Bulldozer dan tarikh luka 22.02.022

Karya MUKHTAR MUSTAFA

PAGI itu enjin aku dihidupkan seawal pagi. Lebih pagi dari hari-hari sebelum ini. Roda besi berantai aku untuk pertama kali dibersihkan. Lebih setahun aku bergelumang dengan kotoran. Pancutan air yang kuat dari mesin penyembur meluruhkan segala tanah, batu-batu dan selut yang terlekat di celah-celah rantai.

Beberapa orang pekerja sedang membuka skru di bahagian mata penyodok. Mata penyodok itu kemudian diangkat ke atas lori menggunakan forklift.

Sebuah treler tanpa dinding kemudian mendekati aku. Dua tangga besi kemudian menjulur keluar betul-betul sepadan dengan tayar berantai aku. Aku digerakkan perlahan-lahan mendaki tangga yang menjulur. Tidak sampai lima belas minit aku sudah berada di atas treler.

Enjin aku kemudian dimatikan. Kunci aku dicabut. Aku diikat dan dituas menggunakan dawai tembaga di beberapa bahagian. Pemandu setiaku turun meninggalkan aku keseorangan di atas treler.

Setahun yang lalu keadaan sebegini pernah aku lalui. Dari sebuah stor lama di sebuah kilang besi, aku dihidup dan digerakkan ke atas treler. Aku dibawa ke sebuah kawasan lembah dan berbukit yang di penuhi hutan rimba. Aku kemudian diturunkan oleh seorang pemandu berambut kerinting, berkulit hitam, berusia sekitar 50an.

Setahun aku hidup bersama pemandu tersebut. Aku ditemani dan dijaga dengan penuh sempurna. Aku ditempatkan di satu kawasan dataran tinggi yang luas. Terdapat juga beberapa buah jentolak, lori dan van.

Tugas aku dan rakan-rakan jentera yang lain adalah untuk menyiapkan sebuah jalan raya sejauh 25 kilometer yang menghubungkan Bukit Cerang Hangus ke kota Kuala Kemudu.

Hari ini jalan raya empat lorong itu telah siap dibina sepenuhnya. Turapan tar setinggi enam inci telah selesai bagi menjamin keselesaan pengguna. Walaupun masih belum digunakan secara rasmi, sudah ada beberapa buah kenderaan Jabatan Kerja Raya yang menggunakannya.

Lori pengangkut tanah, jentolak dan van telah mengosongkan kawasan dataran penginapan bersama kami sejak setahun lalu, juga telah menggunakan jalan ini ketika meninggalkan kawasan ini setelah kerja-kerja selesai.

Pendek kata kesemua kenderaan bertayar getah, telah meninggalkan kawasan ini kecuali aku, bertayarkan rantai besi.

Tentunya aku dilarang menggunakan jalan yang pernah aku rintis pembinaannya.

Esok tanggal 22.2.2022 adalah hari perasmian jalan ini yang akan dikenali sebagai jalan utama Kuala Kemudu.

Beberapa buah khemah putih telah dibangunkan di bekas tapak kediaman kami sejak dua hari lalu. Semua khemah telah dipenuhi kerusi untuk para tetamu. Karpet merah telah terhampar. Persimpangan Kuala Jenerih yang akan menjadi tapak perasmian nanti sedang dihias dengan bunga manggar, kain banting dan label-label jalan.

Khabarnya seorang menteri yang bertanggungjawab menjaga hal ehwal jalan raya akan merasmikan jalan ini.

Sebatang jalan yang menghubung beberapa buah kampung yang baru wujud. Terdapat juga bandar baru yang dibangunkan di sebuah kawasan berhampiran jalan ini.

Treler yang memuatkan aku kemudian dihidupkan dan aku merasa dia mula bergerak perlahan-lahan. Bergerak meninggalkan persimpangan Kuala Jenerih yang aku diami sejak setahun lalu. Semakin lama semakin jauh persimpangan itu aku tinggalkan. Semakin sayup dan akhirnya hilang dari pandangan mata.

Persimpangan Kuala Jenerih sebenarnya sebuah bukit dan di kakinya ada Sungai Jenerih. Di sinilah aku memulakan kerjaku setahun lalu. Pada awalnya aku membersih keseluruhan kaki bukit. Semak samun aku pijak dengan tayar rantai besiku sehinggalah ke puncak.

Pohon-pohon balak yang besar aku tumbangkan sepohon demi sepohon. Satu pasukan pemotong balak mula bertugas mengerat batang-batang balak. Setelah kerja itu selesai batang-batang balak aku himpun ke satu kawasan untuk diangkut keluar setelah jalan rintis aku bina.

Bukit Persimpangan Kuala Jenerih kemudian aku ratakan. Sebahagian besar lembah, tanah rendah dan Hulu Sungai Kuala Jernerih berjaya aku timbus sehinggalah kawasan itu bertukar menjadi dataran. Dataran itulah tempat aku melepas lelah dan dataran itulah juga yang akan menjadi tempat perasmian jalan itu nanti.

Aku semakin jauh meninggalkan persimpangan Kuala Jernih. Aku sempat melalui kawasan perkampungan dan pekan-pekan yang baru dibangunkan. Kawasan ini dahulunya adalah satu kawasan hutan rimba yang didiami oleh binatang buas seperti harimau serta binatang buruan rusa, kijang, napuh dan pelanduk.

Kini kawasan itu mulai didiami manusia dan manusia mula menternak lembu kerbau, kambing dan biri-biri.

Terasa juga kesayuan di hati ketika meninggalkan jalan yang lurus ini. Tiada lagi bukit, lurah, hutan rimba, anak sungai yang pernah aku rentasi dahulu. Yang aku rasa sekarang, aku akan berpisah dari jalan ini. Sejauh 25 kilometer jalan yang telah aku lalui.

Tentunya esok 22.02.2022, tempat perasmian akan lebih meriah. Ada ucapan, ada renjisan bunga mawar, ada potongan riben, ada makan minum. Tentulah antara juadah lauknya ialah napuh dan rusa yang diburu dari hutan Kuala Jenerih. Tentunya juga akan ada ikan kelah yang ditangkap dari Sungai Jenerih.

Ketika menyiapkan jalan ini dulu, para pemandu jentera sentiasa menikmati semua lauk-pauk yang lazat itu. Kesemua pemandu jentera yang tinggal di rumah kongsi akan masuk ke hutan atau turun ke sungai setiap hari minggu. Rezeki mereka sangat murah, kerana tidak pernah mereka pulang dengan tangan kosong.

Esok tentunya kereta-kereta mewah akan melalui jalan raya ini dengan lajunya. Tentunya esok Polis atau Jabatan Pengangkutan Jalan tidak mengeluarkan saman kepada kenderaan yang dipandu laju. Esok semua akan bermaharajalela. Bukan seperti aku.

Tentunya banyak kawasan perniagaan akan wujud bila jalan ini siap. Begitu juga kawasan pelancongan. Air terjun yang cantik, air sungai yang sejuk jernih dan dingin menjadi tumpuan orang ramai. Tentunya chalet-chalet akan dibina berhampiran kawasan tadahan air. Dan tentunya orang dari kota akan datang berpusu-pusu untuk beriadah dan beristirahat di kawasan yang belum tercemar.

Yang pastinya harga hartanah akan melambung tinggi. Ramai pula orang-orang kampung akan menjual tanah mereka dan tentunya orang kota akan merebut peluang untuk membelinya. Tentunya mereka akan membina pusat-pusat pelancongan yang mewah. Akan bercambah nanti ladang-ladang durian Musang King di merata-rata tempat.

Itu kisah hidup manusia. Mereka mencari kemewahan, ketenangan dan harta. Kisah hidup aku pula apa kesudahanya?

Bagaimana? Aku yang berada di atas treler ini akan dibawa ke mana?

Adakah aku akan dibawa ke tempat asal. Ditinggalkan di dalam stor lama. Aku akan dibiar di situ tanpa diurus dalam jangka masa yang agak lama. Atau aku akan dibawa ke kawasan hutan belantara yang lain? Dibawa ke kawasan pergunungan lain untuk membina sebuah lagi jalan raya. Sebuah lagi jalan raya yang tentunya aku sendiri tidak dapat melaluinya.

Aku adalah bulldozer bertayar rantai besi. Aku akan merosakkan segala-galanya!

 

MUKHTAR MUSTAFA dilahirkan pada 10.12.1955, di Kampung Bakat, Gual Periok. Pasir Mas, Kelantan. Mula menulis sekitar tahun 1975 genre Puisi, Cerpen, Drama Radio.

Antalogi cerpen yang pertama Wau Bulan Teraju Tiga terbitan Dewan Bahasa Dan Pustaka pada tahun 1980 dengan Cerpen Keazaman. Manakala lebih 50 buah drama radio tersiar di stesen-stesen RTM Kuala Lumpur, Kota Bharu, Kuala Terengganu dan Kuantan. Telah terlibat dalam 30 antalogi puisi sejak 1975 hingga 2020.

Sekarang sedang giat dalam menyiapkan Antalogi Cerpen Terpasung dan Siri Memoir Diri Guru Menenun Zaman.

Pernah bertugas sebagai pemberita di Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) dan akhbar rasmi Kerajaan Negeri, SINAR KELANTAN sekitar tahun 1978 – 1990.

scroll to top