Sokongan STAR Meningkat, Ubah Lanskap Politik Parlimen Kota Belud

TERIMA BORANG ... Awang Saleh (kedua kanan) bersama Lin (kanan) menerima borang dari Sigam.

KOTA BELUD: Penyertaan lebih ramai penduduk ke dalam Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Sabah memberi impak besar kepada lanskap politik kawasan Parlimen Kota Belud untuk memberi kemenangan kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada pilihan raya umum akan datang.

Ahli Majlis Tertinggi STAR Ir Awang Saleh berkata sokongan rakyat yang semakin memberangsangkan ke atas parti itu di sini dapat mengangkat suara Presiden Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan di Parlimen dengan lebih berkesan.

“Perjuangan tanpa jemu Dr Jeffrey menuntut hak-hak istimewa Sabah dan Sarawak dalam Perlembagaan Malaysia perlu didukung oleh suara yang lebih kuat dan ramai dalam Parlimen,” katanya.

Awang Saleh yang juga Timbalan Ketua Penyelaras STAR Kota Belud berkata demikian ketika menerima penyertaan 1085 ahli dari sembilan Pusat Daerah Mengundi (PDM) di Kg Nahaba di sini.

AWANG SALEH

Turut hadir mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian Jerry Malajad @ Ukoh yang juga Timbalan Ketua Penyelaras STAR Kota Belud dan Ketua Bahagian STAR Usukan, Mohd Lin Harun.

Borang-borang keahlian disampaikan Ketua Strategi STAR Mukim Wariu, Sigam Salimun kepada Awang Saleh.

Terdahulu, Awang Saleh menyempurnakan penyampaian hadiah Pertandingan Kecantikan dan Keceriaan Rumah Kg Nahaba yang dipengerusikan Gumparis Limban dan dihadiri Penolong Pegawai Daerah Abdul Wahab Sidek.

Pertandingan dimenangi Maineh Sandi dengan hadiah RM1000, kedua Latifah Cison (RM500), ketiga Jerry Laiti (RM300), keempat Sorini Musa (RM100) dan kelima Sundikol Gibau (RM50).

Kategori zon dimenangi Sogit Sogit, disusuli Sokid di tempat kedua dan ketiga Siba. Awang Saleh turut menyampaikan sumbangan beras kepada 80 warga emas.

scroll to top