SIRI AKHIR
Oleh HENRY BATING
ASSUNG amat bersyukur kerana sempat menikmati hasil kemerdekaan yang diperjuangkannya berbanding kehidupan ketika zaman penjajah khususnya zaman Perang Jepun.
Ketika zaman Jepun, segalanya payah termasuk peluang pekerjaan. Sebagai generasi awal remaja ketika itu, kata Assung dia bersama beberapa rakan pernah mencuba bekerja sebagai buruh pembinaan Lapangan Terbang di Batu 2 Jalan Airport Kudat.
Sebaliknya, kata Assung, melihat dirinya yang belum cukup umur, dia sekadar ditawarkan bekerja sebagai penjaga dapur. Tiga bulan selepas itu, ia balik kampung lagi kerana kontrak membina lapangan terbang selesai.
“Sebagai anak sulung, balik kampung merupakan langkah terbaik demi membantu ibu bapa dan adik-adik,” katanya.
Assung menegaskan, kehidupan zaman kemerdekaan memang jauh lebih nikmat berbanding masa Jepun di mana bekalan makanan tidak mencukupi dan terpaksa pula dicatu.
Jelasnya, harga hasil dari kampung seperti haiwan ternakan amat rendah nilainya menyebabkan penduduk terpaksa memanfaatkan bahan makanan yang ada di kampung seperti ubi kayu dan sagu.
Lebih menyayat hati, kata Assung, ramai di kalangan orang Cina dan Brunei di Kudat disiksa dan tidak kurang yang dibunuh menyebabkan mereka lari menyembunyikan diri dan menyamar sebagai orang Rungus atau Tombanuo di kampung-kampung terpencil.
“Dalam keadaan sedemikian, saya berkesempatan bergaul dengan pelbagai etnik sehingga mampu berkomunikasi dengan baik dalam beberapa bahasa seperti Hakka, Sungai, Ubian dan Bajau,” katanya.
Anugerah Kemerdekaan
Beberapa pemimpin di kawasan utara Sabah yang temui mengakui Assung memiliki perjalanan panjang dalam perjuangan sebelum dan selepas kemerdekaan.
Mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bengkoka Johanis Piut mencadangkan agar Assung beri gelaran ‘Datuk’ bagi mengiktiraf jasa beliau dalam bidang fotografi, kepimpinan adat, masyarakat, politik dan proses pembentukan Malaysia.
“Hasil inspirasi Assung, ramai di kalangan generasi Rungus berjaya dalam pendidikan, antaranya Datuk George Aba, Datuk Majius Majihi, Hendry Madatang, Datuk Jelani Hamdan, dan ramai lagi,” katanya.
Dalam usia emas sekarang, Assung tinggal di Kg Sumbilingon Kota Marudu dengan aktiviti memancing dan berehat. Pada saat-saat akhir hidupnya, Assung mengalami sakit tua dan meninggal di Hospital Kota Marudu pada 7 Mei 2021.
Assung dikurniakan sembilan anak, 45 cucu dan 46 cicit. Assung bersyukur kerana kedaifan hidupnya dahulu untuk memperoleh pendidikan kini ditebus oleh anak-anaknya yang berjaya dalam pendididikan.
Anak-anak dan cucunya berkerjaya belaka seperti Jurutera Petroleum di Petronas, peguam, pensyarah, chef, usahawan, guru, pegawai kerajaan serta mekanik.
Epilog
Meniti pendidikan formal merupakan suatu riwayat hidup yang tidak sempat dikecapi Assung, lantaran situasi serba kekurangan ketika zaman kanak-kanak dan remajanya.
Namun begitu, impian masa hadapan yang lebih baik telah meletakkan perjalanan hidup Assung pada lorong pembelajaran informal sepanjang hayat.

MONUMEN: Assung dalam lawatan di Tugu Chiang Kai Sek di Teipei.
Assung memiliki ikatan jiwa dengan pelbagai pihak, dari penduduk kampung paling terpencil sehingga ke jajaran kepimpinan peringkat kawasan dan pucuk kepimpinan parti dan kerajaan yang disertainya di peringkat negeri dan negara.
Jaringan ikatan aspirasi Assung di pelbagai peringkat itu telah memberinya ruang bergaul rapat dengan kalangan pemimpin utama negeri seperti Tun Fuad, Datuk Peter Mojuntin, Datuk Dr James Ongkili, Huguan Siou Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, Tan Sri Bernard Dompok, Datuk Maidom Pansai, Datuk Michael Madinal dan ramai lagi.
Pergaulan itu juga telah membawa Assung menjelajah pelbagai belahan dunia seperti Hongkong, Manila, Taiwan, Manado, Indonesia, Singapura dan Teipei. Ketika mengusahakan studio foto, Assung turut berurusan dengan studio foto di Singapura untuk memperoleh pelbagai khidmat teknikal penghasilan gambar yang lebih moden.