Oleh YUSOP TEPPO
KOTA KINABALU: Keputusan pendirian UMNO Sabah kekal mempertahankan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) adalah untuk menghormati mandat rakyat negeri itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lepas.
Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah Dato Sri Bung Moktar Radin berkata, UMNO Sabah masih kekal bersama rakan-rakan Perikatan Nasional (PN), Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Barisan Nasional (BN) dibawah GRS.
Bung Moktar yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan menjelaskan GRS yang mentadbir Kerajaan Negeri Sabah masih berfungsi seperti biasa.
“Kita dalam GRS masih menjalankan tugas seperti biasa dengan kepentingan dan kesejahteraan rakyat negeri ini,” katanya ketika dihubungi bagi mengulas keputusan UMNO Pusat yang menarik sokongan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin malam kelmarin.
Beliau berkata UMNO Sabah menghormati mandat rakyat dan fokus kepada usaha membangunkan negeri ini.
Timbalan Ketua Menteri Sabah itu turut menjelaskan ancaman COVID-19 dengan keadaan ekonomi yang tidak stabil banyak syarikat, usahawan dan juga penggiat industri perhotelan serta pelancongan berhadapan dengan masalah.
“Justeru, adalah menjadi tanggungjawab kami dalam GRS untuk membangunkan Sabah sekaligus menjaga kesejahteraan rakyat Sabah,” katanya.
Bung Moktar memberitahu pendirian UMNO Sabah ini telah dinyatakan dalam pertemuan dengan Ketua Menteri Sabah selaku Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor.
Semalam, Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO memutuskan parti itu menarik balik sokongan kepada kepimpinan Perdana Menteri berkuat kuasa serta merta.
UMNO menuntut supaya Perdana Menteri meletak jawatan untuk memberi laluan kepada seorang Perdana Menteri baharu dilantik dalam satu tempoh yang terhad bagi mengurus pandemik COVID-19 dan membantu rakyat.
UMNO juga menegaskan menolak sepenuhnya sebarang usaha mencalonkan Datuk Sri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri termasuk kersama parti itu dengan DAP.