Assung Tempuhi Kehidupan Bebas, Makmur Era Kemerdekaan

BERJAYA: Assung bersama Dr James Ongkili (tengah) dan Michael di Tamparuli.

SIRI TIGA

Oleh HENRY BATING

BERBEKALKAN pengalaman bekerja pada zaman Jepun, pengetahuan dan pengalaman berurusan pihak penjajah, Assun kemudian terlibat dalam beberapa urusan kemerdekaan.

Dalam pungutan suara Suruhanjaya Cobbold pada Mac 1962, Assung bersama sepupu Daang Upiring dan pakcik Angkangon dipanggil menjadi wakil pemerhati dalam satu sesi perjumpaan di Kudat.

“Kami berkumpul di rumah rehat yang dihadiri Donald Stephens @ Tun Fuad, Tun Mustapha Datu Harun, OKK Abdul Gani dan Residen Kudat untuk diberi taklimat tentang tujuan pungutan suara itu,” katanya.

Menurut Assung, ketika itu dia sudah terlibat dengan pergerakan parti berasaskan Kadazan (UNKO kemudian UPKO) pimpinan Tun Fuad dalam usaha menyokong perjuangan pembentukan Malaysia yang melibatkan Malaya, Singapura, Sabah dan Sarawak.

“Kata-kata Tun Fuad yang paling tidak saya dilupakan, kita setuju sertai Perikatan Malaysia dalam masa 10 tahun dahulu, sekiranya tidak menguntungkan maka kita boleh merdeka sendiri,” imbas Assung.

Nikmat Kemerdekaan

Setelah mencapai kemerdekaan, Assung ditawarkan bekerja sebagai jurufoto di Pejabat Daerah Kudat. Kemudian Assung ditugaskan menjadi Penolong Pendaftar Kad Pengenalan (1963 – 70).

Assung menjelaskan, demi tanggungjawab maka tugas berat itu diterimanya. Tugas utamanya ialah mengunjungi penduduk pelbagai kampung untuk mengambil gambar dan mendaftarkan penduduk mendapatkan kad pengenalan.

Maka bersama seorang kerani dan anggota polis, Assung dengan kamera dan buku catatan melawat ke Kg Telaga, Liu, Kanibongan, Sonsogon Magandai, Ulu Bengkoka, Sugud, Tandek, Kota Marudu serta kampung-kampung di daerah Tuaran.

“Perjalanan memang mencabar kerana rangkaian jalan raya belum ada, terpaksa menaiki bot, berjalan kaki berbatu-batu ke kampung terpencil, mengharungi rintangan bukit-bukau dan sungai serta bermalam di hutan belantara yang jarang dilalui manusia,” katanya.

Assung menjelaskan, proses pendaftaran itu telah menjadi permulaan kepada pendaftaran pengundi bagi pilihan raya pertama Negeri Sabah.

Kepimpinan Politik

Sebagai kakitangan kerajaan, Assung kemudian sering diajak mewakili masyarakat Momogun Rungus mengiringi lawatan pemimpin UNKO (kemudiannya UPKO) seperti Tun Fuad dan Datuk Peter Mojuntin ke pelbagai kawasan termasuk Papar, Penampang dan Kota Kinabalu.

Namun kemudian Assung lebih tertarik mengabdikan diri dalam tugasan gereja di SDA Mission sebagai missionari dan penjual buku rohani LE.

DEWAN RAKYAT: Assung (kedua kiri) ketika bersama rakan-rakan mengiringi Maidom di Parlimen Kuala Lumpur.

Begitupun, Assung tidak dapat mengelak sepenuhnya panggilan politik khususnya apabila dua pemimpin tersebut memimpin parti BERJAYA (sudah dibubarkan).

Assung dipanggil menjadi wakil calon Maicheal Madinal yang bertanding di kawasan DUN Langkon dalam kempen pilihan raya sehingga mencapai kemenangan, termasuk kawasan Parlimen Bandau yang ditandingi Datuk Hendry Madatang.

Menikmati hasil kemenangan menjadi Kerajaan Negeri Sabah, Assung dilantik Ketua Kampung (1980-89) dan Ketua Anak Negeri (1995-99). Assung kemudian memangku jawatan Ketua Daerah Kota Marudu, menjadi juri dan hakim beberapa kes pertikaian tanah di Mahkamah Anak Negeri dan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu.

Di samping tugas sebagai pemimpin adat, Assung juga pernah terpilih menjadi Ahli Majlis Jemaah Pengarah Peladang, Pengerusi PIBG SMK Kota Marudu dan pengasas Persatuan Rungus Sabah (SAMORA).

Dengan asas pendidikan di luar persekolahan, Assung berjaya menulis dan menerbitkan buku panduan adat-istiadat Rungus.

BERSAMBUNG

scroll to top