SIRI PERTAMA
Oleh HENRY BATING
GENERASI kelahiran 1928 ini dapat dianggap beruntung kerana menjadi saksi kehidupan tiga zaman sehingga menikmati sendiri hasil kemerdekaan yang diperjuangkannya.
Assung Simbaku, 93, yang kini meniti usia emas di Kg Sumbilingon, Kota Marudu juga menjadi perakam rentetan pelbagai peristiwa sebagai jurufoto sejak zaman penjajahan sehingga kemerdekaan Malaysia.
Anaknya, Benjohn Simbaku yang mewarisi hobi dan profesion sebagai jurufoto dan wartawan menyingkap beberapa episod kehidupan ayahandanya sebagai catatan kecil kemerdekaan dalam kalangan penduduk asal Sabah di bahagian utara.
Benjohn yang kini merupakan penulis sambilan Berita Nasonal Malaysia (BERNAMA) turut meninjau maklum balas beberapa pemimpin di utara negeri ini bagi mendukung validiti pengisahannya.
Ketika zaman kanak-kanaknya, Assung diperhatikan beberapa pembesar di Kudat sebagai memiliki potensi yang perlu diasuh. Maka Sarjan Callhan Singh dan OKK Tuan Haji Ghani menawarkannya tinggal bersama mereka untuk bersekolah dengan biaya pendidikan ditanggung dua keluarga itu.
Dua pembesar itu memberi tawaran kerana melihat Assung boleh digandingkan dengan beberapa rakan sepermainannya seperti Haji Kadir, Tun Mustapha dan Haji Sidik untuk membentuk masa hadapan Sabah.
Tawaran tersebut diberikan lantaran Assung sendiri memiliki keturunan pembesar Kesultanan Brunei pada zaman penjajahan itu.
Simbaku yang menjadi nama keluarganya diadaptasi dari gelaran datuknya Aki Lunsad bergelar Pemangku Maharaja Simbaku yang dianugerahkan Sultan Brunei sebagai wakil jajahan pengaruh Sultan di kawasan itu.
Setelah kedatangan penjajah British diawal abad ke-18, Dato Maharaja Simbaku turut menjaga kepentingan masyarakat Momogun hingga membuat undang-undang dan penjara sendiri. Simbaku juga berkerjasama dengan pihak Kompeni British memerangi Lanun dan Balingian di Telok Marudu.
Assung merupakan anak sulung dari sembilan adik-beradik, anak pasangan Intuan Indangon dan Yungat Igisan berketurunan Rungus Gonsomon dan Tombonuo.
Moyang Assung bergelar Datu Jaffar, adik-beradik dengan Aki Bengkoka yang menjadi penguasa pesisiran Sungai Bengkoka di Pitas-Paitan seperti cerita yang telah diturunkan oleh Aki Iho Madalau dalam catatan bertarikh 1960.
Namun tawaran bersekolah tergendala ekoran meletusnya Perang Dunia II yang menyaksikan kedatangan tentera Jepun pada awal 1940-an. Maka Assung tetap tinggal bersama keluarganya di Kg Ronggu Lodung, Kudat.
Ketika zaman perang itu, Assung menceritakan tidak banyak pekerjaan yang dapat dilakukan lantaran suasana yang tidak menentu. Apa yang pasti ialah kapal berterbangan dan dentuman bom sering kedengaran.
“Dalam usia kanak-kanak itu saya tertarik bunga api dan sering menaiki bukit untuk menyaksikan kapal beterbangan dan menggugurkan bom di pelabuhan Kudat anehnya saya tidak rasa takut, almaklum tidak pernah mengerti apa itu perang,” katanya.

JURUFOTO: Assung (bertopi) bersama dua guru di SK Nangka pada tahun 1968.
Assung menceritakan, serangan Jepun itu tidak menerima tentangan dari tentera British kerana diceritakan kekuatan kapal perang British HMS di Pulau Balambangan, Simpang Mangayau dan Laut China Selatan sudah dimusnahkan.
Selesai perang, hasrat Assung untuk belajar berhadapan dua pilihan, memasuki sekolah atau ikut cakap bapa membantu mengerjakan tanaman padi dan menanam kelapa.
“Pada zaman itu, keberadaan keluarga diukur dari besarnya kebun kelapa, ladang padi dan bilangan gong yang tersimpan di rumah, belum memasyarakat impian untuk berjaya dalam pendidikan,” katanya.
Jelas Assung, selaku anak sulung dia memilih untuk membantu keluarga bekerja di kampung. Maka pada tahun 1950 dia dijodohkan dengan pasangan pilihan keluarga, Umbiken Mangunsi dari Kg Marabau Kudat.
BERSAMBUNG