekalan sehingga dipanggil tempoh yang telah ditentukan Perlembagaan,” katanya laporan FMT selepas merasmikan Laman Padi di Pameran Pertanian, Hortikultur dan Pelancongan Agro Malaysia 2022.

Ronald yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan mengulas pendirian Ismail semalam bahawa kerajaan sedia mengadakan PRU jika PN menarik balik sokongan terhadapnya.

Ismail berkata, sebarang tindakan yang bakal diambilnya hanya akan berpandukan pendirian rasmi PN.

Hubungan Ismail dan PN, khususnya Bersatu, selaku tonggak gabungan itu dilaporkan “dingin” selepas beberapa tuntutan parti itu tidak diambil tindakan, termasuk persetujuan bertulis Ismail untuk melantik timbalan perdana menteri daripada Bersatu.

Ismail juga mengundang rasa tidak puas hati Bersatu apabila mengekalkan Zuraida Kamaruddin sebagai menteri perusahaan perladangan dan komoditi selepas beliau meninggalkan parti itu Mei lalu.

Jumaat lalu, The Star melaporkan kepimpinan PN kecewa dan “hilang sabar” selepas Ismail membatalkan pertemuan dengan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin pada saat-saat akhir.

Laporan itu memetik pimpinan PN Sabah berkata, pilihan untuk menarik balik sokongan terhadap Ismail dibincangkan dalam mesyuarat gabungan itu minggu lalu.

Tetapi, Ahli Majlis Tertinggi Bersatu, Faiz Na’aman menyifatkan laporan itu sebagai “provokatif” dan menegaskan parti itu akan kekal memberikan sokongan kepada Ismail.

scroll to top