GURU novis pada dasarnya merupakan guru terlatih lepasan institut pendidikan mahupun universiti yang baru berkhidmat antara 1-3 tahun. Masih dalam tempoh percubaan dan belum disahkan dalam jawatan masing-masing.
Lazimnya, golongan pendidik ini berada dalam lingkungan umur 25-30 tahun (Mazni Ambak @ Ahmad, 2000). Dapatan menunjukkan bahawa setiap tahun lebih banyak guru novis ditempatkan di sekolah-sekolah seluruh Malaysia (Abdul Said Ambotang, 2014).
Menteri Pendidikan Senator Datuk Dr Mohd Radzi Jidin telah mengumumkan pengambilan khas yang melibatkan 18,702 guru gred DG41 dengan penempatan secara berperingkat bermula pada Oktober 2021 bagi mengatasi kekurangan guru khasnya di Sabah, Sarawak, Selangor dan Johor.
Hal ini membuktikan betapa peranan guru amatlah dititikberatkan ketika ini dalam mengisi kekurangan yang ada. Selaku guru baharu, guru novis sudah pasti akan berhadapan dengan pelbagai cabaran dan seharasnya bersiapsaga untuk beradaptasi dengan dunia pendidikan masa kini.
ILMU PEDAGOGI
Tahap profesionalisme guru novis semasa pelaksanaan proses pembelajaran dan pengajaran di sekolah amat dititiberatkan. Hal ini kerana cabaran guru novis sangat tinggi terutamanya dalam pelaksanaan proses pengajaran dan pembelajaran semasa isu pandemic Covid-19 belum mencapai titik nokhtahnya .
Pada dasarnya, Pelbagai ilmu keguruan telah diberikan kepada guru novis terutamanya semasa mereka melalui latihan mengajar di institut perguruan mahupun semasa menuntut di universiti. Semasa melalui fasa latihan mengajar lagi mereka sudah berpeluang untuk cuba mengaplikasikan semua teori, teknik, strategi, kaedah, pendekatan, dan panduan dalam situasi suasana bilik darjah di sekolah yang sebenar. Zeichner dan Gore (1990) membahagikan tiga komponen utama pendidikan guru iaitu;
1. Kursus pendidikan dan pengkhususan akademik yang diperolehi di luar jabatan dan kolej pendidikan.
2. Kursus kaedah dan asas yang dihadiri dalam kolej pendidikan.
3. Pengalaman mengajar lapangan. Usaha mencari ilmu sebagai tuntutan profesional akan membantu guru novis melangkapkan diri mereka dengan sifat mulia seperti berdisiplin, istiqamah, mempunyai peribadi luhur dan berdaya maju.
KESEDIAAN MENGAJAR
Kesediaan mengajar merupakan satu perancangan harian yang disediakan oleh semua guru termasuklah guru novis. Persediaan mengajar mengandungi maklumat tentang pelajar, objektif yang hendak dicapai serta isi kandungan yang hendak disampaikan.
Persediaan yang rapi dalam sebelum mengajar sangat penting dan amat ditekankan dalam memastikan setiap produktiviti atau hasil yang diperolehi adalah berkualiti dan mencapai objektif dan sasaran yang ditetapkan. Persediaan mengajar ini juga mampu melicinkan perjalanan proses pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah, makmal mahupun secara PdPR.
Sejak tempoh PKP semasa pandemic Covid-19, pengajaran dan pembelajaran (PdP) dalam talian menjadi trend pembelajaran terkini yang memberi cabaran kepada golongan guru untuk mengadaptasi norma baharu dalam proses pendidikan.
Cabaran untuk menyesuaikan kepelbagaian gaya pembelajaran dan pengajaran juga sebenarnya mempengaruhi kaedah dan pedagogi guru novis dalam melaksanakan pengajaran (Burgstahler, Duclos & Turcotte 2000).
PENGUASAAN ICT
Perkembangan ICT telah membawa revolusi tidak hanya kepada cara hidup seseorang, bahkan membawa transformasi ke dalam sistem pendidikan. Negara-negara maju seperti Australia, New Zealand, Denmark, United Kingdom dan United States menjadikan ICT sebagai medium pengajaran yang wajib di setiap sekolah.
Menurut Hamidi et al., (2011), melalui rujukan beliau di dalam laporan The International Society for Technology in Educational (ISTE) mendapati bahawa guru abad ke-21 seharusnya bersedia dan sentiasa memberi peluang kepada pelajar untuk merasai pengalaman pembelajaran berasaskan teknologi.
Dalam melaksanakan pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara normal baharu, penekanan kepada teknologi perlu ditingkatkan. Pengetahuan kandungan pedagogi teknologi atau diistilahkan sebagai Technological Pedagogical Content Knowledge (TPCK) merujuk kepada jenis pengetahuan yang perlu dikuasai oleh guru untuk melaksanakan pengajaran dengan lebih berkesan melalui integrasi teknologi.
Namun begitu, masih ramai dalam kalangan guru kita masih belum bersedia untuk menghadapi cabaran-cabaran dalam dunia pendidikan pada masa kini yang dianggap lebih mencabar rentetan daripada kemajuan teknologi yang bergitu pesat. Pada dasarnya guru novis dianggap mempunyai pengalaman mengajar masih di tahap umur ‘setahun jangung’.
Namun tidak dapat disangkal lagi bahawa golongan ini mempunyai tahap penguasaan teknologi yang lebih baik berbanding guru-guru ‘veteran’.
IKLIM SEKOLAH
Adaptasi terhadap iklim sekolah merupakan satu proses sosialisasi yang memberi cabaran kepada guru novis. Proses sosialisasi guru novis adalah bermula dari satu tempoh percubaan di antara satu hingga tiga tahun sebelum disahkan ke dalam jawatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPPS) DG 41 atau (PPLD) DG 29.
Proses sosialisasi ini begitu penting kepada guru novis kerana melalui proses inilah mereka mampu mempelajari bagaimana untuk menjadi seorang pendidik yang baik di sekolah. Menurut Bullough et al. 1987 menyatakan bahawa terdapat banyak lagi agen yang mempengaruhi sosialisasi guru novis.
Pentadbir sekolah, pengetua, rakan sekerja, guru pembimbing dan pelajar adalah agen paling rapat di tempat kerja. Sokongan dan kolaborasi dalam membantu guru novis untuk ’survive’ dalan sistem sekolah dipengaruhi oleh peranan rakan sekerja.
Ini termasuklah memberi sokongan emosi yang dapat mengurangkan ketidaktentuan dan tahap tekanan mereka. Natijahnya, Untuk mencapai sasaran bersama, seorang guru novis harus bekerjasama dengan orang lain. Kerana sikap stereotaip, seseorang guru novis mungkin tidak berbuat apa pun untuk mendorong kelompok atau anggota kelompok untuk berkembang.
Dan jika ia tidak mampu mengembangkan orang menjadi satu pasukan yang kuat tidak tercipta suasana positif atau prosedur kerja berkesan kerana guru tersebut tersebut terhambat oleh ketidakmampuan membina pasukan.
SIKAP
Guru novis perlu mempunyai sikap dan mentaliti progresif untuk meningkatkan kualiti pengajaran mereka. Mereka juga perlu meluaskan pengetahuan serta tindakan yang berstrategik bagi memastikan kumpulan ini mampu mengorak langkah ke tahap profesionalisme yang sewajarnya.
i. Matlamat peribadi yang jelas .
Dalam hal ini, guru novis sewajarnya mengambil keputusan berdasarkan nilai dan prinsip. Kalau nilai peribadinya cukup jelas serta mempunyai landasan yang kuat dalam membuat penilaian, sudah pasti mereka akan dipandang tinggi. Nilai yang konsisten dengan hati yang ikhlas dan jujur selari dengan prinsip nilai integriti sudah pasti akan menghasilkan kualiti kerja yang cemerlang
ii. Kemampuan mengatur diri.
Guru novis adalah juga seorang pengurus dan jika mereka berjaya memanfaatkan waktu, tenaga, dan ketrampilan dengan sebaik-baiknya secara langsung mampu menghadapi tekanan, cabaran serta desakan tugas, tanggungjawab sebagai seorang pengurus pelajar yang akan mempunyai kebolehan dalam mengatur diri sendiri. Ringkasnya, guru novis yang boleh mengatur diri pada dasarnya juga berwibawa terhadap orang lain yang secara tidak langsung bertanggungjawab padanya. Mereka yang berwibawa sentiasa bersedia bekerjasama dengan pihak lain dalam mencapai hasrat bersama iaitu melahirkan insan yang berjaya dan cemerlang.
iii. Kreatif dan inovatif
Guru novis juga perlu berusaha meningkatkan daya kreativiti dan mencari jalan terbaik untuk menarik minat pelajar. Daya kreativiti ini bermaksud kemampuan mereka mencipta strategi yang meliputi aspek seperti pemilihan alat serta bahan bantu pengajaran, aktiviti dan juga kaedah pengajaran yang diminati pelajar. Justeru, bagi guru novis perlu menggilap lagi bakat dan potensi mereka perlu juga diadakan supaya kecemerlangan mereka dapat ditingkatkan secara konsisten.
KESIMPULAN
Guru yang profesional sentiasa mempamerkan ciri-ciri kekuatan ilmu dan bertingkah-laku dengan keluhuran etika kerja serta menuntut kefahaman yang jelas dan mendalam juga kesungguhan dan komitmen yang tinggi kepada penyempurnaan tugasannya di sekolah setiap masa dan waktu.
Guru yang berjiwa waja tidak mudah mengaku kalah dalam kehidupan kerjayanya di sekolah, dan mempunyai sikap optimistik dalam semua tindakan.
Guru novis disarankan meningkatkan pengetahuan mereka agar dapat menyampaikan pengajaran secara berkesan dalam era globalisasi masa kini.
Selain itu, mereka juga seharusnya menyertai kursus-kursus yang berterusan dalam perkhidmatan berkaitan teknologi terkini, motivasi dan juga pedagogi. Kursus-kursus sebegini dapat menjadikan guru novis mempunyai pengetahuan dan kemahiran selari dengan perkembangan semasa dalam dunia pendidikan.
Natijahnya, guru novis seharusnya mempunyai nilai keperibadian tinggi dengan mempunyai sahsiah terpuji yang perlu ada pada setiap guru untuk menjadi cerminan kepada generasi diterajui.
Pada masa sama, mereka seharusnya cemerlang dalam berkomunikasi serta bersifat responsif dan inovatif dalam rangka menjalankan tugas dalam dunia pendidikan masa kini.(Artikel sumbangan Dr. Norjanah Ambo IPG Kampus Tawau).
-Oleh : Dr. Norjanah Ambo
Institut Pendidikan Guru Kampus Tawau