Hayati Semangat Aidiladha, Erti Pengorbanan Kepada Agama, Bangsa Dan Negara

BICARA SANTAI….Panelis Bicara Santai bergambar ramai secara dalam talian menelusuri saluran YouTube 'BADAR SMK Tansau'

SIRI Bicara Santai yang kedua yang ditampilkan oleh IPS tidak seperti biasanya. Bicara Santai kali ini menjadi luar biasa kerana tiga sebab.

Pertama, penampilan pegawai pertahanan awam dalam sebuah bicara yang bernuansakan Islam dan sastera tempatan Sabah.

Kedua, waktu Bicara Santai ini diadakan betul-betul menghampiri cuti pertengahan Semester 2, Sesi Persekolahan 2021. Ketiga dan yang lebih penting, nuansa Islam dan sastera tempatan Sabah yang sesungguhnya menghidupkan dan menyemarakkan erti sebenar perjuangan dan pengorbanan, dua tema yang sentiasa menepati bulan Zulhijjah dan sambutan Hari Raya Aidiladha.

Oleh hal yang demikian, siri kedua Bicara Santai dengan tema “Pengorbanan, Cinta yang Agung” benar-benar menceritakan kepada minda dan jiwa para penontonnya bahawa pengorbanan benar-benar cinta yang agung kepada agama, bangsa dan negara.

Cerita ini lebih nampak kecitraannya apabila Penolong Pengarah APM Sabah, Mejar (PA) Nasrullah Mohamad Nadzir, menceritakan pengalamannya bertugas di Ibu Pejabat APM di Putrajaya dan APM Sabah sejak pandemik COVID-19 mula melanda Malaysia.

Cerita beliau bukanlah semata-mata pengembaraan dari Putrajaya ke Kota Kinabalu, tetapi juga ke Kuantan, Kuala Terengganu dan Kota Bharu sebelum itu.

Begitulah juga dengan kupasan Ustaz Mahadir Amboala yang mencitrakan nilai perjuangan dan pengorbanan dari sudut pandang Islam. Realitinya, sambutan Hari Raya Aidiladha mempunyai makna yang menjangkaui ibadah korban yang disyariatkan.

Sambutan Hari Raya Aidiladha dalam musim pandemik COVID-19 mengajarkan kita untuk lebih menginsafi, menghayati dan mensyukuri erti peduli kepada diri sendiri dan orang-orang sekeliling dan berusaha semampu mungkin untuk menjiwai pengorbanan kepada agama, bangsa dan negara.

Bagi pihak IPS, penulis menyampaikan penghargaan khusus kepada Pegawai Pendidikan Daerah Penampang, Puan Indang Kasi Haji Sibin, dua orang penolong beliau di Unit Pendidikan Islam, Ustaz Mohd. Farizan Seman dan Ustazah Anicca @ Anisah Albe serta keluarga besar PPD Penampang dan sekolah-sekolah di bawahnya, PEKDIS Cawangan Penampang dan i-Guru Sabah.

Begitu juga kepada Tuan Nasrullah, Ustaz Mahadir dan kakanda Mohilis yang menjadi Pembicara dan Pembaca Puisi, serta ramai lagi yang menyaksikan di depan skrin komputer dan telefon bimbit baik di dalam mahupun di luar Sabah.
IPS mempunyai cita-cita murni untuk terus menampilkan keunikan bahasa, sastera dan budaya Sabah serta kepelbagaian disiplin keilmuan menerusi acara Bicara Santai yang dianjurkan bersama agensi-agensi kerajaan, swasta dan bukan kerajaan.

Walau susah mana pun bangsa dan negara pada saat ini, IPS masih percaya bahawa “Wasatiyyah Kesejagatan Sastera”.

scroll to top