Akulah Guru Itu

Karya DR MOHD HANIP HAJI HASSAN
(Khas buat seorang abang bernama Ujang)

“DIJEMPUT dengan hormatnya Encik Mohd Kamal Hassan tampil ke hadapan.”Aku termangu sebentar. Benarkah namaku yang dipanggil ke hadapan. Atau mungkin ada orang lain punya nama yang sama seperti aku. Merujuk kepada aturcara sepatutnya belum tiba giliran aku untuk membentang. Mungkin pengacara majlis telah membuat kesilapan. Giliran aku adalah yang ke dua akhir Bukan pembentang utama di awal majlis seusai upacara perasmian. Aku tidak percaya. Sama sekali tidak percaya. Bukanlah aku yang dipanggil. Mesti orang lain.

“Ahh…mungkin ada orang lain juga bernama Mohd Kamal juga, bukan aku seorang yang bernama Mohd Kamal.” bisikku di dalam hati. Mataku mula meliar melihat di sekeliling dewan. Seorang lihat seorang demi seorang. Aku mengharap akan ada orang yang bangun dan maju ke hadapan. Itu harapanku. Aku mula mencongak. Kira-kira ada sekitar 500 ramainya orang ke semuanya. Sebahagian besarnya ialah orang lelaki memakai blazer dan bertali leher. Cukup kemas. Tidak ada seorang pun yang terlondeh tali lehernya. Di sekolahku tali leher murid-murid sudah berlipat-lipat. Bukan sahaja tidak di gosok tetapi kerana faktor warisan turun temurun. Warisan yang diperturunkan sejak dari persekolahan abang atau kakak mereka.

Aku memerhati sekali lagi. Tidak ada rambut peserta yang terbiar tanpa disikat. Semuanya tersisir rapi. Jauh sekali rambut yang panjang. Atau kalau ada yang pendek pun nampak sekata. Murid-muridku berambut pendek juga. Tetapi ada bahagian yang pendek dan ada yang panjang sedikit. Mereka semuanya juga berkasut walau pun bukan dibuat daripada kulit asli tetapi nampak seperti kulit. Sangat bersih. Malah bukan sahaja berkilat tetapi ada yang bersinar. Menyilaukan mata apabila terkena panahan lampu yang tepat pada sudutnya. Kasut muridku kusam dan bertampal-tampal malah ada yang berjahit, pun jahitan umpama lipan yang kehilangan beberapa kaki. Lebih sesuai kalau aku rumuskan sudah tidak selayaknya dipanggil sebagai kasut sekolah.

“Inovasi pembelajaran yang dimenangi oleh cikgu di peringkat daerah Sarikei tempohari telah dipilih oleh Jabatan Pendidikan Sarawak untuk dibentang di dalam Seminar Antarabangsa Pendidikan Abad Ke 21 di Universiti Malaya, Kuala Lumpur’ kata Guru Besar di biliknya pada suatu hari.

“Tahniah, cikgu telah membawa nama baik sekolah, malah mengharumkan nama baik sekolah pedalaman sehingga berjaya menyaingi sekolah-sekolah di bandar-bandar besar. Inovasi pengajaran menggunakan kaedah Problem Based Learning berasaskan sumber dan budaya setempat telah mendapat perhatian Kementerian Pendidikan Malaysia. Rangkuman aspek-aspek komunikasi, kolaboratif, kreatif, kritis, dan kenegaraan menepati konsep pendidikan Abad Ke 21 sebagai proses pengurusan pembaharuan dalam pendidikan. Itu sebab inovasi cikgu telah terpilih untuk dibentangkan di seminar tersebut” jelasnya lagi.

Prof. Datuk Dr. Emaliana. Tanda nama yang tercatat pada salah seorang barisan panel, diletakan di atas meja panel yang duduk mengadap penonton. Nampak benar ketokohan mereka dalam satu seminar hebat seumpamanya ini. Ada tiga orang panel ke semuanya. Dua orang lelaki berkulit putih mengapit beliau. Seorang Prof Dr. Robert Ellis dan seorang lagi Prof Dr. Fank Slazar. Ternyata mereka bukan dari negara ini. Kulit sawo matang Prof. Datuk Dr. Emaliana jelas membuktikan dia merupakan keturunan Melayu.

“Diakah Emaliana Bah Kacuk yang pernah menjadi muridku di Sekolah Rendah Pos Depang suatu masa dulu? aku tertanya-tanya. Namun jauh sekali penampilannya dibanding dahulu. Jika tidak silap kira-kira 30 tahun yang lalu. Mungkin bukan dia, aku cuba mententeramkan hatiku sendiri.

Muridku Emaliana masih tahun 1, aku mengenali anak ini ketika posting pertama di sebuah sekolah di pedalaman kira-kira 30 tahun yang dulu. Ketika itu umurku masih di awal 20an. Masih terlalu muda. Sepatutnya di awal usia sebegitu aku harus menikmati zaman remaja seperti remaja yang lain. Namun aku sudah jauh berada dalam persekitaran seperti itu. Aku ditempatkan di sebuah sekolah yang purata penduduknya orang asli. Jauhnya tempat ini tidak boleh dihitung dengan bacaan kilometer. Hitungan jauh sekolah diukur dengan suasana perjalanan. Perjalanan dari bandar ke pekan kecil memakan masa empat jam. Menyambung lagi dengan menaiki pacuan empat roda selama dua jam. Itu pun jika tidak hujan. Sebab bila hujan, jalan akan menjadi licin. Tiada jalan rayanya tidak berturap. Jalan menjadi selut yang sangat licin. Pun jika sampai terpaksa bermalam. Di balairaya yang usang. Sememangnya balairaya ini disediakan sebagai tempat persinggahan untuk bermalam.

Perlu meneruskan perjalanan keesokan paginya lagi. Seawalnya selepas subuh perlu bergerak kerana jika lewat air sungai akan menjadi tohor di tengah perjalanan. Bot tidak dapat melepasi air sungai yang tohor. Jika terpaksa juga bot terpaksa diangkat beramai-ramai untuk melepasi sungai yang tohor kira-kira satu kilometer jauhnya. Tambah lagi bot akan menyusur sungai yang penuh dengan jeram. Kira-kira akan memakan masa empat jam juga. Baru sampai ke sekolah.

Rata-rata penduduk kampung tidak tahu membaca. Jangankan membaca, huruf dan angka pun tak mereka dikenali. Surat khabar tidak pernah sampai. Jauh sekali untuk memilikki i-pad atau komputer. Jika ada guru yang membawa pun tidak membawa apa-apa makna kerana tidak ada bekalan elektrik. Tiada internet. Hand phone pun tiada gunanya. Tiada satu pencawang telefonpun sepanjang perjalanan yang dilalui. Kiri dan kanan dibarisi dengan deretan pokok besar, tegap berdiri dan nampak kegagahannya. Akar tunjangnya yang kukuh menujak masuk ke dalam bumi, tidak akan menyembah tanah dengan sekadar ditiup angin yang manja. Pun pohon-pohon dan dahan yang rendang dengan dedaun yang menghijau. Membuatkan suasana menjadi redup dan sejuk. Kicauan lagu hutan dengan pelbagai jenis burung menjadi lagu merdu menyambut kehadiran tetamu. Disahut dengan bunyi nyaring ungka dan monyet. Sesekali terselit ngauman sang rimba.

Emaliana. Begitu comot bajunya. Banyak tampalan di sana sini. Ada yang kecil dan juga yang besar. Dihiasi dengan jahitan yang tidak berjenama. Seumpama ulat gonggok yang lari ketakutan. Lintang pukang. Warnanya sudah pudar dan kusam. Biru warna pinafore tidak lagi berwarna biru. Nak kata putih pun tidak, biru jauh sekali. Baju yang sepatutnya berwarna putih juga tidak putih lagi. Nak cakap kuning tidak juga kuning. Hampir-hampir kelabu. Aku menjangka usia baju tersebut sudah mencecah lima tahun usianya. Selayaknya sudah diganti.

Kulihat warna stokinnya juga tidak putih lagi. Sama warna dengan warna tanah yang sudah kering. Pun, stokin kirinya terlodeh ke bawah. Hilang daya getah tidak sudi lagi untuk mencengkam betis yang kurus melidi. Longlai melurut ke bawah. Sedangkan yang di sebelah kanan masih lagi utuh. Berdiri tegak lurus bagai askar yang sedang tegak berdiri. Diikat dengan gelang getah yang sudah disambung entah ke berapa kali. Hanya dengan sebab getah itu sahaja yang melayakkan untuk dipanggil stokin.

Mukanya sering pucat dan kusam. Pucat bagai mayat yang sudah tidak lagi berdarah. Rambut usai mengerbang. Ikatan reben hitam yang sudah tidak hitam lagi. Mengenggam rambut menjadi simpulan kecil di belakang kepala. Membentuk pintalan ekor kuda yang masih kecil. Agar tidak terurai ditiup angin. Sekadar itu. Sementara, di tangan dan kaki terdapat bekas kudis. Entah sudah berapa lama kudis bersarang tidak diketahui. Kerana, lamanya tidak sembuh-sembuh. Jua ada bekas parut luka. Melakar tubuh badan membentuk lukisan abstraks. Sukar untuk diterjemahkan. Tapi boleh dimengerti. Kukunya terselit tanah yang tak sempat dibersihkan. Bekas guntingan pada kuku yang tidak rata dan ada potongan yang terlalu dalam sehingga menampakkan isi. Ada yang masih tertonjol keluar.

Kasutnya bukan bersaiz biasa. Saiz orang dewasa. Mungkin berganti pakai dengan bapanya untuk mencari rebung di hutan, sebagai punca pencarian. Mungkinlah, aku bermonolog. Manakan tidak, sebab ada beberapa duri pokok hutan yang masih tersisa. Sukar untuk ditanggalkan kerana terlalu dalam. Dia menyeret-nyeret kasutnya ketika berjalan. Tak boleh direnggang dari tanah. Takut-takut akan terlepas dari kaki. Akibatnya tapak sudah tidak menjadi tapak lagi. Haus dimakan jalan.

Lelehan hingus menjadi lukisan wajah. Seakan warna lukisan yang dipicit keluar. Memuntahkan warna yang hampir sama setiap hari. Walaupun begitu dia membawa sapu tangan kecil setiap hari. Untuk mengelap hingus yang belum pernah ada hentinya. Perca kain lama yang tidak diguna lagi menjadi teman mengeringkan lelehan hingus. Setidak-tidaknya dia ingin menjadi murid yang pembersih.

Semilir angin bertiup. Menyebarkan bau yang tengik. Hilang nafsu makan jika terbau baunya. Jangankan untuk mencium pipinya seperti kanak-kanak yang seusianya yang comel dan montel. Semerbak wangi semulajadi pada anak-anak seusianya. Nak mendekatinya pun tidak mampu kecuali kerana terpaksa. Ditambah giginya yang menguning seolah tidak pernah diberus. Beberapa batang giginya menjadi hitam. Berkarat.

“Siapa nama kamu? Soalku kepadanya.
“Emaliana..” jawabnya ringkas. Matanya memandang tepat kepadaku.
“Sudah sarapan pagi tadi?
“Belum..”
“Kenapa tak sarapan sebelum datang ke sekolah? Soalku lagi. Dia tidak menjawab. Seolah-olah tidak ada jawapan kepada soalan-soalan seperti itu. Atau mungkin juga terlalu kerap soalan seperti itu telah diajukan kepadanya membuatkannya bosan untuk menjawab. Jika dijawab pun dia sudah menjangkakan akan ada nasihat-nasihat yang standard bakal diterima olehnya. Di saat itulah aku mengenali dia.

Keesokan petang selepas habis masa mengajar aku bertandang ke rumah Emaliana. Tidak berapa pasti berapa jarak rumahnya dari sekolah. Tapi aku berkira-kira sebanyak 3 kali aku berehat kerana kepenatan setelah mendaki dan menuruni bukit. Air minuman di dalam botol yang aku bawa juga kekeringan. Tshirt yang kupakai sebahagiannya telah basah. Aku membayangkan bagaimanalah keadaan Emaliana sekecil itu berjalan setiap hari pergi ke sekolah. Aku sendiri yang sedewasa ini pun tak larat.

Aku tergamam seketika sebaik Emaliana memberitahuku kami sampai ke rumahnya. Di depan mataku, sebuah rumah yang tidak layak dipanggil rumah. Rangkanya diperbuat daripada batang-batang kayu diselimuti dengan daun-daun nipah yang dianyam dengan seninya yang tersendiri. Pun tidak dapat menutupi keseluruhannya, kerana ada cahaya yang mencuri keluar dari bahagian dalam. Daripada pintunya yang terbuka terlihat susunan kayu yang dikat menjadi pangkin yang aku agak tempat tidur keluarga Emaliana. Terdapat pangkin yang bersaiz agak besar yang semestinya menjadi tempat tidur emak dan bapa Emaliana. Lainnya, ada terdapat juga tiga pangkin kecil yang terletak sedikit jauh dari pangkin besar. Di bahagian belakang, ada ruang kecil dan terdapat susunan tiga batu besar yang dijadikan dapur untuk memasak. Beberapa bekas belanga dan kuali yang tidak sekata bentuknya tergantung di dinding. Ada juga para tempat letak beberapa piring dan cawan yang kukira agak tua usianya.

‘Kitaran ganas ialah seseorang yang tidak dapat keluar dari gelungannya. Sebagai contoh, seorang bapa yang miskin melahirkan anak-anak yang akan mewarisi kemiskinannya sama. Selepas anak-anak mereka berumah tangga, mereka juga melahirkan anak-anak yang juga miskin. Begitulah seterusnya mereka berada dalam gelungan kemiskinan. Tidak ada sesiapa yang dapat keluar dari kitaran tersebut. Ini dinamakan kitaran ganas.’ Teringat aku akan satu syarahan yang disampaikan oeh seorang pensyarah dalam satu kursus bertemakan ‘Pendidikan Sebagai Alat Untuk Keluar Dari Kemiskinan’

Bermula dari tarikh aku bertandang ke rumahnya, Emaliana telah diizinkan untuk tinggal bersama aku. Emaliana tinggal bersama aku selama enam tahun di rumah guru bersama seorang lagi rakannya termasuk rakan sejawatku juga berkhidmat di sekolah yang sama. Setiap kali pulang dari sekolah aku akan pastikan dia mandi, makan dan solat. Selepas itu berehat kerana tepat jam 3.00 petang dia perlu menyiapkan kerja yang diberikan oleh guru di sekolah. Jam 5.00 petang dia akan bermain dengan rakan-rakannya sehingga jam 6.00 petang. Malamnya, jam 7.30 hingga jam 9.30 aku secara silih berganti dengan rakanku akan membimbingnya mengulang kaji pelajaran. Begitulah rutin kehidupannya sehari-hari. Cukup teratur.

‘Pakcik kena benarkan dia untuk tinggal di asrama penuh’ aku merayu dengan ayah Emaliana. Pada hari Emaliana menerima surat tawaran untuk melanjutkan pelajaran di salah sebuah sekolah berasrama penuh. Kulihat ada linangan airmata di kelopak mata, ketika bapanya tidak mengizinkannya. Selama tiga hari aku memujuk, akhirnya berjaya dan Emaliana diberi izin untuknya belajar di asrama. Aku menanggung semua kos pembelajarannya sehinggalah aku di tempatkan semula di negeri kelahiran aku di Sarawak. Juga di sekolah di pedalaman di Sarikei. Dan, aku mendapat tahu, Emaliana telah melanjutkan pelajaran di universiti di luar negara di atas pembiayaan biasiswa penuh kerajaan persekutuan. Selepas itu, aku tidak mendapat khabar apa-apa.

‘Dengan segala hormatnya dijemput sekali lagi Encik Mohd Kamal Hassan, naik ke pentas untuk menerima anugerah khas Guru Inovatif dan Kreatif Kategori Sekolah Pedalaman Peringkat Kebangsaan’ pengacara majlis memanggil sekali lagi namaku untuk naik ke pentas. Memang tidak salah lagi sememangnya nama aku yang dipanggil. Tidak ada orang lain pun yang bangun. Aku bangun pelahan-pelahan. Mendaki tangga dengan cukup berhati-hati kerana takut tersandung, kalaulah jatuh dalam usia aku yang setua ini, alangkah malunya aku!

‘Dengan ini juga dipersilakan Prof. Dr.Robert Ellis dan Prof.Dr.Fank Slazar mengiringi Prof. Datuk Dr. Emaliana Bah Kacuk, Pengerusi penganjur Seminar Antarabangsa Pendidikan Abad Ke 21 untuk menyampaikan anugerah….dipersilakan’ juruacara majlis mempersilakan Prof. Dr. Emaliana Bah Kacuk dan panel-panel. Memang tidak salah lagi dialah Emaliana yang kukenali sewaktu di Sekolah Rendah Post Depang, Pahang. Ketika aku berada betul-betul di hadapannya, aku memandang tepat ke arah matanya. Matanya sudah tidak seredup seperti yang aku temuinya 30 tahun dahulu. Bersinar dengan penuh keyakinan. Raut mukanya bersih dan mekap yang sederhana dan tidak kusam seperti dahulu. Rambutnya juga sudah tidak diikat dengan getah lagi. Nampak kemas dan anggun. Aku juga tercium wangian yang pastinya produk dari luar negara.

Matanya meredup sebaik aku semakin hampir dengannya. Kulihat sudah ada kaca-kaca di bening matanya. Pandangannya juga tepat ke arah aku seperti saranan umtuk menjadi kaunselor yang berkesan, perlu memberi perhatian kepada klien, dan jangan sesekali larikan pandangan ke arah mata klien. Bibirnya mula bergetar seakan ada ungkapan yang tidak dapat diluahkan. Aku menunggu kata-kata itu tetapi tidak ada yang keluar kecuali ungkapan separa bahasa yang sukar untuk dimengerti. Akhirnya aku lihat ada airmata yang mula jatuh dipipinya yang bersih menampilkan ketokohannya. Aku jadi tergamam dan membiarkan Allah SWT menentukan apa seterusnya akan berlaku.

‘Ciikkgu..cikgu Kamalll..’ Emaliana mendepangkan tangannya dan memeluk aku. Sejujurnya, aku tidak tahu apa yang harus dilakukan. Pada fikiranku, banyaknya mata yang sedang menonton aksi kami. Apakah aku berasa malu atau bangga kerana dipeluk oleh seorang wanita yang menjadi figure person dalam seminar ini? Perasaanku berbaur di antara malu, bangga dan rindu dengan seorang anak murid bernama Emaliana. Airmatanya kian laju jatuhnya. Diselangi dengan esakan yang semakin kedengaran.

‘Lamanya saya mencari cikgu’ dalam esakan dia masih mampu untuk berkata. Membisik di telingaku.

‘Emaliana’ lamanya aku tidak menyebut nama itu. Nama yang selalu aku sebut apabila aku marah. Nama yang aku panggil dengan keras semasa aku mengingatkannya untuk mengulangkaji. Nama itu aku sebut berkali-kali dalam sehari. Dulunya.

‘Terima kasih cikgu menjadikan saya sehingga seperti apa yang cikgu lihat sekarang ini’bisiknya lagi. Pelukannya belum lagi terlerai, malah menjadi semakin erat. Spontan itu juga aku memeluknya. Sedari kecil aku tidak pernah memeluknya walaupun sekali. Sehingga dia sudah besar dan berjaya aku memeluknya di hadapan orang ramai pula. Puas aku cuba menahan tapi gagal kerana akhirnya airmata ini turut jatuh. Jatuh bersama rindu yang semakin mendalam. Jatuhnya juga bersama rasa bangga dengan kejayaannya. Dia bukan anak muridku, tetapi dia anak aku.

Tiba-tiba aku mendengar tepukan dari peserta kursus. Semakin lama semakin kuat. Kulihat emosinya semakin stabil. Perlahan-lahan dia melepaskan pelukan, memandang aku tanpa kata. Agak lama sehinggalah kembali stabil.

‘Saya mohon maaf kerana sedikit emosi tadi.’ Ucapnya selepas menyampaikan hadiah kepadaku. Emaliana berhenti sejenak mencari kekuatan untuk meneruskan ucapannya. Masih ada sisa kesedihan yang perlu dihilangkan.

‘Orang yang saya peluk tadi ialah orang yang saya cari-cari selama 30 tahun. Dialah yang mengajar, membimbing, menyokong dan memberi suntikan motivasi sehingga saya menjadi seperti apa yang tuan-tuan dan puan-puan lihat sekarang ini. Saya berasal dari keluarga yang susah, bersekolah jauh di pedalaman tetapi kerananyalah saya telah membuktikan bahawa pendidikan dapat mengeluarkan kita dari kitaran ganas. Dia bukan guru saya tetapi dia bapa saya’ tangisnya sudah reda, walaupun sisa-sisa air matanya masih lagi ada. Aku hanya melihat dan mendengar orang yang berada di hadapan sekarang ini bukanlah anak muridku, tetapi dia anak aku.

DR. MOHD HANIP HAJI HASSAN, merupakan pensyarah kanan dalam bidang Psikologi Kaunselingdi Institut Pendidikan Guru, Kampus Tawau, Sabah. Beliau seorang motivator pendidikan yang dikenali di Tawau yang telah menghasilkan banyak kajian yang dimuatkan di jurnal-jurnal penyelidikan. Kebelakangan ini, beliau mula berjinak-jinak dengan menghasilkan buku, sajak dan cerpen. Pengalamannya mula diterjemahkan dalam bentuk penulisan-penulisan.

scroll to top