Oleh ABD NADDIN HJ SHAIDDIN
PENGALAMAN mengikuti Kursus Perguruan Khas Bahasa Inggeris selama sembilan bulan di Sydney, Australia adalah sesuatu yang sukar dilupakan oleh Datuk Awang Mohdzar Abdul Samad, kini berusia 81 tahun.
“Pada bulan Mei 1963, kami seramai 20 orang guru dihantar ke Australia untuk mengikuti Kursus Perguruan Khas Bahasa Inggeris di bawah Rancangan Colombo,” kata Cikgu Awang Mohdzar, ketika itu berusia 23 tahun.
Selain bertugas sebagai guru, Awang Mohdzar juga adalah seorang penulis yang dikenali dengan nama pena Asmady Kelana.

BERJASA…Datuk Awang Mohdzar Abdul Samad guru yang banyak jasanya.
Pada tahun 1963, beliau bersama mengikuti kursus perguruan khas bahasa Inggeris di Australia.
Antara guru dari Sabah yang dihantar menyertai kursus itu Datuk Haji Shuhaibun Yussuf, Haji Bakrin Putih, Datuk Salleh Latun, Baharin Kawi, Datuk Amir Bek, Yu Chow Chit Wah, Ismail Sulaiman, Miss Lee Poh Chang, Miss On, F Malud, Patrick Limmy ,Abdul Rahmna Omar, Stephens Wong, Ali Hussain Amir, Lim Ching Ling, Tan Kin Seng,Abdul Ghani Bagul, Abdul Ghani Pendek.

BERPENGALAMAN…Tokoh Guru Papar 2012,Anugerah PGDK 2016
“Masa itu, kami menaiki pesawat Malayan Airways dari Kota Kinabalu ke Kuching dan kemudian dari Kuching Ke Singapura. Dari Singapura kami menaiki pesawat Qantas ke Sydney.
Di Sydney, beliau bersama tiga lagi rakannya, Datuk Shuhaibun Yussuf, Cikgu Ismail Sulaiman dan Cikgu Bakrin Putih ditempatkan di Allen’s Norwood Pte Hotel berhampiran Harbour Bridge Sydney, jambatan kedua terpanjang di dunia ketika itu. Empat rakan mereka yang lain ditempatkan di Strathaird Pte Hotel, empat di Harbour View Hotel dan guru wanita ditempatkan di rumah keluarga angkat mereka.
Ketika berkursus di sana, mereka sering menyusuri Jambatan Pelabuhan Sydney , salah satu ikon bandaraya Sydney selain Panggung Opera Sydney (Sydney Opera House) yang ketika itu masih di peringkat awal pembinaannya.

PENULIS…Awang Mohdzar menulis dengan nama pena Asmady Kelana
Harbour Bridge ini adalah jambatan rentang terlebar di dunia, jambatan gerbang rentang kelima terpanjang di dunia dan jambatan gerbang besi tertinggi di dunia.
Bagi Awang Mohdzar, pengalaman berada di negara orang itu tidak disia-siakan. Sekembalinya ke Sabah, beliau menjadi guru khas Bahasa Inggeris di GPS Pimping Membakut.
Ketika itu, beliau giat menulis puisi, minat yang diteruskan ketika mengajar di Papar selain giat dalam kegiatan teater , mengadakan pertunjukan amal bersama Allahyarham Abdul Hamid Awang dan Allahyarham Awang Ahmad Hasim
Awang Mohdzar Abdul Samad dilahirkan di Sindumin, Sipitang pada 7 September 1940. Beliau mendapat pendidikan awal di GPS Pekan Papar hingga lulus Darjah V pada tahun 1948-1953. Selepas itu beliau melanjutkan pelajaran di Primary VI di St.Joseph Primary School dari tahun 1954-1956 dan kemudian melanjutkan pelajaran di St.Joseph Secondary School hingga lulus Secondary One pada tahun 1957. Selepas itu, beliau menjadi guru pelatih di GPS Rampazan, Papar dari bulan Februari hingga Disember 1958 sebelum beliau memasuki Maktab Perguruan Kent Tuaran pada tahun 1959-1960. Selesai pengajiannya di Kent College, belaiu mengajar semula selama enam bulan di GPS Rampazan dari Januari hingga Jun 1961. Kemudian beliau dihantar bertugas di GPS Kawang sebagai Guru Terlatih pada Julai hingga September 1961 sebelum dihantar semula ke GPS Rampazan pada bulan berikutnya hingga penghujung tahun itu. Pada 1962, beliau ditugaskan di GPS Pekan Labuan sebagai Guru terlatih BI dari Januari 1962 hingga April 1963. Beliau kemudian diarah bertugas selama tiga minggu di GPS Pekan Papar pada bulan Mei 1963.
Selepas itu, Awang Mohdzar menjalani Kursus Pengajaran Bahasa Inggeris di Sydney, Australia Mei 1963 hingga Januari 1964.
Sekembalinya ke tanahair, beliau dilantik sebagai Guru Khas Bahasa Inggeris di GPS Pimping Membakut pada Februari hingga Disember 1964, dan pada tahun 1965, ditugaskan di GPS Pengalat Besar Papar. Setelah itu, beliau dihantar sekali lagi bertugas di GPS Rampazan sebagai Guru Khas Bahasa Inggeris dari tahun 1966 hingga Januari 1968.

AKTIF…Awang Mohdzar aktif dalam kegiatan NGO
Selepas itu, Awang Mohdzar dilantik sebagai pengetua GJSS Kiulu Tuaran ketika sekolah itu dibuka. dari Februari 1968 hingga Januari 1972. Sejak Februari 1972 hingga Januari 1974, beliau dilantik sebagai pengetua di GJSS Membakut .
Kerjayanya sebagai pendidik meningkat lagi apabila dilantik sebagai pensyarah di Pusat Latihan Guru-Guru Bumiputera (NVSTTC) di Kota Kinabalu pada Februari 1974 hingga Mei 1975. Selepas itu, beliau berkhidmat sebagai Penyelia Kanan di Ibu Pejabat Jabatan Pelajaran Kota Kinabalu dari Jun 1975 hingga Januari 1976. Beliau dipindahkan ke Bahagian Pendaftaran Guru dan Sekolah Jabatan Pelajaran sebagai Penyelia Kanan pada Februari 1976 hingga Jun 1977.
Selepas itu, beliau bertugas sebagai Penyelia Sekolah (sekarang setaraf PPD) di Pejabat Pelajaran Labuan dari Julai 1977 hingga Februari 1982. Kemudian beliau dilantik sebagai Penyelia Kanan di Bahagian Latihan dan Kurikulum Jabatan Pelajaran sabah dari Mac 1982 hingga Oktober 1989.
Sesudah itu, beliau dilantik sebagai Penyelia Kanan di Bahagian Pembangunan Jabatan Pelajaran Sabah dari bulan November 1989 sehingga bersara wajib pada 7 September 1995.

INTERVIU… Wartawan Sabah360online.com, Abd Naddin Haji Shaiddin menemuramah Datuk Awang Mohdzar Abdul Samad
Selain itu, beliau juga aktif dalam Kesaruan Guru-Guru Kerajaan sabah (KGKS), Persatuan Belia SANYA, Badan Bahasa Sabah (BAHASA) dan Persatuan Bekas Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Malaysia, Cawangan Negeri Sabah.Selepas 17 tahun bersara, beliau dianugerahkan Tokoh Guru Daerah Papar pada tahun 2012.
Beliau dikurniakan bintang kebesaran Panglima Gemilang Darjah Kinabalu (PGDK) yang membawa gelaran Datuk pada tahun 2016.
Sepanjang kerjayanya dalam bidang pendidikan, Awang Mohdzar adalah seorang guru yang sangat komited mendidik anak bangsanya. Terima kasih cikgu!.