KOTA KINABALU: Parti Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) Bahagian Kota Belud dan Tuaran masih lagi teguh dan tidak terjejas di sebalik dakwaan ia dibubarkan berikutan penyertaan Timbalan Presiden, Matbee Ismail dan Naib Presiden, Datuk Hamzah Sundang ke Parti Keadilan Rakyat (PKR) baru-baru ini.
Ketua Penerangan USN0, Hisham Ampongou Abdullah memberitahu tidak ada bahagian-bahagian Usno yang dibubarkan sebaliknya USNO tetap kukuh dan kini sedia membantu calon-calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk menjalankan kempen pilihanraya di seluruh Sabah.
Katanya, USNO akan bertungkus lumus berkempen di seluruh negeri untuk memastikan rakan-rakan komponen dalam GRS-BN untuk meraih kemenangan dalam Pilihanraya Umum ke-15 ini.
“Dakwaan bahawa USNO Bahagian Kota Belud dan Tuaran dibubarkan adalah tidak benar sama sekali, “ katanya kepada media.
Ditanya mengenai tindakan dua bekas pemimpin USNO menyertai PKR itu, Hisham tidak mengulas panjang.
“Kita doakan kedua-dua bekas pemimpin USNO itu agar maju jaya dalam parti baru yang mereka sertai,” katanya.