RUU Anti Lompat Parti tidak wajar ditangguh – Madius

MADIUS TANGAU

KOTA KINABALU: Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti harus dibentangkan pada sidang Parlimen yang sedang berlangsung sebagaimana dipersetujui bersama sebelum ini.

Demikian tegas Ahli Parlimen Tuaran Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau, susulan kenyataan pelbagai pihak berhubung perkara itu.

“Saya secara peribadi terkejut dengan makluman dan laporan media bahawa RUU ini akan ditangguhkan dan tidak akan dibentangkan semasa sidang Parlimen yang sedang berlangsung.

“Ia sekali gus bertentangan dengan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar bulan lalu dan juga semangat Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani oleh Pakatan Harapan (PH) dengan Perdana Menteri,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, keputusan sepihak untuk menangguhkan pembentangan kini menimbulkan pelbagai persoalan dan kerisauan mengenai nasib RUU ini selepas ini.

“Mengapa keputusan penangguhan ini dibuat secara tiba-tiba tanpa alasan yang kukuh?

“Betulkah keseluruhan Kabinet tidak bersetuju dengan kandungan RUU ini? Apakah Kabinet kepimpinan Perdana Menteri tidak bersetuju dari awal lagi atau membuat pusingan baru-baru ini? Peruntukan mana yang menjadi halangan kepada Kabinet daripada meneruskan pembentangan di Parlimen pada sidang semasa?,” soalnya.

Madius berkata, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) dan Perdana Menteri perlu memberikan jawapan kepada keputusan menangguhkan pembentangan RUU ini.

“Jika tidak, saya bimbang kepercayaan rakyat ke atas kerajaan pimpinan Perdana Menteri dan juga ke atas PH, yang menandatangani MoU ini, akan tergugat dan terjejas. Rakyat akan menganggap kerajaan semasa ‘flip flop’ dalam perkara ini.

“Sebagai pihak yang menandatangani MoU dengan Perdana Menteri, kami, PH, bertanggungjawab kepada rakyat dalam menjawab isu ini. Oleh itu, kita tiada pilihan melainkan meneruskan keputusan membentangkan RUU ini pada sidang semasa,” katanya.

Oleh itu katanya, adalah wajar sidang Parlimen semasa disambung untuk tujuan pembahasan dan diluluskan.

“Kita boleh melakukan penambahbaikan seterusnya selepas dikuat kuasakan. Kami bimbang sikap dolak-dalik atau ‘flip flop’ ini tidak akan membantu merealisasikan usaha mewujudkan sebuah akta bagi menghapuskan budaya lompat parti sebelum Pilihan Raya Umum ke-15,” katanya.

scroll to top