Assung Usahawan Studio Foto Momogun Pertama 

SEGAK: Bergambar di studio sendiri.

SIRI KEDUA

Oleh HANRY BATING

APABILA memeluk agama Kristian SDA pada tahun 1951, Assung meneruskan keinginannya untuk mahir dalam pemahaman, pertuturan, pembacaan dan penulisan.

Maka Assung memiliki dorongan kuat mempelajari Alkitab dalam bahasa Belanda Indonesia. Meski pemahaman tidak sebaik mana, namun Assung dapat meningkatkan kemahiran membaca dengan bantuan adiknya yang belajar di sekolah menengah.

Maka Assung membeli pelbagai buku untuk dipelajari di rumah sehingga fasih bertutur dan mahir menulis dalam bahasa Melayu serta bahasa Inggeris. Pada tahun 1953, Assung bersama keluarga berhijrah ke Bandau (kini Kota Marudu).

Kelanjutan dari kegigihan belajar, maka pada tahun 1955, Assung terpilih mewakili SDA Mission Sabah untuk mengikuti kursus di Singapura selama dua minggu.

Pengalaman melawat sambil belajar di Singapura telah membuka persepsi dan fikiran Assung untuk meningkatkan ekonomi keluarga dan seterusnya memimpin masyarakat untuk mencapai kemajuan demi kepentingan bersama.

Sebagai pemimpin masyarakat, Assung pada era penjajahan, sebelum dan selepas Pembentukan Malaysia banyak terlibat dengan tugas-tugas yang berkaitan dengan pembangunan masyarakat, proses kemerdekaan dan pengisian kemerdekaan.

Dilihat dari segi perjalanan hidup, Assung dapat dikatakan berjaya memiliki pendidikan asas yang baik sehingga menjadi salah seorang pelaksana proses kemerdekaan yang berjaya, memegang tugas awam dan juga sebagai usahawan.

Pada tahun 1970, Assung membuka kedai gambar di Pekan Lama Kota Marudu yang diberi nama Simbaku Studio dan beroperasi sehingga tahun 2000. Pembukaan kedai itu dengan sendirinya meletakkan Assung sebagai usahawan pertama bumiputera membuka studio gambar profesional berlesen di kawasan itu.

STUDIO FOTO: Produksi gambar keluarga Assung versi berwarna diproses di Singapura pada Mei 1975.

Berurusan dengan Residen British

Assung memperlihatkan kesungguhan mengangkat pendidikan generasi Momogun melalui Residen British di Kudat. Assung bersama rakan, OKK Angkangon memohon penjajah menubuhkan sekolah dewasa di Kg Marabau, Rampai Sikuati dan kampung-kampung lain juga.

Seterusnya pada 1951 SRA Goshen ditubuhkan sehingga adik Assung, Masangi @ Willey mendapat kesempatan bersekolah sehingga tamat Darjah 6 lalu menjadi guru pertama di SK Mosolog, Tandek (1964-67).

Assung juga telah menemui Gabenor Borneo Utara di Jesselton (Kota Kinabalu) untuk menyampaikan empat cadangan termasuk meminta penjajah menengahi adat di kalangan etnik Rungus yang kurang mendukung pergerakan penduduk ketika itu.

Adat itu berkaitan larangan keluarga yang berlaku kematian kepada penduduk melintasi kampung berkenaan selama tujuh hari. Adat ini menyebabkan kekangan pergerakan penduduk meskipun dalam kecemasan.

Gabenor serta-merta memberi arahan kepada Residen British di Kudat untuk memanggil semua Orang Kaya Kaya (OKK) dan Orang Tua (OT – Ketua Kampung) untuk bersidang lalu menghasilkan resolusi memansuh larangan tersebut.

Assung seterusnya meminta Residen British di Kudat untuk membina klinik-klinik desa bagi merawat penyakit berjangkit dan juga ibu-ibu mengandung.

Di samping itu, Assung turut mengajukan permintaan agar rangkaian jalan raya dibina bagi mewujud pilihan memasar hasil pertanian di mana pengangkutan ketika itu dominan melalui pesisiran pantai menaiki perahu.

Dan yang paling penting, Assung membantu usaha pejabat Residen menggalakkan setiap keluarga memohon tanah geran NT sekurang-kurangnya 15 ekar setiap pemohon.

BERSAMBUNG

scroll to top