Kadzim Sangkal Dakwaan DUN Sabah Hadapi Pembubaran Automatik

Oleh MARIAYATI MURSIDI

KOTA KINABALU: Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Datuk Kadzim M. Yahya menyangkal dakwaan bahawa DUN Sabah menghadapi risiko pembubaran automatik jika tidak bersidang sebelum 1 Ogos 2021.

Beliau berkata, walaupun Perkara 21 (1) Perlembagaan Negeri Sabah memperuntukkan bahawa DUN Sabah hendaklah bersidang dalam tempoh enam bulan dari tempoh terakhir sidang yang lalu, tetapi Seksyen 15 (1)(a) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 memperuntukkan pengecualian kepada Perkara 21 (1) Perlembagaan Negeri Sabah.

“Oleh itu, orang ramai adalah diminta supaya tidak keliru disebabkan DUN Sabah belum mengadakan persidangan sejak Sidang Bajet 2021 pada Disember 2020,” katanya dalam kenyataan media pada Rabu.

Namun demikian katanya, DUN Sabah adalah bersedia untuk mengadakan persidangan pada bila-bila masa kerajaan negeri menetapkan tarikh untuk mengadakannya.

scroll to top