Barah Yang Sukar Sembuh

Oleh RAJA YUSOF ARIFFIN

TEGUR-MENEGUR untuk kebaikan dalam kehidupan memang baik. Elok diamalkan meskipun bukan semua orang mahu berbuat begitu. Tidak setiap orang suka melakukannya. Payah ditemui orang yang mampu dan mahu berbuat begitu.

Walaupun kadang-kadang berasa malas dan cuak, Nasri terlepas juga menegur apabila melihat perkara yang tidak disenanginya. Membuang sampah merata-rata, kaki berkasut di atas kerusi, bising dan makan minum di dalam kenderaan awam antara perlakuan yang menimbulkan kemarahannya.

Nasri busy body? Abang dan kawan-kawannya pernah menegur. ‘Jangan kacau orang kalau orang tak kacau kita,’ kata mereka.

Tetapi, Nasri yakin dia bukan penyibuk atau pengacau. Nasri percaya dia ada tanggungjawab terhadap masyarakat, dan itu akan dilakukannya selagi terdaya.

“Kenapa bising-bising ni? Hormatlah penumpang lain sikit. Ini bas awam. Kalau rumah sendiri tak mengapa….”

Nasri selalu menegur penumpang bas yang berbual bising, dan bergurau senda melampau di dalam bas. Biasanya pelajar sekolah kalau mereka ramai. Jika seorang diri, senyap sahaja.

‘Macam tak bertamadun mereka ni. Belajar apa di sekolah? Sekolah tak ajar sivik?’ Nasri merengus.

Setiap kali Nasri menegur begitu, ada juga tindak balas yang baik. Diam. Tetapi, sebentar sahaja. Kemudian mereka menyambung kebisingan. Nasri berdehem-dehem sambil menjeling. Hal tersebut berlarutan sehinggalah sama ada Nasri atau mereka beredar terlebih dahulu.

“Kaki berkasut tu kenapa naik atas kerusi? Kan orang nak duduk atas kerusi tu. Kotorlah kerusi tu… isy, isy.”

Sambil merenung muka Nasri, remaja lelaki itu menurunkan kakinya, diikuti rakan-rakannya yang lain.

Nasri hairan mengapa mereka begitu. Tidak terfikirkah oleh mereka kasut yang mereka pakai ke sana-sini itu kotor?

‘Bukan budak-budak hingusan lagi. Kalau semua berperangai seperti mereka, habis rosak semua harta awam.’ Nasri merengus lagi.

Biasanya Nasri tidak menunggu lama. Jadi, dia tidak nampak jika mereka menaikkan kaki semula selepas beredar. Ada sebab dia perlu beredar. Bukan kerja dia memerhatikan gelagat para remaja itu 24 jam. Dia menegur kepincangan di depan mata sahaja.

Lagipun Nasri bukan mahu bergaduh. Dia cuma ingin menegur demi kebaikan bersama. Kalau mereka tidak sedar, tegurannya diharap dapat menyedarkan.

Ada yang memandang serong dan menjeling Nasri ketika dia melangkah masuk lif. Nasri tersenyum dan menggeleng sendirian.

Tempat duduk itu terletak menghadap lif di bahagian bawah flet tempat Nasri tinggal. Mujur diperbuat daripada besi yang tahan lama berbanding kerusi-kerusi terdahulu yang cepat rosak angkara vandalisme.

Sejak kebelakangan ini Nasri semakin menyedari pula sikap buruk lain dalam kalangan anggota masyarakat. Perangai negatif penghuni flet tempat dia tinggal. Namun begitu, dia berharap tidak semua berkelakuan sedemikian.

“Nanti! Ikut giliranlah. Bukankah kakak itu sedang kira untuk saya…. Nanti silap kira pula siapa yang susah? Cuba awak beli di pasar raya. Boleh tak potong barisan, langkau orang depan masa nak bayar? Tak boleh, kan….”

Sebelum ini, Nasri tidak begitu menghiraukan masalah pelanggan di belakangnya melangkaui dia yang belum selesai membayar harga barangan. Tetapi, sejak akhir-akhir ini Nasri merasakan keadaan semakin parah.

Nasri hairan mengapa di pasar raya besar dan kecil, pelanggan boleh berbaris mengikut giliran ketika membuat bayaran. Di kedai runcit? Sesuka hati memotong pelanggan di depan yang sedang membuat bayaran.

Pernah sekali Nasri bersabar apabila ada seorang remaja melangkaui dia yang sedang membayar kepada pekedai.

“Kalau tak potong queue tak boleh ke? Tak boleh tunggu orang depan selesai dulu?!”

Tiba-tiba Nasri bersuara kepada remaja tersebut dan beberapa rakannya yang lain di dalam kedai kecil itu selepas dia selesai membayar. Remaja itu dan rakan-rakannya terpinga-pinga.

Ternyata mereka tidak menyedari kesalahan yang dilakukan. Nampak seperti berpelajaran, tetapi rupa-rupanya seperti tidak mendapat pendidikan sivik. Dia rasa mahu menempeleng, tetapi masih ingat undang-undang negara.

Kalau memukul atau menyentuh orang lain, dia pula yang bersalah. Jadi, mulut sahajalah yang bertindak. Itu pun Nasri tidak menggunakan bahasa kesat atau meninggi suara.

Memang ramai yang membawa botol atau tin minuman ke dalam bas, tren transit aliran ringan (LRT), dan tren komuter. Seperti tidak tahu peraturan, dan tidak mempedulikan larangan yang terpapar.

Kadang-kadang ada pemandu yang menegur dan melarang. Tetapi, tren LRT tiada pemandu. Pemandu tren komuter juga tidak boleh nampak kerana kesibukan. Itu tugas penjual tiket atau token, yang sekarang sudah tiada lagi.

Memang pemandu yang patut menegur. Mereka ada ‘hak’ dan ‘kuasa’ untuk menegur kerana berpakaian seragam tugas. Kalau orang awam kemungkinan terjadinya pertengkaran/pergaduhan, kerana tiada hak, tiada kuasa.

“Awak peduli apa? Pemandu pun tak tegur, awak pula menyibuk kenapa?!” Kadang-kadang Nasri ditempelak oleh mereka yang ditegur. Tren komuter dan bas masih ada pemandu. Ada juga tren LRT yang masih berpemandu.

“Patuhi sajalah larangan itu. Bukan main-main. Ada faedahnya,” balas Nasri.

Pernah berlaku kejadian air minuman tumpah di depan mata Nasri di dalam tren komuter. Nasri bersuara, tetapi kakak remaja yang menumpahkan minuman itu membidasnya pula. Nasri terkejut. Wanita itu bersungguh-sungguh membela adiknya.

“Eh, kau yang marah-marah anak aku, ya?”

Nasri tercari-cari suara yang menyergahnya. Dia berpusing-pusing di tepi sebuah kedai. Kelihatan seorang lelaki memandangnya dengan wajah menyinga. Di sebelahnya ada seorang remaja lelaki. Terkejut juga Nasri. Tetapi, debarnya cuba ditahan juga.

“Marah anak abang?” Berkerut dahi Nasri.

“Alah! Jangan kau nak berabang-abang pula dengan aku!” balas lelaki itu.

“Saya bukan marah anak abang. Nasihat saja. Saya pun tak suka marah-marah orang tak tentu pasal.”

‘Eh kau ni! Aku belasah nanti baru mendapat!”

Anak lelaki itu tersenyum sambil mengepal-ngepal penumbuknya melihat ayahnya mencekak leher Nasri.

Nasri baru teringat remaja lelaki itu. Remaja itu yang dilihatnya menaikkan kaki atas kerusi awam tempoh hari.

‘Oh, pandai mengadu kepada mak ayah pula. Kalau ramai macam ni, makin jahanamlah masyarakat,’ rengus Nasri.

Nasri menepis tangan lelaki yang mencekak lehernya. Dia tidak lemah sehingga mudah dibelasah orang dengan mudah.

“Silap orang abang marah saya ni. Saya bukannya kaki gaduh. Kalau abang nak belasah orang, lebih baik pergi belasah pembunuh, perogol, peragut, atau pemakan rasuah di luar sana tu!”

Nasri cuba bertenang. Lelaki itu pula terkebil-kebil. Anaknya tiba-tiba membisu.

“Eh abang, nanti dulu! Saya belum habis cakap ni…”

Lelaki dan anak remajanya itu tiba-tiba berpaling, dan beredar. Wajahnya merah. Entah malu, entah masih marah. Dia menggeleng-geleng, sambil mengangkat tangan.

Nasri mahu menjelaskan niatnya yang sebenar. Dia bukan mahu berlagak bagus. Untuk kebaikan bersama. Tetapi, lelaki itu dan anaknya ‘barah yang sukar sembuh’.

…..

Raja Yusof Ariffin yang nama sebenarnya Raja Yusoff Raja Ariffin (lahir 21 Ogos 1962 di Pulau Tiga Kanan, Parit, Perak) ini menulis sajak, pantun, cerpen, rencana, ulasan, kritikan, dan berita (sejak 1982) dalam akhbar, dan majalah berbahasa Melayu tanah air. Ahli Persatuan Penulis Kuala Lumpur (KALAM), rakan Tajulmedia Melayu, dan pernah menganggotai Seniman Paksi Rakyat (PAKSI).

Antara bukunya ialah Sketsa Bas Mini (antologi perseorangan drama remaja/DBP/1993, Bangsal di Tepi Pantai (novel kanak-kanak/Vital Star/1997), serta Dengki Membawa Rugi, Misteri Sebatang Jalan, Misteri Tangan di Pantai, Pengajaran Mimpi, Rahsia Sepucuk Pistol, dan Sengketa Tak ke Mana (novel kanak-kanak/Penerbit Pan Earth Sdn Bhd/1998).

 

 

 

 

 

scroll to top